Oleh pada 08 Nov 2020 kategori

lagu cinta kita

Kredit foto: Instagram TV3 Malaysia

   

Lagu Cinta Kita (LCK) merupakan sebuah rancangan realiti televisyen Malaysia 2020 berkonsepkan 'music dating' yang diadaptasi daripada program popular CJ ENM, ‘Love At First Song’.

Musim kedua yang berlandaskan norma baharu ini menemui penonton secara langsung di kaca televisyen berbanding musim pertama yang ditayangkan di Youtube.

Musim sulung yang mengangkat Naqi Nasri dan Nur Ayuni Sapuan sebagai juara, membawa pasangan itu ke jinjang pelamin pada 25 Julai lalu.

Antara lain, merpati dua sejoli itu turut mencipta nama menerusi single 'Lagu Cinta Kita' yang dijadikan runut bunyi bagi drama rantaian, Pink Smile.

       

lagu cinta kita tv3

Kredit foto: Instagram TV3 Malaysia

   

Konsep

Pusingan awal iaitu episod 1 hingga 3 bakal menyaksikan enam pasangan berentap dalam setiap episod.

Peserta akan dipadankan dengan pasangan duet masing-masing berdasarkan pilihan lagu yang sama.

Setiap pasangan duet akan menyanyi di dua pentas yang berlainan sewaktu awal persembahan.

Undian penonton diperlukan bagi mengalihkan dinding pemisah di antara dua pentas agar peserta berpeluang menyaksikan siapakah pasangan duet mereka.

Manakala undian kesemua juri diperlukan untuk mencantumkan pentas yang sekaligus menandakan mereka layak ke pusingan seterusnya iaitu episod ke-4 ‘Love Camp Song’ yang hanya melibatkan 10 pasangan.

10 pasangan ini bakal menjalani pelbagai aktiviti dan tugasan yang akan membuatkan mereka lebih rapat, sekaligus mencipta keserasian.

Mereka juga perlu mempersembahkan sebuah lagu tugasan di pentas pertandingan yang mana bermula peringkat ini hanya penilaian juri diambil kira dalam menentukan pasangan manakah yang bakal tersingkir (satu pasangan).

Episod ke-5 dan ke-6 pula akan mencabar setiap pasangan untuk menyanyi dalam tema mingguan iaitu ‘Cinta Sepanjang Zaman’ (lagu cinta era 60-an hingga 90-an) dan ‘Cinta Antara Benua’ (lagu cinta pelbagai negara antaranya Malaysia, Indonesia, Korea Selatan dan lain-lain).

Pusingan separuh akhir akan menyaksikan persaingan antara tujuh pasangan, manakala peringkat akhir yang dijadualkan pada 3 Januari 2020 mempertaruhkan hanya lima pasangan.

Bagi memeriahkan pentas, beberapa penyanyi popular diundang untuk membuat persembahan istimewa dalam kesemua lapan episod.

   

lagu cinta kita musim 2

Kredit foto: Instagram TV3 Malaysia

   

Peserta

Seramai 36 peserta terlibat bakal membentuk 18 pasangan duet.

Mereka bagaimanapun tidak mengetahui siapakah pasangan duet sehingga beraksi di pentas kelak.

Kesemua peserta ini dipilih menerusi pencarian yang diadakan secara atas talian pada 1 hingga 15 Oktober lalu, di kalangan warganegara Malaysia berstatus bujang, berumur antara 18 hingga 35 tahun dan berkebolehan dalam bidang nyanyian.

Ia menjadi bonus sekiranya mereka pandai bermain instrumen muzik.

Calon yang berminat berkongsi video nyanyian selama 1 minit di Instragram berserta tanda pagar #LaguCintaKita2.

Seramai 100 peserta dipilih untuk menghadiri sesi ujibakat yang diadakan secara tertutup.

   

lagu cinta kita 2020

Kredit foto: Instagram TV3 Malaysia

   

Juri

Hael Husaini kekal memegang mandat sebagai juri tetap, dengan dibantu gandingan baharunya, Mas Idayu.

Turut sama, seorang juri jemputan yang diundang secara mingguan bagi membawa peranan sebagai panelis cinta yang bertanggungjawab melontarkan komen berkaitan keserasian di samping berkongsi kisah cinta romantis sendiri dengan pasangan berduet.

   

Format Penjurian

Bakat nyanyian menjadi teras utama dalam proses penjurian, diikuti keserasian antara pasangan duet.

   

Hadiah

Juara bakal menerima ganjaran wang tunai RM50,000, manakala tempat kedua meraih RM30,000, diikuti tangga ketiga dengan RM20,000.

Keempat dan kelima masing-masing mendapat habuan RM15,000 dan RM10,000.

   

Penaja Dan Radio Rasmi

Tajaan Celcom Xpax Prepaid Tanpa Had dan NIVEA Hokkaido Rose dengan haruman ros mewah sebagai penaja bersama.

Hot FM mengambil peranan sebagai rakan radio rasmi.

   

Tempoh Siaran

Bersiaran secara langsung selama lapan episod yang mana setiap episod berdurasi 150 minit.

   

lagu cinta kita 2

Kredit foto: Instagram TV3 Malaysia

   

Pengacara

Elly Mazlein memegang tanggungjawab sebagai hos tetap, di samping pasangan hos yang berlainan iaitu Michael Ang dan Azwan Ali.

     

Waktu Siaran

Siaran langsung mulai 8 November 2020, setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.

Tayangan dalam bentuk HD di www.tonton.com.my.

   

Sumber:

1. Lagu Cinta Kita Kembali Untuk Musim Ke-2!

2. Lagu Cinta Kita, program realiti berbeza

3. Program cari jodoh

    



Hakcipta iluminasi.com (2017)