Oleh pada 25 Jun 2018 kategori

Antara mitos sains yang popular sejak dahulu kala adalah dakwaan bahawa Tembok Besar China dapat dilihat daripada angkasa lepas. Dakwaan ini seakan-akan benar memandangkan strukturnya yang sangat panjang dan besar.

Walau bagaimanapun, satu ketika dahulu kami pernah menulis artikel Adakah Tembok Besar China Boleh Dilihat Daripada Angkasa? yang menyanggah dakwaan ini. Artikel tersebut juga turut menerangkan beberapa sebab dan fakta mengapa mitos dan dakwaan ini tidak benar sama sekali.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jadi, sekiranya Tembok Besar China tidak boleh dilihat daripada angkasa adakah terdapat ciptaan manusia yang benar-benar boleh dilihat daripada angkasa? Jawapannya, ada! Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi beberapa binaan atau ciptaan manusia yang benar-benar boleh dilihat dari angkasa lepas.

1. Piramid Giza

pemandangan piramid giza daripada angkasa

Piramid Giza yang terletak di Mesir merupakan binaan yang masih menjadi misteri dan perdebatan sehingga kini. Proses pembinaannya begitu misteri sehinggakan ada teori yang mengatakan piramid ini dibina oleh alien. Walaupun sudah wujud ratusan tahun dan mengalami pelbagai perubahan cuaca, peperangan dan hakisan, ianya masih kekal utuh dan dan berdiri tegak sehingga ke hari ini. 

Walau terdapat banyak konspirasi teori mengenai piramid ini, apa yang pasti ianya dapat dilihat dari angkasa lepas. Pada hari terakhir di Stesyen Angkasa Antarabangsa, angkasawan Terry Virts telah berjaya mengambil gambar yang jelas menunjukkan binaan piramid ini. Gambar ini membuktikan pada hari yang mempunyai cuaca yang baik apabila matahari tepat memancar ke arah piramid, maka akan jelas pembentukan piramid dan bayang-bayangnya yang dapat dilihat daripada angkasa.

2. Rumah Hijau di Almeria, Sepanyol

rumah hijau di almeria

Mungkin ramai yang tidak mengetahuai mengenai bandar Almeria. Almeria merupakan sebuah bandar di Sepanyol yang sangat panas suatu ketika dahulu. Walau bagaimanapun, sejak beberapa dekad kebelakangan ini, kegiatan pertanian menggunakan kaedah penanaman hidroponik secara besar-besaran telah mengubah keadaan suhu setempat, menjadikannya sebagai kawasan rumah hijau terbesar di Eropah.

Kini, sebahagian besar bandar Almeria telah dibina Rumah Hijau untuk bidang pertanian menggunakan kaedah hidroponik ini. Keadaan ini juga menjadikan kawasan ini memantul lebih banyak cahaya ke angkasa, menjadikannya lebih mudah dilihat daripada angkasa. Malah, ketika mana bandar-bandar lain di Sepanyol semakin panas, bandar ini kekal sejuk.

3. Projek pulau buatan manusia di Dubai

pulau buatan manusia dubai

Projek pulau buatan manusia di Dubai membuktikan kemajuan teknologi kejuruteraan manusia. Projek ini menyaksikan pembinaan beberapa buah pulau buatan manusia di pesisir laut Dubai antaranya projek The World, iaitu gugusan pulau-pulau kecil yang menyamai bentuk glob dan juga projek Palm Jumeirah, gugusan pulau yang membentuk lambang kelapa sawit.

Projek tambakan laut ini juga tidak lari daripada kontroversi terutamanya kesannya kepada alam sekitar. Bagi mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar, pulau ini telah ditambak menggunakan pasir. Ramai pihak yang menyatakan kebimbangan pulau-pulau ini akan mudah terhakis akibat daripada penggunaan pasir ini. Namun teknologi kejuruteraan yang digunakan berjaya mengatasi masalah ini. Dari angkasa, pulau-pulau berbentuk unik ini dapat dilihat dengan jelas sekali.

4. Pencemaran udara di China 

pencemaran udara di china 104

Pencemaran udara di China ini sengaja dimasukkan dalam senarai ini memandangkan ianya adalah akibat perbuatan manusia. Gambar di atas diambil pada tarikh 4 Disember 2016 mengenai keadaan udara di China. Kabus yang tebal ini menyebabkan banyak kemalangan jalan dan banyak syarikat penerbangan terpaksa membatalkan penerbangan mereka.

Tahap kualiti udara juga berada pada zon jingga, menandakan ianya tidak sihat untuk manusia. Daripada angkas lepas, kelihatan sesetengah bandar di China diliputi lapisan putih asap kabus ini. Kerajaan China amat memandang serius keadaan ini. Kerajaan sangat proaktif dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dengan memperkenalkan polisi-polisi baru dan melaburkan ratusan juta ringgit dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui (renewable technology).

Malah, mengikut World Resources Institute, jumlah pelaburan China dalam pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui mengatasi pelaburan negara Amerika Syarikat.

Kredit:

  1. Phys.org
  2. Mic



Hakcipta iluminasi.com (2017)