Oleh pada 09 Dec 2021 kategori

Ketika Perang Dingin, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet berlumba-lumba menghantar rakyat mereka ke angkasa lepas. Perancis yang juga tidak mahu ketinggalan telah menghantar "angkasawan" mereka sendiri bernama Felicette.

Namun, Felicette bukanlah seperti angkasawan biasa. Dia hanya seberat 2.5kg dan menghabiskan sepanjang hayatnya tinggal di jalanan di bandar Paris. Sebenarnya, Felicette adalah salah seekor daripada 14 ekor kucing yang dilatih saintis Perancis untuk terbang ke angkasa lepas.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada tahun 1963, Felicette mencipta sejarah sebagai kucing pertama dan satu-satunya yang berjaya ke angkasa lepas. Walau bagaimanapun, legasinya seolah-olah dilupakan tidak seperti Laika si anjing dan Ham si chimpanzee yang popular kerana berjaya dihantar ke angkasa lepas.

Ini adalah kisah Felicette, kucing pertama dan satu-satunya diterbangkan ke angkasa lepas.

Perlumbaan angkasa lepas

Pada pertengahan tahun 1950-an, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet (U.S.S.R) telah memulakan satu persaingan dalam teknologi angkasa lepas. Ia merupakan salah satu saingan yang berlaku ketika Perang Dingin di antara mereka.

felicette 659

Pada tahun 1960-an, perlumbaan angkasa ini semakin memuncak. Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat menghantar angkasawan mereka ke ruang angkasa dan Bulan.

Perancis yang juga merupakan satu kuasa besar merasakan program angkasa mereka ketinggalan jauh. Walaupun pernah menghantar tikus menggunakan roket, ia tidaklah begitu mengagumkan seperti Laika (anjing yang dihantar Soviet) atau Ham (chimpanzee yang dihantar A.S) ke angkasa lepas.

Tambahan pula, tikus yang dihantar Perancis tidak memberikan saintis mereka banyak maklumat. Matlamat utama menghantar haiwan ke angkasa lepas adalah untuk memahami kesan penerbangan itu terhadap psikologi manusia.

Jadi, Perancis memutuskan untuk menghantar haiwan seterusnya iaitu kucing. Pada waktu itu, kucing adalah haiwan yang banyak digunakan untuk kajian neurofisiologi (saraf). Ia adalah lebih munasabah untuk menggunakan haiwan yang telah difahami saintis.

Latihan "angkasawan" Perancis

Saintis Perancis telah memilih 14 ekor kucing untuk misi ini dan semuanya adalah betina. Kesemua kucing ini kemudian diberikan latihan "angkasawan" untuk menyediakan mereka ke angkasa lepas.

felicette angkasawan

Felicette (paling kiri) bersama kucing lain yang dilatih saintis Perancis

Salah seekor daripada kucing ini dinamakan sebagai "C 341" yang kemudian dikenali dengan nama Felicette. 14 ekor kucing ini telah melalui proses saringan yang ketat untuk melihat bagaimana mereka bertindak balas terhadap penerbangan angkasa lepas.

Kucing-kucing ini dipakaikan elektrod pada kepala mereka dan dilatih untuk berada dalam kurungan, didedahkan dengan bunyi roket yang kuat dan pelbagai latihan lagi selama beberapa bulan.

Menurut salah seorang saintis, sekiranya ada reaksi panik pada kucing tersebut maka ia akan disingkirkan kerana signal otaknya sukar dibaca.

Angkasawan kucing pertama 

Di antara 14 ekor kucing itu, Felicette adalah salah seekor daripada enam calon akhir. Felicette terpilih kerana ia berjaya mengekalkan berat badan, sentiasa tenang dan mudah dikendalikan. 

felicette kucing pertama di angkasa lepas

Akhirnya, Felicette terpilih untuk dihantar ke angkasa lepas. Pada 18 Oktober 1963, dia ditempatkan dalam roket Veronique AG1 dan dilancarkan ke ruang angkasa tepat jam 8:09 pagi.

Roket itu terbang begitu tinggi sehingga menghampiri jarak 157 km. Selepas selama 15 minit berada di ruang angkasa, Felicette kembali ke Bumi sebagai wira Perancis.

Felicette yang asalnya dinamakan sebagai "C 341" telah digelar sebagai "Astrocat" oleh media Perancis. Pihak media Perancis yang menamakannya sebagai Felix berdasarkan kartun popular "Felix". Setelah mengetahui ia adalah kucing betina, mereka mengubahnya kepada Felicette.

Legasi kucing pertama di angkasa lepas

Malangnya, saat kegemilangan Felicette tidak bertahan lama. Tidak lama selepas kembali ke Bumi, saintis mematikannya supaya mereka boleh mengkaji otaknya.

Sejak itu, legasi Felicette semakin dilupakan. Mengapa Felicette tidak diraikan atau diingati seperti Laika dan Ham? Sebenarnya, tumpuan dunia lebih kepada perlumbaan angkasa di antara A.S dan Kesatuan Soviet. Tambahan pula, Perancis tidak pernah menghantar manusia ke angkasa lepas.

setem felicette

Setem yang dikeluarkan kerajaan Perancis

Malah, kerajaan Perancis sendiri tersilap ketika mengeluarkan setem untuk memperingati jasa Felicette. Mereka mencetak nama Felix pada setem kerana menyangka ia adalah kucing jantan, kesilapan sama dilakukan media Perancis.

Hampir lebih 50 tahun dilupakan, seorang lelaki bernama Matthew Serge Guy memulakan kempen Kickstarter untuk pengebumian terhormat Felicette pada 2017.

Guy berjaya mengumpul sebanyak USD 57,000 dan membina satu tugu Felicette di Universiti Angkasa Antarabangsa di Strasbourg, Perancis. Malah, Universite Toulouse III mengumumkan akan menamakan balai cerap mereka sebagai Felicette dan menggunakan logo "Astrocat" pada tahun 2023.

Guy dan ramai lagi rakyat Perancis sangat berbangga kerana Felicette akhirnya menerima penghormatan yang sepatutnya seperti Laika dan Ham.




Hakcipta iluminasi.com (2017)