Misi penjelajahan ke angkasa lepas, bulan dan planet Marikh sering diperkatakan. Namun, mungkin tidak ramai yang tahu bahawa saintis juga sebenarnya telah lama merancang misi ke matahari untuk mengkaji lebih lanjut mengenainya.

Malangnya, ia bukanlah misi yang mudah memandangkan matahari merupakan sumber cahaya dan tenaga haba yang sangat panas. Dengan teknologi yang ada sebelum ini, adalah mustahil untuk menghampirinya. Malah, di Bumi sekalipun manusia mempunyai risiko untuk maut akibat daripada kepanasan yang melampau.

Malah, apa sahaja benda yang menghampiri matahari mungkin akan cair kerana suhunya yang tersangat panas. Menariknya, baru-baru ini NASA baru sahaja melancarkan sebuah kapal angkasa tanpa pemandu (probe) dalam misi untuk menjalankan kajian lanjut mengenai matahari.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Diberi nama Parker Solar Probe

    

Sekiranya anda tidak tahu, kapal angkasa ini diberi nama Parker Solar Probe. Nama "Parker" ini merujuk kepada Eugene Parker, seorang ahli fizik yang memperkenalkan teori kewujudan solar wind pada tahun 1958. Ini merupakan pertama kali NASA menamakan sesuatu misi kepada seorang saintis yang masih hidup.

Sebuah plak juga telah dilekatkan pada kapal angkasa ini menyatakan ianya didedikasikan untuk saintis ini, berserta dengan ayatnya yang popular “Let’s see what lies ahead”. Untuk perkembangan terkini mengenai misi ini, boleh lawati halaman rasmi Parker Solat Probe di laman web NASA.

Video di atas merupakan reaksi sewaktu beliau menyaksikan detik bersejarah upacara pelancaran kapal angkasa ini pada 12 Ogos 2018 baru-baru ini.

Mencari rahsia di sebalik lapisan corona matahari

Walaupun pelbagai teori mengenai matahari sudah lama wujud, saintis mengambil masa selama hampir 60 tahun sebelum benar-benar mampu menghantar misi ke matahari. Dalam misi ini, saintis akan memfokuskan kajian mereka kepada lapisan corona, iaitu lapisan luar matahari yang dikatakan memiliki suhu 300 kali ganda lebih panas daripada suhu di permukaan matahari itu sendiri.

Kajian terhadap lapisan corona ini dikatakan bakal memberi jawapan kepada beberapa soalan penting seperti kewujudan solar wind di sistem suria dan bagaimana zarah energik solar mampu bergerak selaju separuh daripada kelajuan cahaya apabila ianya bergerak jauh daripada matahari dan beberapa soalan penting lain.

Penggunaan teknologi termal yang menghalangnya daripada cair

Tanpa kemajuan teknologi kejuruteraan termal, misi mengkaji matahari ini adalah sangat mustahil memandangkan suhu matahari yang tersangat panas itu boleh mencairkan apa sahaja yang menghampirinya.

Antara sebab mengapa kapal angkasa ini mampu bertahan adalah penggunaan pelindung haba dan penggunaan teknologi pintar yang mampu mengawal suhu dalaman kapal angkasa ini agar ianya mampu bergerak dengan sempurna. Sila tonton video di atas untuk penerangan ringkas mengenai teknologi yang digunakan di kapal angkasa ini.

Kepentingan misi ini kepada sains

parker solar probe 533

Sama seperti misi ke planet Marikh, misi ini juga mempunyai kepentingannya kepada manusia dan sains. Data-data yang diperolehi kelak boleh digunakan untuk menambah baik teknologi ramalan cuaca ruang angkasa yang berpotensi merosakkan satelit dan membahayakan angkasawan di orbit, mengganggu komunikasi radio dan grid tenaga kapal angkasa.

Keseluruhan misi ini dijangka mengambil masa selama 7 tahun. Menjelang awal November, kapal angkasa ini dijangka berada pada kedudukan 24.1 juta kilometer daripada matahari, iaitu di lapisan corona matahari. Jarak ini merupakan jarak paling hampir yang pernah dicapai oleh manusia.

venus flyby

Dalam tempoh 7 tahun ini, kapal angkasa ini akan bergerak mengikut garisan Venus flyby sebanyak 6 kali dan melintasi matahari sebanyak 26 kali. Jarak yang paling hampir antara kapal angkasa ini dengan matahari adalah 6.1 juta kilometer. Pada jarak ini, kapal angkasa ini akan bergerak pada kelajuan 692,000 km/jam, menjadikannya ciptaan manusia paling laju di dunia.

Kredit:

  1. NASA
  2. Space.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)