Pada tahun 1960-an, Perlumbaan Angkasa atau Space Race adalah pertandingan berbahaya melibatkan ego, cita-cita dan kelebihan politik antara dua musuh Perang Dingin iaitu Kesatuan Soviet (USSR) dan Amerika Syarikat.

U.S.S.R telah beberapa kali berjaya mengalahkan Amerika Syarikat bermula dengan kejutan Sputnik iaitu satelit pertama yang dihantar ke luar orbit Bumi pada tahun 1957. Pada tahun 1961 pula, Kesatuan Soviet telah menghantar manusia pertama ke ruang angkasa, Yuri Gagarin, menjadikannya wira negara dan selebriti dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Akan tetapi, keadaan terburu-buru untuk menjadi peneraju dalam bidang penerokaan ruang angkasa juga menyebabkan Kesatuan Soviet mempunyai sejarah tragis apabila mencatatkan kemalangan maut pertama penerbangan angkasa. Ia berlaku apabila kapal angkasa yang dinaiki oleh angkawasan Vladimir Komarov jatuh terhempas ke Bumi pada tahun 1967.

Perlumbaan angkasa antara dua kuasa besar dunia

ussr vs usa

Menjelang tahun 1967, Perlumbaan Angkasa telah maju selangkah ke hadapan. Kedua-dua seteru iaitu Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet telah menghantar manusia ke angkasa untuk mengorbit Bumi selama beberapa hari.

Kapal angkasa mereka telah mendarat di stesen angkasa lepas dan angkasawan dari kedua-dua negara itu juga boleh keluar daripada kapal angkasa mereka untuk berada di ruang angkasa lepas.

Kedua-dua negara itu juga sedang menyasarkan pada pendaratan di Bulan. Ketika itu kedua-dua kuasa besar itu telah menandatangani Perjanjian Angkasa Lepas oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membatasi penggunaan eksplorasi ruang angkasa bagi mengelak sebarang pertelingkahan. Akan tetapi, pada tahun yang sama juga dunia menyaksikan tragedi yang disebabkan perlumbaan ini.

krew apollo 1

Dari kiri: Ed White, Gus Grissom dan Roger Chaffee

Pada Januari 1967 iaitu hari yang sama Amerika Syarikat menandatangani Perjanjian Angkasa Lepas, tiga angkasawan mereka terbunuh apabila kebakaran meletus dalam kapal angkasa mereka semasa melakukan ujian. Gus Grissom, Ed White dan Roger Chaffee terbunuh dalam kapsul Apollo 1, sebulan sebelum mereka dirancang untuk berlepas.

Sementara itu, pemerintah Kesatuan Soviet ketika itu iaitu Leonid Brezhnev ingin melakar sejarah sempena sambutan ulangtahun ke-50 revolusi Bolshevik yang bermula pada Mei 1917. Jurutera Soviet telah merancang untuk melancarkan dua kapal angkasa iaitu Soyuz 1 yang dinaiki angkasawan Vladimir Komarov, diikuti oleh Soyuz 2 yang dinaiki oleh dua angkasawan lain.

Mereka bercadang untuk menjelajah, mendarat, bertukar anak kapal melalui extra-vehicular activity (EVA) di angkasa lepas dan kembali ke Bumi dengan selamat. Misi Soyuz itu juga akan digunakan dalam penjelajahan ke Bulan pada masa akan datang sekiranya berjaya.

Misi yang ditakdirkan gagal sejak mula

soyuz 1

Soyuz-1

Beberapa masalah mula timbul bagi pasukan jurutera Soyuz 1. Sebagai permulaan, pembukaan terowong EVA itu terlalu kecil untuk memuatkan angkasawan yang dilengkapi dengan sut angkasa lepas. Pasukan pemeriksa juga telah menemui 203 jenis masalah pada Soyuz 1 yang diperincikan dalam memo 10 muka surat.

Sekurang-kurangnya 50 orang jurutera yang terlibat dalam penghasilan memo itu tetapi tiada seorangpun yang memberi amaran kepada Brezhnev kerana takut untuk menyampaikannya. Meminta untuk menangguhkan penerbangan akan mencerminkan ketidakcekapan pihak Kesatuan Soviet dan ia bukanlah satu pilihan.

Komarov adalah kawan rapat kepada Yuri Gagarin, lelaki pertama yang berada di ruangan angkasa lepas. Mereka dan keluarga sering menghabiskan masa terluang bersama-sama terutamanya ketika pergi memburu.

gagarov dan komarov

Yuri Gagarin dan Vladimir Komarov

Komarov pernah melahirkan keraguannya tentang misi itu kepada rakan baiknya dan dimuatkan dalam biografi Starman : The Truth Behind the Legend of Yuri Gagarin Oleh Jamie Doran dan Piers Bizony. Komarov berkata dia mungkin tidak akan kembali semula selepas penerbangan itu.

Ada dakwaan yang mengatakan bahawa Gagarin sendiri adalah pengarang memo 10 muka surat itu walaupun dokumen itu tidak lagi ditemui hari ini. Gagarin dikatakan telah menyerahkan memo itu kepada salah seorang rakannya yang merupakan pegawai KGB.

Pegawai itu kemudian menyerahkan dokumen itu kepada pihak atasannya. Akan tetapi, pegawai telah diturunkan pangkat dan dipindahkan untuk bertugas di sebuah kawasan terpencil kerana menimbulkan kemarahan pihak atasannya.

Ada juga dakwaan mengatakan bahawa Komarov tidak mahu rakan baiknya Gagarin yang merupakan angkasawan simpanan Soyuz 1 mengambil bahagian dalam misi yang ditakdirkan untuk gagal itu supaya Kesatuan Soviet tidak kehilangan seorang wira negara yang disanjungi mereka.

Kematian pertama dalam sejarah pesawat angkasa lepas

vladimir komarov 77

Walau apapun andaian yang berlegar, Vladimir Komarov akhirnya dalam perjalanan menaiki pesawat Soyuz 1 pada 23 April 1967. Rakan-rakan angkasawan lain cuba menyanyikan lagu kepada Komarov untuk memberinya semangat.

Masalah bermula dengan serta-merta semasa pelancarannya Soyuz 1. Salah satu panel suria pesawat itu gagal berfungsi menyebabkan kuasa pelancaran menjadi tidak seimbang. Sistem kawalan terma merosot dan komunikasi dengan pusat kawalan juga rosak, mengakibatkan kapal angkasa itu berputar.

Di pusat kawalan, para komandan memutuskan untuk menghentikan pelancaran Soyuz 2 dan cuba untuk membawa Komarov kembali ke Bumi. Selama lima jam, Komarov mengelilingi Bumi dalam cubaan untuk kembali kerana masalah peralatan yang rosak dan terputus hubungan dengan pusat kawalan.

vladimir komarov 2

Stesen-stesen angkasa lepas Amerika yang berpangkalan di Turki berjaya mendengar panggilan kecemasan daripada Komarov di mana dia sedang menyumpah-seranah dan marah. 

Setelah 18 kali mengorbit bumi, Komarov berjaya melancarkan retroroket dan memasuki atmosfera Bumi walaupun sudut Soyuz 1 berada dalam kedudukan tidak sesuai. Sewaktu kraf itu turun, payung terjunnya pula gagal untuk dilancarkan.

Soyuz 1 terhempas di padang rumput berhampiran Orenburg, barat daya Rusia berhampiran dengan sempadan Kazakhstan pada jam 7 pagi 24 April. Tiada apa yang tersisa akibat hentaman itu, hanya serpihan besi dan sedikit cebisan tumit kakinya.

Kesan kematian Komarov kepada Yuri Gagarin

sisa kapsul soyuz 1

Yuri Gagarin sangat terkesan dengan kematian rakan baiknya itu. Dia kemudian memberikan wawancara berisiko kepada akhbar Pravda dengan mengkritik misi kerajaannya sendiri. Setahun kemudian, Gagarin meninggal dunia setelah jet pejuang yang dipandunya semasa penerbangan rutin terhempas.

Pengebumian rasmi Komarov telah diadakan di Moscow dan abu mayatnya ditempatkan di Kremlin Wall Necropolis di Red Square. Para angkasawan Amerika telah meminta kerajaan Soviet membenarkan wakil mereka hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Komarov tetapi ditolak.

pengebumian komarov

Komarov telah dinugerahkan pingat kedua Order of Lenin dan Order of Hero of the Soviet Union selepas kematiannya. Sebelum memulakan misi Soyuz 1, Komarov pernah bergurau agar persiapan pengebumiannya diadakan terlebih dahulu. Ia merupakan peringatan yang mengerikan mengenai bahaya perjalanan angkasa pada peringkat awal. Dia berusia 40 tahun ketika meninggal dunia.

Rujukan:

1. National Public Radio

2. Space Safety Magazine

3. Live Science




Hakcipta iluminasi.com (2017)