Oleh pada 14 Nov 2022 kategori

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

  
Penyanyi Asheed (Def Gab C) menjadi peserta tersingkir dalam konsert minggu kesembilan Gegar Vaganza musim ke 9 (GV9) yang disiarkan malam tadi.
  
Asheed yang membawakan lagu Lena Diulit Intan yang asalnya dinyanyikan oleh kumpulan Wings gagal menyerlah dan hanya mampu berpuas hati dengan markah 58.60% yang diberikan oleh juri.
  
Sementara itu, penyanyi Shila Amzah menamatkan perjalanannya di suku akhir itu di tempat pertama dengan lagu Survivor, rakaman asal Destiny's Child, dengan markah 85.30%.
  
Tiga pengkritik tetap edisi kali ini ialah maestro muzik Datuk Ramli MS, penyanyi legenda Indonesia Hetty Koes Endang dan guru vokal Datuk Syafinaz Selamat — yang turut mewakili juri profesional dalam tugasan pemarkahan.
  
Bertemakan "You Like I Like", peserta mempersembahkan lagu-lagu pilihan pesaing mereka dalam pertandingan realiti nyanyian itu.
  
Selain Shila, tujuh lagi bintang yang kekal bersaing di pentas GV9 minggu depan ialah Jaclyn Victor, Bob Yusof, Tomok (New Boyz), Hazrul Nizam (Singapura), Fuad Rahman (Singapura), Dina Nadzir dan kumpulan VE (Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim).
  
Berikut adalah pencapaian kedudukan berserta markah peserta dalam episod ini.
  

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

  

Carta Kedudukan Dan Markah Peserta Konsert Suku Akhir Gegar Vaganza 9 (2022) - Minggu Kesembilan

1. Shila Amzah (Survivor) - 85.30%
2. Hazrul Nizam (Writing's on the Wall) - 81.00%
3. Jaclyn Victor (Lagu Untukmu) - 80.50%
4. Bob Yusof (Surga Ditelapak Kaki Ibu) - 79.70%
5. Dina Nadzir (Un-Break My Heart) - 77.80%
6. Fuad Rahman (Enter Sandman) - 77.20%
7. Tomok (Awas) - 67.30%
8. VE (I Swear) - 64.20%
9. Asheed Def Gab C (Lena Diulit Intan) - 58.60%
  
  
Sebagai juara mingguan, Shila juga merupakan penerima Anugerah Bintang Memukau Adabi yang didatangkan dengan hadiah wang tunai RM1,000 berserta produk Adabi bernilai RM500.
  
Manakala Anugerah Next Level Digi menjadi milik Asheed dan Anugerah Bintang Cuckoo Paling Gempak diberikan kepada VE.
  
Konsert GV9 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Elly Mazlein mula disiarkan pada 18 September 2022 setiap hari Ahad pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104).
  
Program secara langsung itu juga boleh distrim dalam talian (online) di platform On Demand melalui Astro Box dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.
  
Butiran berkaitan format penjurian, hadiah dan info penuh rancangan, baca artikel: Info Penuh Program Gegar Vaganza Musim 9 (2022)
  
  



Hakcipta iluminasi.com (2017)