Oleh pada 15 Aug 2020 kategori

    

Big Stage 2020 merupakan sebuah rancangan pertandingan nyanyian realiti yang mengangkat bakat-bakat baharu dikenali umum sebagai penyanyi 'BBNU’ (Budak Baru Nak Up).

Terdahulu, musim pertama dan kedua masing-masing dijuarai Sarah Suhairi (2018) dan penyanyi dari Korea Selatan, Han Byul (2019).

    

konsert big stage 2020 793

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

   

Konsep

Membawa bakat nyanyian popular di platform digital ke pentas arus perdana bagi menyemarakkan lagi industri hiburan tanah air.

Pentas persaingan ini turut menjadi platform perkongsian integrasi yang mengangkat seni muzik dengan penglibatan pelbagai negara iaitu Brunei, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan sebagaimana dilaksanakan dalam penganjuran musim kedua tahun lalu.

   

Dominasi BBNU Norma Baharu

Susulan krisis Covid-19 yang melanda dunia, Big Stage kali ini yang menggunakan tagline ‘Dominasi BBNU Norma Baharu’ bakal diselaraskan dengan syarat dan garis panduan SOP norma baharu yang ditetapkan kerajaan.

Beberapa perubahan dilaksanakan, antara yang ketara termasuklah jumlah penonton yang dikecilkan berbanding dua edisi terdahulu.

Begitupun penganjuran dan kepuasan tontonan dijamin tidak terjejas kualitinya rentetan perancangan teliti yang telah diatur dari segi pemantapan kandungan program.

    

Peserta

Musim ini memperlihatkan persaingan antara 12 peserta yang mana lapan daripadanya adalah penyanyi lelaki, manakala empat lagi penyanyi wanita.

Mereka ialah Azzam Sham, Yamani Abdillah, Usop (Mentor), Sandra Dianne, Amir Hasan, Qody Rany, Fadh Majid, Hanie Soraya, Hafiz Zainal, Nana Sheme, Dinie Rashid dan Farisha Iris.

    

big stage musim 3

Kredit foto: Instagram Ajai

    

Juri

Lima juri profesional bakal mengadili persembahan konsert mingguan terdiri daripada tiga juri tetap iaitu Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah dan Ajai.

Turut serta, seorang juri undangan mingguan dan seorang presiden netizen.

'Presiden Netizen' yang dibarisi Neelofa, Caprice dan Michael Ang akan menduduki kerusi juri secara bergilir-gilir setiap konsert dengan menyuarakan kritikan daripada sudut pandang seorang penonton.

Pemilihan presiden netizen keempat akan ditentukan oleh peminat menerusi penggunaan hashtag #PNBigStage2020 mulai 4 hingga 22 Ogos 2020.

Pihak produksi akan meneliti cadangan nama yang dinyatakan orang ramai sebelum menetapkan selebriti mana yang layak menyertai kekosongan slot keempat ‘Presiden Netizen’.

    

Format Penjurian

Masih mengekalkan format penjurian sebagaimana dua musim terdahulu.

Penjurian pertama melibatkan penilaian sepenuhnya oleh juri profesional.

Kemudian tiga peserta di kedudukan tercorot akan melalui proses penjurian kedua yang menggunakan undian penonton menerusi laman sesawang www.gempak.com/bigstage dan aplikasi SYOK.

Peserta dalam kalangan 'bottom three' dengan undian paling rendah bakal disingkirkan di penghujung konsert.

   

Hadiah

Juara Big Stage 2020 bakal membawa pulang habuan wang tunai RM100,000. Diikuti naib juara dan tempat ketiga masing-masing beroleh RM50,000 dan RM25,000.

Kedudukan keempat, kelima dan keenam akan menerima RM15,000, RM10,000 dan RM5,000.

Kesemua hadiah kemenangan finalis akhir turut disertakan dengan sebuah trofi.

   

Baca: Cara Undi Peserta Big Stage 2020 (Konsert Mingguan Dan Akhir)

    

peserta big stage 2020 533

Kredit foto: Instagram Cikgu Shafi

   

Tenaga Pengajar

Syafizawati Sharif atau nama popularnya, Cikgu Syafi menjadi pembimbing peserta dalam kelas seni vokal, manakala koreografer Hanafi Rosdi ditugaskan melatih daripada sudut seni persembahan.

   

Pengarah Muzik

Persembahan 'live' pertandingan menggunakan khidmat barisan pemuzik berpengalaman luas di bawah pimpinan Sharhan Syazwan (Cha’an) selaku pengarah muzik.

   

Penaja

Tajaan Adabi dengan kerjasama Kinohimitsu yang bertindak sebagai Penaja Bersama.

   

Rakan Digital Dan Radio Rasmi

Portal Gempak dan aplikasi SYOK merupakan rakan digital, juga tidak ketinggalan ERA selaku Rakan Radio Rasmi.

    

Tempoh Siaran

Bersiaran selama lapan minggu.

    

Pengacara

Pasangan hos, Alif Satar dan Sherry Al Hadad masih memegang mandat mengemudikan konsert mingguan.

Rancangan kapsul ‘Studio Big Stage’ menampilkan alumni Big Stage, Sissy Imann dan Neeta sebagai pengacara.

Platform digital bakal dimeriahkan dengan gandingan Radin Amir dan hos program Gempak TV, Isha Norsham yang memegang peranan hos program ‘Big Stage Live Plus’ yang ditayangkan serentak ketika konsert mingguan berlangsung.

   

Waktu Siaran

Kapsul harian ‘Studio Big Stage’ yang memaparkan persiapan peserta menjelang konsert bakal ke udara setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang di Astro Ria mulai 10 Ogos 2020.

Kompilasi kapsul harian menerusi ‘Kompilasi Studio Big Stage’ tayangan setiap Sabtu, jam 10 malam mulai 15 Ogos 2020.

Konsert Mingguan Big Stage 'live' yang dibawakan dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria mulai 16 Ogos 2020.

‘Big Stage Live Plus’ pula mengisi platform digital di laman sesawang www.gempak/bigstage serentak dengan tayangan konsert mingguan.

   

Sumber:

1. Dimensi Berbeza ‘Big Stage 2020’ Pada Skala Norma Baharu

2. Tiada peserta luar negara, Usop, Qody dan Nana Sheme antara 12 'BBNU' bakal berentap di Big Stage 2020

3. [SENARAI PENUH]: Usop, Anak Jamal Abdillah Dan Doktor Gigi Viral Antara 12 Peserta Big Stage 2020

   




Hakcipta iluminasi.com (2017)