Berikut kami himpunkan senarai 10 judul filem dan drama yang mengutarakan genre seram sebagai tema penceritaan.
Penulis tidak pasti sama ada ia berada dalam senarai karya seram terbaik anda (untuk sepanjang dua tahun lalu) tetapi ia hanyalah kegemaran penulis secara peribadi.
Apa yang pasti ini antara senarai jika anda sedang mencari beberapa naskhah tempatan yang bagus.
10 Filem, Drama Seram Malaysia 'Berhantu' Terbaru 2021 - Boleh Tonton Secara Online!
Penunggang Agama (Filem)
Kredit foto: Instagram Astro Shaw Sdn Bhd
Ujian getir melanda pasangan Amir dan Anna, seorang ustaz dan ustazah selepas ibu tiri Amir, Datin Maria diganggu makhluk halus.
Apabila Dato Hafsyam, iaitu bapa kepada Amir mendapatkan bantuan daripada Tok Haji, Amir mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan ‘pakar ruqyah’ berkenaan.
Platform online: Astro Go
Penunggang Agama 2 (Filem)
Kredit foto: Instagram Skop Productions
Kerana dendam lama, Amir dan Anna menjadi mangsa gangguan Huda.
Sementara itu, Anna dikejutkan dengan berita kehilangan seorang anak muridnya yang bernama Anim ketika pulang dari kelas mengaji.
Ibu bapa Anim minta Amir dan Anna membantu dalam mencari serta mengesan Anim.
Platform online: Astro Go
Ada Hantu (Filem)
Kredit foto: Instagram Hairul Azreen
Aliff seorang youtuber yang tidak percaya bahawa hantu itu wujud.
Bersama rakan-rakannya, Aliff meraikan hari lahirnya di sebuah banglo lama tinggalan tentera Jepun semasa Perang Dunia II.
Ketika malam semakin larut, Aliff menjadi pemerhati pelbagai peristiwa menyeramkan yang menyebabkannya percaya bahawa mereka tidak bersendirian di tempat itu.
Platform online: Disney+ Hotstar
Mata Ketiga (Drama Berepisod Tonton)
Kredit foto: Instagram Drama Sangat
Lima rakan memutuskan untuk berada jauh di dalam hutan bagi sebuah ekspedisi jelajah.
Walau bagaimanapun mereka mendapati kejadian yang tidak dijangka apabila salah seorangnya dirasuk.
Faizul dapat melihat bahawa hutan itu didiami oleh kehadiran yang tidak kelihatan, melalui mata ketiganya.
*Sebuah terbitan tahun 2018 untuk kandungan penstriman laman Tonton, namun menemui penonton buat pertama kali di kaca TV pada 2021.
Platform online: Youtube TontonMY Official
Ghaib (Drama Berepisod Tonton)
Kredit foto: Instagram Drama Sangat
Empat pelajar memasuki terowong di belakang kolej mereka.
Apabila mereka secara sengaja memanggil roh yang menghuni terowong itu, ahli kumpulan itu, Mimie, hilang selepas mereka bertempiaran lari ketika muncul lembaga hantu yang bernama Mona.
Detektif Reza dan Inspektor Anita yang skeptikal terhadap teori Hantu Mona, ditugaskan untuk menyiasat kehilangan Mimie.
*Terbitan tahun 2018 secara penstriman di laman Tonton. Tayangan perdana di kaca TV pada 2021.
Platform online: Youtube TontonMY Official
Tahyul (Drama Berepisod TV3)
Kredit foto: Instagram Aniq Suhair
Mengisahkan siri vlog yang dihasilkan oleh sekumpulan pencipta konten yang dianggotai Afiq, Boy dan Illy.
Mereka memutuskan untuk menjalani rakaman di sebuah gua di sebuah perkampungan.
Keadaan menjadi tidak terkawal apabila gangguan kelibat yang menakutkan benar-benar muncul!
Platform online: Youtube Drama Sangat Official
Malaysian Ghost Stories (Drama Berepisod Astro Ria)
Kredit foto: Instagram Bambam Studios
Perkara-perkara mistik dan alam ghaib wujud dalam kehidupan manusia sejagat.
Siri ini mengupas kejadian misteri berunsur mistik yang selalu diperkatakan ramai bersama dengan penyelesaian yang unik bergantung kepada jenis gangguan, jenis jin dan kesan ke atas watak utama.
Platform online: Astro Go
Terlerai Noktah (Drama Berepisod TV3)
Kredit foto: Instagram Hariz Hamdan
Jasmine menerima kerja sebagai jururawat di sebuah hospital psikiatri milik Dr. Rudi.
Apabila hospital menerima kehadiran pesakit baru bernama Hani, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan cuba mencari jawapan untuk segala misteri yang timbul.
Platform online: Disney+ Hotstar
Dendam Penunggu (Filem)
Kredit foto: Instagram tonton CINEMA
Filem ini mengikuti kisah lima pelajar baharu di Kolej Kebangsaan Malaya, lima sahabat yang dihantui oleh rahsia paling gelap di sekolah mereka.
Keadaan menjadi kacau apabila mereka menceroboh blok terlarang di kolej itu dan menyedari bahawa mereka sedang menghadapi pelbagai gangguan ghaib.
Platform online: tonton CINEMA
Sihir (Drama Berepisod Astro Ria)
Kredit foto: Instagram Kamal Adli
Mengisahkan pasangan adik beradik yang menyelesaikan kes-kes berkaitan dengan sihir. Mereka menggunakan deria keenam untuk menghubungkan mereka dengan makhluk lain yang tidak dapat dilihat dengan pandangan mata kasar.
Platform online: Astro Go