Bagi yang tidak tahu, pengasas SpaceX iaitu Elon Musk yang juga merupakan manusia kedua terkaya di dunia ketika ini, sangat aktif di Twitter.

Dengan lebih 42 juta pengikut, Elon Musk berada di kedudukan ke-33 dunia di laman ini, iaitu di bawah NASA.

Walaupun kadang-kala beliau memuat naik memes yang agak kelakar di Twitter, namun ia juga merupakan tempat di mana Elon Musk memberikan komen yang sangat mengejutkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebagai contoh, Elon Musk membalas soalan yang ditanya oleh seseorang tentang menghantar 1 juta manusia ke planet Marikh menjelang tahun 2050, dan beliau menjawab "Ya".

tweet elon musk tentang hantar manusia ke marikh

Persoalannya, walaupun tiada apa yang mustail, namun adakah ini realistik yang mana tempohnya adalah kurang dari 30 tahun dan melibatkan 1 juta orang.

Ia pada dasarnya seperti membawa kesemua penduduk di Seberang Perai, Pulau Pinang (818,197 orang) dan menghantar kesemua mereka bersama-sama infrastruktur ke planet merah ini.

Ini belum diambil kira planet ini yang terletak beratus juta kilometer dari Bumi secara purata, dan tempoh untuk pergi ke Marikh adalah sekitar 6 hingga 8 bulan. Dan tempoh ini hanyalah untuk pergi sahaja, bukannya pergi dan pulang!

Jadi, jom kita bincangkan betapa mustahil atau sebaliknya rancangan gila Elon Musk ini.

Pertama sekali, kita perlu bincangkan tentang teknologi untuk ke Marikh itu sendiri dan melihat sama ada ia munasabah atau tidak.

elon musk hantar 1 juta manusia ke marikh

(Roket Starship ciptaan SpaceX)

Komponen utama untuk penghijrahan dahsyat ini berlaku adalah melibatkan roket terbaru ciptaan SpaceX yang dikenali sebagai Starship.

Starship adalah kapal angkasa super yang boleh digunakan semula yang telah dibangunkan sejak tahun 2018.

Masih dalam tahap prototaip sehingga hari ini, roket ini bakal terdiri daripada dua komponen, iaitu pelancar atau pendorong super untuk komponen pertama dan kapal angkasa itu sendiri untuk komponen kedua.

Sebaik sahaja ia siap dan berada di atas pad pelancaran, Starship bersaiz 122 meter tinggi dengan berat 150 tan, sekaligus menjadikannya sebagai kapal angkasa terbesar yang pernah dibina manusia.

perubahan ciptaan kapal angkasa oleh spacex

Malah, roket ini mempunyai kuasa 3.5 kali ganda daripada Saturn V, roket yang menghantar angkasawan NASA ke bulan beberapa dekad yang lalu, dan mampu mengangkut 100 tan muatan ke orbit dan seterusnya menuju ke Marikh.

Untuk memudahkan gambaran, Starship mampu mengangkut hampir 95 buah Perodua Myvi, kereta kesayangan rakyat Malaysia, ke Marikh dalam setiap perjalanan.

Dan seperti yang diberitahu di atas, roket ini boleh digunakan semula. Sebaik sahaja ia dilancarkan dan menuju ke angkasa lepas, komponen pertama turun kembali ke bumi dan mendarat seperti yang dilakukan oleh Falcon 9 milik SpaceX.

Malah, roket ini juga mampu untuk mendarat secara tegak dengan sendirinya.

Dan walaupun anda mungkin beranggapan bahawa apa yang perlu dilakukan untuk menjayakan misi ini adalah melengkapkan ciptaan Starship dan melancarkannya ke Marikh, namun ia tidak semudah itu.

falcon 9 space x

(Falcon 9 ciptaan SpaceX)

Seperti yang dijangkakan, sebaik sahaja roket ini dilancarkan dari Bumi, bahan bakarnya perlu diisi semula untuk memulakan perjalanannya ke Marikh.

Ini kerana walaupun ia merupakan sebuah roket yang sangat berkuasa, namun ia masih memerlukan sebahagian besar daripada bahan bakarnya hanya untuk mengatasi tarikan graviti Bumi.

Maka, untuk setiap roket yang menghala ke Marikh, sebuah lagi roket juga perlu dilancarkan untuk mengisi minyak setiap satu daripadanya.

Dan apa yang merumitkan lagi misi gila ini adalah jarak di antara kedua-dua planet Bumi dan Marikh adalah berubah-ubah.

animation of mars reconnaissance orbiter trajectory

Ini kerana Marikh mengikut apa yang dikenali sebagai orbit eksentrik, yang bermaksud tidak seperti orbit Bumi, orbit Marikh tidak bulat.

Jadi, walaupun pada masa-masa tertentu Bumi terletak sangat hampir dengan Marikh iaitu sekitar 62.07 juta kilometer, pada masa yang lain kedua-duanya terpisah pada jarak yang sangat jauh iaitu sekitar 402 juta kilometer.

Ini bermakna jika kita mahu menghantar manusia ke Marikh, ia tidak boleh dilakukan sesuka hati tetapi perlu menunggu waktu di mana kedua-dua planet ini berada di kedudukan paling hampir yang mana berlaku setiap 26 bulan.

Namun masalah misi ini tidak berhenti di sini sahaja, kerana walaupun kita mungkin mampu ke Marikh dalam situasi tertentu, tetapi pulang ke Bumi adalah sesuatu yang mustahil kerana kesemua bahan bakar telah digunakan dalam perjalanan ke planet merah ini.

Dan inilah sebabnya mengapa kumpulan pertama yang menjejakkan kaki di Marikh perlu membina fasiliti penghasilan bahan bakar serta-merta. Jika tidak, anda mungkin tidak lagi dapat pulang beraya di Bumi menjelang Aidilfitri atau mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15.

pangkalan manusia di marikh

Bahan bakar yang mungkin digunakan oleh Starship ke Marikh ini dikenali sebagai "deep cryogenic methalox", atau pada dasarnya hanyalah metana dan oksigen cair.

Masalahnya adalah untuk menghasilkan bahan bakar ini di Marikh dan mencari cara paling efisyen untuk melakukannya.

Namun, ada penyelesaian kepada masalah ini iaitu menggunakan ais yang cari yang terdapat di Marikh dan juga jumlah karbon dioksida yang banyak yang boleh didapati di atmosfera planet ini.

Bahan-bahan ini bersama-sama dengan proses penukaran kimia yang kompleks, bahan bakar yang diperlukan boleh dihasilkan, namun ia memerlukan jumlah tenaga yang sangat tinggi.

Malah, untuk mengisi tangki minyak Starship sekitar 1,200 tan, jumlah tenaga yang diperlukan untuk menghasilkan bahan bakar itu di Marikh adalah sekitar 16 gigawatt jam.

sistem solar terbesar di dunia

Ini bermakna jika anda berada di Marikh selama 26 bulan dan menunggu Bumi dan Marikh berhampiran antara satu sama lain untuk pulang, anda perlu menghasilkan sekitar 1 megawatt tenaga elektrik berterusan.

Mengikut standard hari ini, penghasilan tenaga sebanyak ini memerlukan panel suria yang memenuhi 14 buah padang bola sepak antarabangsa.

Jadi, kumpulan manusia pertama perlu membawa segala alatan untuk membina panel suria seluas ini.

Jika kita anggap bahawa semua masalah di atas boleh diselesaikan, kita masih berhadapan dengan satu lagi masalah logistik yang besar.

Ketika ini, SpaceX berharap untuk melancarkan perjalanan pertama ke Marikh pada pertengahan hingga ke penghujung tahun 2020-an, yang bermakna Elon Musk hanya memiliki sekitar 25 tahun sahaja lagi untuk mencapai sasaran 1 juta manusia di Marikh menjelang tahun 2050.

misi elon musk hantar sejuta manusia ke marikh

Dalam tempoh 25 tahun ini, hanya 12 kali sahaja Bumi berada di kedudukan paling hampir dengan Marikh, untuk membolehkan SpaceX melancarkan roket mereka ke planet itu.

Elon Musk mengisyaratkan bahawa dalam tempoh setiap jendela perpindahan ini berlaku, beliau berharap untuk menghantar sekitar 1,000 buah roket dalam satu masa.

Dengan ini, 1,000 kapal akan berlepas, diisi bahan bakar semula, menunggu di orbit Bumi, dan bergerak bersama-sama menuju ke Marikh sebagai satu armada gergasi.

Dengan setiap roket membawa sekitar 100 orang, ini bermaksud bahawa setiap jendela perpindahan akan membolehkan 100,000 orang mengikuti misi ini.

Sepanjang 12 jendela perpindahan ini antara tahun 2025 dan 2050, dianggarkan 1 juta orang dapat dipindahkan ke Marikh, dengan "mudah dan lancar".

pembinaan roket starship oleh spacex

Namun, satu perkara penting yang tidak boleh diabaikan adalah perlu juga ada banyak misi menghantar kargo untuk menghantar infrastruktur dan bekalan sokongan yang sangat diperlukan untuk terus hidup di Marikh.

Malah, Elon Musk sendiri pernah memberitahu bahawa nisbah roket kargo kepada roket manusia sekitar 10:1.

Ini bermakna bagi setiap satu roket yang membawa 100 orang ke Marikh, akan ada 10 roket tambahan digunakan untuk membawa barangan keperluan.

Jadi secara realitinya ini melibatkan sekitar 100,000 atau lebih perjalanan roket ke Marikh untuk merealisasikan sasaran 1 juta manusia di planet itu.

Ini sekaligus menjadikan sasaran ini sangat rumit, dan dengan hanya 12 jendela perpindahan yang bakal berlaku antara tahun 2025 dan 2050, purata roket yang akan dihantar dalam tempoh ini adalah sekitar 8,333 roket setiap kali.

Bukan itu sahaja, kita juga perlu mengambil kira untuk menggandakan jumlah roket yang diperlukan kerana separuh daripadanya akan tersadai di planet merah itu menunggu untuk pulang pada jendela perpindahan seterusnya.

bumi dan marikh

Juga perlu diketahu bahawa roket tambahan diperlukan bagi mengisi semula bahan bakar kepada roket-roket yang menuju ke Marikh, banyak kan?.

Jadi, untuk menghantar 1 juta manusia ke Marikh, Elon Musk memerlukan sekitar 15,000 hingga 20,000 Starship sepanjang tempoh 25 tahun.

Dan walaupun tiada apa yang mustahil, ini kedengaran seperti sangat mustahil. Malah, jika SpaceX mampu membina 2 Starship seminggu bermula hari ini, mereka hanya mampu menghasilkan 3,000 Starship menjelang tahun 2050, jauh daripada jumlah yang diperlukan.

Untuk merumitkan lagi keadaan, kos pembinaan 20,000 Starsthip yang mana mencecah trilion dolar, belum diambil kira kos bahan bakar untuk ke Marikh.

Jadi, adakah anda rasa misi gila Elon Musk menghantar 1 juta manusia ke Marikh menjelang tahun 2050 boleh dilakukan?

Pastinya ramai juga yang tertanya-tanya mengapa perlu ke Marikh sedangkan kita hidup di Bumi, kan?

Wallahualam.




Hakcipta iluminasi.com (2017)