Oleh pada 10 Jul 2021 kategori
ayahanda

Kredit foto: Instagram Drama Sangat

  
'Ayahanda' merupakan sebuah drama bersiri televisyen Malaysia 2021, adaptasi daripada novel karya Azizi Haji Abdullah.
  
Siri arahan Dato Ahmad Tamimi Siregar yang dibintangi Jalil Hamid, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Fikry Ibrahim, Noorkhiriah dan Shahz Jaszle ini bakal menemui penonton di saluran TV3 mulai 10 Julai 2021, bagi menggantikan drama Budak Tebing Musim 2.
  
ayahanda tv3

Kredit foto: Instagram Drama Sangat

  

Sinopsis

Inspirasi daripada novel terbaik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terbitan tahun 1997, sebuah kisah benar karya penulis sastera terulung, Allahyarham Azizi Haji Abdullah A.M.N. yang merupakan penerima Anugerah S.E.A Writers Award 1988.
  
Mengangkat tema kekeluargaan dan kasih sayang seorang ayah kepada anak-anaknya, serta kesetiaannya pada agama.
  
Drama yang menggunakan loghat Utara sebagai dialog ini menjalani penggambaran selama dua minggu di negeri Perlis.
  
Mengisahkan Haji Abdullah (Jalil Hamid) yang merupakan seorang Tok Imam, juru nikah dan pengajar kitab di surau yang sudah ditubuhkan lebih 100 tahun. Surau itu dibina semula selepas kejadian ribut yang nyaris mengorbankan nyawa Haji dan isterinya, Hajah Noriah (Fauziah Ahmad Daud).
  
Walaupun Haji dipinggirkan orang kampung berikutan kaedah pembelajaran kitabnya yang dianggap lapuk, namun dia masih utuh melaksanakan tanggungjawab. Dia juga ingin kekal menyandang jawatan di masjid.
  
Hajah Noriah sentiasa di sisi memberikan sokongan kepada Haji yang dianggap masyarakat sebagai imam tua. Kemunculan seorang imam baharu 20-an bernama Ustaz Hamidi yang menuntut di Al-Azhar, Mesir telah membuatkan Haji berasa tercabar, apatah lagi jumlah jemaah di masjid semakin meningkat selepas kehadirannya.
  
Perkongsian hidup Haji Abdullah dan Hajah Noriah dikurniakan empat orang anak iaitu Halimah (Noorkhiriah), Ramli (Shahz Jaszle), Ahmad (Hairi Safwan) dan Aziz (Fikry Ibrahim).
  
Halimah adalah anak sulung yang rumahnya terletak di belakang kediaman Haji, justeru menjadi harapan adik-beradiknya yang lain untuk menjenguk kedua orang tua itu. Hidup Halimah diuji dengan sikap suaminya, Mat Diah (Sobri Anuar) yang taksubkan pertandingan suara burung.
  
Ramli, anak kedua Haji, kerap berulang-alik menghantar isterinya, Piah (Nurmiziana Rosli) ke kampung asalnya kerana emaknya sakit.
  
Anak ketiga Haji, Ahmad telah kematian isterinya yang pergi bersama anak ketiga mereka semasa bersalin. Walaupun Hajah Noriah dan Halimah sentiasa cuba mendapatkan isteri baharu buat Ahmad, namun Ahmad menolak dengan alasan tidak bersedia. Ahmad menyibukkan diri dengan kerja kebun sayur yang diusahakannya di kaki bukit dalam usaha mencari rezeki sampingan.
  
Anak bongsu Haji, Aziz pula merupakan seorang juruteknik kilang yang gemarkan dunia penulisan. Kerana sibuk menjaga ibu bapa, anak termasuk kerja penulisannya, isterinya, Mazni (Rita Nadira) telah mengambil kesempatan.
  
Haji terasa hati dengan anak-anaknya yang tidak menyokong usahanya untuk kekal bergelar imam. Malah Aziz yang menjadi harapan Haji juga tidak bersetuju, apatah lagi mereka berdua mempunyai kisah silam yang meretakkan hubungan mereka.
  
Di sebalik keegoan, Haji hanya ingin difahami, namun tiada siapa yang ambil peduli.
  
Sikap degil yang bergerak seiring dengan usia, enggan ditegur dan dinasihati membuatkan anak-anaknya menaruh prasangka, menyimpan dendam dan marah terhadap ayah mereka, walaupun adakala terselit rasa bersalah.
  
Haji yang kaya dengan kasih sayang dan pengorbanan, dalam diam sentiasa mendoakan kehidupan anak-anaknya, walaupun kurang berkongsi rasa dan sekadar menzahirkannya melalui perbuatan dengan harapan agar anak-anaknya mengerti.
  
Dapatkan keempat-empat anaknya itu memahami erti sebenar pengorbanan seorang ayah? Lagi pula perasaan seorang ayah itu tidak mampu diduga dan digali sedalam mungkin, walaupun oleh anak-anaknya sendiri.
  

Watak Pelakon

Jalil Hamid sebagai Haji Abdullah
Ogy Ahmad Daud sebagai Noriah
Fikry Ibrahim sebagai Aziz
Noorkhiriah sebagai Halimah
Shahz Jaszle sebagai Ramli
Hairi Safwan sebagai Ahmad
Sherry Ibrahim sebagai Aishah
Mimi Ernida sebagai Rahayu
Sobri Anuar sebagai Mat Diah
Rita Nadira sebagai Mazni
  
pelakon ayahanda

Kredit foto: Instagram Noorkhiriah

  

Pelakon / Cast

Mempertaruhkan gandingan para pelakon hebat dan ternama seperti Jalil Hamid, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Fikry Ibrahim, Noorkhiriah, Shahz Jaszle, Rita Nadira, Sherry Ibrahim, Anuar Hamizan, Mimi Ernida, Hairi Safwan dan Sobri Anuar.
  
  
sinopsis ayahanda

Kredit foto: Instagram Noorkhiriah

  

Pengarah Dan Syarikat Produksi

Terbitan produksi Zeel Production Sdn Bhd, di bawah arahan sutradara Dato Ahmad Tamimi Siregar. Nukilan skrip oleh Maizura Mohd Ederis dan Wan Mahani Wan Hassan.
  

Lagu Tema (OST)

Kredit video: AWIE - CORETAN PILU (Audio Music) OST AYAHANDA

  
Tajuk: Coretan Pilu
Penyanyi: Awie
Komposer: Ikhwan Fatanna, Wan Saleh
Penulis lirik: Ikhwan Fatanna, Fedtri Yahya
  
drama ayahanda

Kredit foto: Instagram Drama Sangat

  

Waktu Siaran

Mengisi slot Lestary mulai 10 Julai 2021, setiap hari Rabu hingga Sabtu, pukul 9 malam di saluran TV3, siaran selama 13 episod.
  
ayahanda episod

Kredit foto: Instagram Anuar Hamizan

   

Kredit video: Lestary: Ayahanda | Mulai 10 Julai, Setiap Rabu - Sabtu, 9 malam hanya di TV3

  
Sumber:
  


Hakcipta iluminasi.com (2017)