Dalam dunia eksplorasi angkasa lepas, kita sering dihidangkan dengan berita-berita yang tidak masuk akal antaranya eksplorasi ke planet Marikh, penghantaran kapal angkasa ke matahari (Parker Solar Probe) dan banyak lagi perkara yang dianggap hampir mustahil bagi sebahagian besar daripada kita.

Antara projek terbaru berkaitan angkasa lepas yang diumumkan adalah pembinaan sebuah hotel pertama dunia di angkasa lepas. Diberi nama Voyager Station, projek ini dijangka siap pada tahun 2027. Bagi yang mahukan pengalaman bercuti luar daripada kebiasaan, ini mungkin sesuatu yang perlu anda cuba.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada tahun 2019, syarikat berasal dari California, Gateway Foundation telah mengumumkan rancangan untuk membina hotel gaya kapal pesiaran yang suatu hari nanti  boleh terapung bebas di atas atmosfera Bumi.

Projek tersebut yang dikenali sebagai Von Braun Station merupakan sebuah konsep futuristik - ia terdiri daripada 24 modul yang dihubungkan oleh lif yang membentuk roda berputar yang mengorbit Bumi. Ketika diumumkan, ia dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2027.

Penjenamaan semula

hotel angkasa

Namun, beberapa tahun kemudian, projek ini telah diberi nafas baru dan dijenamakan semula menjadi Voyager Station dan bakal dibangunkan oleh Orbital Assembly Corporation, sebuah syarikat pembinaan baru milik John Blincow, bekas juruterbang yang juga merupakan pemilik syarikat Gateway Foundation. 

Dalam sebuah wawancara bersama pihak CNN Travel, John Blincow menjelaskan terdapat beberapa kelewatan disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini. Namun, pembinaan hotel pertama di angkasa ini dijangka bermula pada tahun 2026 dan pelancaran ke angkasa lepas dijangka bakal menjadi realliti pada tahun 2027.

John Blincow mengatakan bahawa eksplorasi angkasa lepas bakal mencapai zaman kegemilangan dalam beberapa tahun akan datang, maka terdapat banyak potensi besar daripadanya termasuklah industri pelancongan ke angkasa lepas.

Selain beliau, antara individu lain yang melihat potensi cerah dalam industri ini dan sudahpun melabur lebih awal adalah jutawan Richard Branson dan Elon Musk. Bagi merealisasikan projek ini, John Blincow  dan pasukannya mengatakan mereka akan bekerjasama secara rapat dengan syarikat SpaceX milik Elon Musk.

Hotel dengan konsep sangat unik

hotel angkasa lepas

Beberapa tahun lalu, Tim Alatorre, arkitek reka bentuk senior di Orbital Assembly Corporation memberitahu CNN Travel bahawa rekaan hotel ini kelak sangat unik, tidak seperti rekaan hotel di angkasa yang dipaparkan dalam filem Stanley Kubrick "2001: A Space Odyssey".

Sebaliknya, Tim Alatorre dan pasukannya mahu membawa pengalaman mewah yang boleh dinikmati di Bumi ke angkasa lepas. Pelancong akan berada di angkasa lepas, tetapi mereka tetap boleh menikmati percutian yang menakjubkan seperti mempunyai katil yang empuk dan boleh mandi air panas di dalam tandas hotel.

Pada masa sama, pelancong kelak bakal mempunyai peluang untuk merasai keunikan yang hanya wujud apabila anda berada di angkasa lepas sahaja antaranya "makanan angkasa lepas" seperti ais krim kering beku.

Selain itu akan ada aktiviti rekreasi unik yang ditawarkan untuk pelancong. Sebagai contoh, kerana berat dan graviti yang berkurangan di angkasa lepas anda akan dapat melompat lebih tinggi, dapat mengangkat barang lebih berat dan dapat berlari dengan cara yang tidak dapat anda lakukan di Bumi.

Bagaimanakah Voyager Station bakal dibina?

voyager station 17

Jadi, apakah penjelasan daripada aspek sains atau fizik mengenai hotel yang bakal dibina ini?

Tim Alatorre menjelaskan bahawa hotel berbentuk roda ini akan berpusing pada kelajuan tertentu, seterusnya mewujudkan simulasi graviti di dalamnya. Stesyen ini berputar, mendorong kandungan dalam stesyen ke perimeter stesen. Bayangkan anda memutar baldi air - air bergerak keluar ke dalam baldi tetapi masih lagi berada dalam baldi tersebut.

Berhampiran pusat stesyen tidak ada graviti buatan, tetapi apabila anda bergerak ke luar stesyen, kewujudan dan daya graviti meningkat. Nama asal hotel, Voyager Station, dipilih kerana konsep itu diilhamkan oleh reka bentuk berusia 60 tahun dari Wernher von Braun, seorang jurutera aeroangkasa yang mempelopori teknologi roket, pertama di Jerman dan kemudian di Amerika Syarikat.

Semasa tinggal di Jerman, von Braun terlibat dalam program pembangunan roket Nazi, jadi menamakan hotel angkasa lepas ini atas namanya adalah satu perkara yang begitu kontroversial. Disebabkan itulah mengapa nama hotel ini telah ditukar kepada Voyager Station.

hotel paling unik 867

"Stesen ini sebenarnya bukanlah penghargaan buat Von Braun. Namun, rekaannya  berdasarkan reka bentuknya dan kami menyukai sumbangannya terhadap sains dan ruang angkasa", kata John Blincow". Voyager Station jauh lebih banyak daripada itu. Ia adalah ciptaan teknologi masa akan datang dan disebabkan itulah namanya perlu ditukar agar tidak mempunyai perkaitan dengan seseorang individu.

Pelancongan ruang angkasa menjadi topik yang semakin hangat dan terdapat beberapa syarikat yang berusaha mewujudkannya - dari Virgin Galactic hingga SpaceX. Buat masa ini, pihak Voyager Station tidak mengiklankan harga untuk seorang pelancong tapi kita sudah menjangka ianya tidak akan murah.

Virgin Galactic, misalnya, merancang untuk melancarkan penumpang ke ruang sub-orbit pada harga $250,000 setiap orang, setiap perjalanan. Tahap seterusnya untuk merealisasikan Voyager Station adalah membawa masuk lebih banyak pelabur dan meneruskan ujian di lapangan.

Kredit:

  1. Interesting Engineering
  2. CNN
  3. Washington Post
  4. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)