Sekiranya anda salah seorang yang gemar mengikuti kisah penerokaan angkasa, pasti anda pernah mendengar sebuah lawak yang berbunyi lebih kurang begini;

"Kerajaan Amerika Syarikat menerusi NASA membelanjakan jutaan dollar untuk membangunkan pen yang boleh digunakan di angkasa. Kerajaan Russia pula membekalkan angkasawan mereka dengan pensil sahaja."

angkasawan rusia putin pencil

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebenarnya - kisah ini tidak benar, bukan saja daripada segi sejarah malahan daripada segi faktanya juga. Namun persoalannya, bagaimana kisah di atas bermula? Ada sebabnya kenapa perkara itu dijadikan jenaka. Ini kisahnya.

Benarkah pensil selamat di angkasa lepas?

lawak nasa russia

Walaupun bunyinya seakan-akan logik dan memudahkan, pensil sebenarnya mempunyai risiko yang amat tinggi sekiranya digunakan dalam ruangan graviti sifar. Pensil sudah digunakan semasa peringkat awal penjelajahan angkasa, sebelum misi Apollo dilancarkan.

Misi Apollo menjadi misi pertama di mana angkasawan dibekalkan dengan pen, kerana pensil yang mereka gunakan walaupun diperbuat daripada bahan grafit yang lebih keras, tetap boleh pecah menjadi serpihan halus. Pensil juga berisiko untuk patah serta meninggalkan sisa habuk yang boleh menjejaskan peralatan mereka.

Sebelum mula menggunakan pen, pensil mekanikal atau dalam bahasa kita, pensil tekan digunakan berikutan ketiadaan pilihan lain. Bagaimanapun, ruangan angkasa yang bergraviti sifar menyukarkan bahan grafit pada pensil untuk melekat pada kertas, menyebabkan tulisan menjadi comot dan sukar dibaca.

Realitinya - pensil memang pernah digunakan di angkasa tetapi bukan kerana pensil lebih mudah berbanding pen. Pensil digunakan kerana pada waktu tersebut, pen yang sesuai belum dicipta.

Penciptaan pen angkasa

pensil mekanikal angkasa

Berlaku kontroversi besar semasa NASA melakukan pembelian pensil mekanikal bagi kegunaan angkasawan. Projek Gemini yang merupakan projek kedua NASA dalam percubaan menghantar angkawasan ke ruangan angkasa mendapat kritikan selepas didedahkan bahawa NASA menggunakan kos yang sangat tinggi untuk membeli pensil mekanikal. Setiap sebatang berharga $128.99 atau sekitar RM530 pada tukaran sekarang.

Pesanan 34 batang pensil mekanikal yang dibuat NASA menyebabkan NASA perlu mengeluarkan amaun RM17,807 hanya untuk pensil. NASA bertindak menarik semula pesanan lalu menukar pesanan mereka pada produk lebih berpatutan.

Ekoran kontroversi yang pernah timbul itu, NASA mula lebih berhati-hati dalam menguruskan pembelian barangan kelengkapan angkasawan, sehinggakan apabila sebuah syarikat bernama Fisher Pen Co. menawarkan ciptaan pen mereka yang dikatakan sangat sesuai untuk kegunaan angkasawan dalam keadaan graviti sifar, NASA menolak permintaan itu kerana takut bantahan orang ramai kembali timbul.

Pembangunan pen angkasa secara sendirian

fisher pen angkasa

Pemilik Fisher Pen Co., seorang ahli perniagaan bernama Paul Fisher telah pun membelanjakan jutaan dollar bagi membangunkan teknologi pen yang dinamakan Space Pen.

Berbeza dengan pen mata bola biasa, Space Pen mempunyai tangki dakwat yang bertutup, membolehkan dakwatnya kekal dalam keadaan optimum dan tidak akan kering. Selain itu Space Pen juga menyelesaikan masalah ketiadaan tekanan dalam pen, yang akan menyebabkan dakwat tidak mahu keluar.

Oleh kerana ketiadaan graviti di angkasa, tangki dakwat Space Pen turut sama mengandungi gas nitrogen yang bertanggungjawab untuk menolak dakwat dalam tangki ke mata pena. Selain itu, Paul Fischer turut mencipta sejenis dakwat yang berbeza dengan dakwat biasa yang ada. Dakwat yang dibuat dengan menggunakan cecair thixotropic mampu menyesuaikan diri dengan keadaan secara semulajadi, berdasarkan tekanan yang diberikan padanya.

space pen jenama fisher

Berikutan pelaburan yang besar sudah dikeluarkan serta menjadi pemegang paten tunggal teknologi pen tersebut, Fischer tidak mengalah lalu tetap cuba melobi NASA bagi membeli pen ciptaan syarikat beliau. Dua tahun kemudian, sekitar tahun 1965 selepas melalui sesi ujian serta penambahbaikan - NASA akhirnya melakukan pesanan Space Pen sebanyak 400 unit pada harga $6 dollar sebatang.

Soviet Union menjadi pihak kedua membeli Space Pen dengan pesanan 1,000 unit beserta tambahan 1,000 tangki dakwat bagi menggantikan pensil berasaskan minyak yang mereka gunakan sebelum itu.

Sekiranya anda bertanya adakah pen mata bola biasa berfungsi di angkasa, jawapannya ya. Tetapi agar sukar untuk menggunakannya apatah lagi apabila perlu menulis dalam keadaan terbalik. Space Pen menyelesaikan masalah ini kerana tangki dakwatnya mampu mengekalkan tekanan walau dalam apa jua cara pen itu akan digunakan angkasawan, bagi mencatatkan tulisannya.

Rujukan

NASA




Hakcipta iluminasi.com (2017)