Kesatuan Soviet pada 19 April 1971, telah berjaya melancarkan stesen angkasa pertama dunia yang dinamakan Salyut 1.

Bagaimanapun, usaha mereka untuk membawa naik tiga orang angkasawan dalam misi 'Soyuz 10' untuk ditempatkan ke dalam Salyut 1 pada 22 April 1971 berdepan kegagalan, selepas kru angkasawan yang telah pun berjaya sampai ke Salyut 1 - gagal membuka pintu masuk Salyut 1, menyebabkan tiga angkasawan terpaksa pulang ke bumi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi meneruskan program angkasa di Salyut 1, Kesatuan Soviet sekali lagi melancarkan program Soyuz 11, membawa tiga orang angkasawan bernama Georgy Dobrovolsky, Vladislav Volkov dan Viktor Patsayev.

Dobrovolsky, Volkov dan Patsayev berjaya melakukan apa yang kru Soyuz 10 gagal. Misi itu yang dianggarkan akan berakhir dalam tempoh 30 hari memerlukan mereka tinggal di Salyut 1 melakukan pelbagai ujikaji semasa berada di angkasa.

Tidak ada siapa menyangka Dobrovolsky, Volkov dan Patsayev akan menjadi tiga orang manusia pertama dan terakhir (setakat ini) diisytiharkan meninggal dunia di angkasa.

Kejayaan Soyuz 11

soyuz 11 kru

Kesatuan Soviet melancarkan kajian penyelidikan stesen angkasa, berikutan kejayaan Amerika Syarikat menjejaki bulan. Program Salyut 1 dilihat sebagai satu cara untuk kerajaan Soviet mengembalikan semula reputasi mereka dalam bidang penerokaan angkasa.

'Salyut 1' merupakan sebuah stesen angkasa orbit rendah,menjadi asas kepada usaha kerajaan Soviet memajukan lagi teknologi stesen angkasa mereka. Mula dibina pada tahun 1970 dengan tujuan untuk membolehkan penyelidikan saintifik dijalankan di dalamnya, 'Salyut 1' mempunyai panjang 15.8 meter dengan berat skitar 18.9 tan semasa dilancarkan.

Projek Soyuz 11 dimulakan pada 6 Jun 1971. Dobrovolsky, Volkov dan Patsayev mengambil masa 3 jam 19 minit untuk berjaya memindahkan diri mereka daripada kapal angkasa ke stesen angkasa tersebut tanpa sebarang insiden berlaku. Sepanjang di sana, kru 3 orang ini berjaya menghabiskan 140 ujikaji.

Mereka kemudiannya dijadualkan balik pada 29 Jun 1971 hanya selepas 24 hari, kurang daripada 30 hari waktu sepatutnya selepas mendapati terdapat bau asap yang muncul di dalam stesen tersebut. Tidak mahu mengambil sebarang risiko - Dobrovolsky, Volkov dan Patsayev kembali masuk ke dalam Soyuz tanpa sebarang insiden.

Selepas berjaya menaiki kapal angkasa mereka, kru 3 orang itu sempat mengucapkan selamatspada pengkalan di bumi sebelum mereka terputus hubungan.

Pendaratan yang berjaya namun...

soyuz 11 selepas mendarat

Pada jam 1.35 pagi, roket yang membawa mereka pulang ke bumi selamat mendarat dengan bantuan payung terjun. Kesemuanya lancar.

Jatuhan mereka ke bumi juga berlaku dengan impak yang rendah berikutan sistem pendaratan automatik berjaya menstabilkan semuanya. Namun tidak ada sebarang maklum balas dari Dobrovolsky, Volkov dan Patsayev apabila dipanggil. Tidak menyangka sesuatu yang buruk telah berlaku, pasukan petugas serta pegawai berkejar ke tempat pendaratan bagi meraikan kepulangan mereka.

Apabila pintu kapsul dibuka, mereka mendapati ketiga-tiganya sudah kebiru-biruan dengan darah mengalir keluar daripada telinga masing-masing. Walau demikian badan mereka masih panas. Ini menyebabkan kru perubatan cuba melakukan CPR bagi menyedarkan mereka, namun usaha itu gagal kerana mereka bertiga sudahpun meninggal dunia.

Siasatan bagi mengenalpasti punca kematian mereka bertiga disembunyikan pada awalnya, sebelum kerajaan Soviet sendiri mengeluarkan kenyataan menjelaskan apa yangytelah berlaku.

Wujud kerosakan pada salah satu injap yang mengawal tekanan udara akibat impak letupan yang dijadualkan berlaku, bagi membolehkan pemisahan modul kapsul pendaratan mereka. Injap yang terbuka itu menyebabkan tekanan udara di dalam kapsul itu menjadi kosong sehinggalah kapsul itu masuk ke dalam atmosfera bumi.

Penyelidik dan penyiasat membuat kesimpulan, apa yang berlaku pada mereka bertiga amat mengerikan.

Akibat ketiadaan tekanan dan terdedah dalam ruangan vakum, ini menyebabkan udara dalam dada mereka mengembang - memecahkan organ-organ dalaman mereka. Selain itu, air dalam badan mereka mula mendidih (ya, kami dah tulis tentang perihal ini) menyebabkan semua cecair dalam badan mereka berbuih, sehingga pengaliran darah terhenti sepenuhnya.

Daripada data kesihatan yang direkodkan, ketiga-tiga mereka hanya  bertahan selama 40 saat dalam ruangan vakum sebelum jantung mereka berhenti berfungsi. Ini menyebabkan darah tidak lagi sampai ke otak dan mereka hilang kesedaran diri. Realitinya, dalam tempoh tidak sampai seminit itu - mereka sebenarnya merasai sakit yang amat sangat pada bahagian dada, perut dan kepala sebelum tekanan melampau menyebabkan pendarahan di bahagian telinga dan mulut, akibat tekanan yang mahu dilepaskan.

soyuz 11 kru yang meninggal

Dobrovolsky, Volkov dan Patsayev diberikan penghormatan terakhir serta diberikan pingat tertinggi Kesatuan Soviet selepas kematian mereka. Ketiga-tiganya disemadikan di lokasi bersejarah Makam Dinding Kremlin yang unik, sesuai dengan status mereka sebagai wira negara.

Begitulah kisahnya bagaimana insiden kematian pertama di angkasa berlaku. Sehingga kini Dobrovolsky, Volkov dan Patsayev memegang status sebagai 3 individu yang pertama yang meninggal di angkasa lepas dan harapnya yang terakhir.




Hakcipta iluminasi.com (2017)