Oleh pada 12 Apr 2018 kategori

Nama matawang memang unik kerana setiap nama yang digunakan, selalunya khas untuk sesebuah negara kecuali beberapa negara yang berkongsi nama matawang. Bagi negara kita, nama 'ringgit' yang digunakan sebenarnya sudah berusia lebih 200 tahun namun ekoran penjajahan British di Tanah Melayu serta pengenalan banyak matawang baru - nama 'RInggit' sebenarnya hanya digunakan secara rasmi agak baru.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kami sudah menceritakan bagaimana matawang Ringgit Malaysia, Dollar Singapura dan Ringgit Brunei terbentuk. Selepas keluarnya Malaysia daripada perjanjian tiga negara tersebut, pada tahun 1973, kerajaan Singapura mula memulakan kempen untuk merendah-rendahkan nilai matawang baru Malaysia yang bakal diperkenalkan dengan merujuknya kepada nama 'ringgit' berbanding 'dollar' yang lebih dikenali.

Kerajaan Malaysia yang pada ketika itu memang cuba membezakan matawang Malaysia dengan matawang Brunei, mengambil langkah menamakan matawang Malaysia dengan nama Ringgit, seiring dengan hasrat memperkukuhkan lagi identiti kebangsaan negara kita. Itu sedikit sebanyak bagaimana nama 'ringgit' bermula. Apa pula asal-usulnya?

Definisi Dewan Bahasa dan Pustaka

duit syiling 50 sen lama

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan 'ringgit' itu sendiri sebenarnya membawa maksud yang langsung tidak ada berkait dengan matawang.

Ringgit bererti "gerigi atau rigi-rigi (pd tepi roda pemetik api dll); beringgit, beringgit-ringgit bergerigi, beĀ­rigi-rigi; meringgiti membuat ringgit-ringgit (pd besi dll); besi baik diringgiti prb perihal sesuatu yg sudah baik dibaiki lagi."

Ini bermaksud perkataan 'ringgit' sebenarnya membawa makna garis-garis yang ada dilakukan pada bahan seperti besi, seperti garis-garis yang wujud pada roda pencucuh pemetik api yang memudahkan seseorang menyalakan api dengan jarinya kerana wujudnya geseran yang lebih kuat.

Selain itu 'ringgit' juga membawa makna kata kerja 'meringgiti' atau 'membuat ringgit-ringgit' iaitu perbuatan membuat gerigi-gerigi pada besi atau lain-lain bahan, untuk tujuan tertentu. Sebagai contoh, banyak butang pembesar suara radio memerlukan permukaannya diringgiti, untuk memudahkan kita memulasnya.

Definisi kamus dan perkataan 'ringgit' yang kita guna sebagai nama matawang kita, nampaknya tiada kaitan langsung. Jadi mengapa kita guna nama 'ringgit'?

Sejarah penggunaan syiling Sepanyol realle atau 'riyal batu'

duit lama sepanyol berbentuk batu dinamakan realle

Untuk mengetahui asal-usul nama ringgit, kita perlu melihat kembali jauh ke belakang beratus-ratus tahun dahulu. Duit syiling digunakan secara meluas satu masa dulu namun pembuatannya agak kasar. Semasa kurun ke 16, Tanah Melayu pada ketika itu menggunakan matawang yang datang dari Sepanyol yang dinamakan Realle atau dalam bahasa Jawinnya - riyal.

Realle pada ketika itu dibuat daripada perak yang ditimbang mengikut sukatan yang sama namun ekoran teknologi pada ketika itu, bentuk syiling yang terhasil tidak sekata.

Ini menyebabkan rekaaan wang pada ketika itu amat mudah untuk dimanipulasi oleh peniaga atau peminjam wang. Pada zaman tersebut, ada dua cara untuk menipu menggunakan sistem yang digunapakai ketika itu. Oleh kerana rekaan wang pada masa itu menggunakan emas atau perak, ramai yang dengan sengaja memecahkan atau mengetuk syiling yang ada untuk mendapatkan bahan buatannya.

Selain itu, satu lagi teknik yang biasa diamalkan adalah dengan meletakkan banyak syiling dalam satu uncang yang kemudiannya akan digoncang, untuk menghakis bahannya sikit demi sedikit. Ini menyebabkan nilai sebenar syiling tersebut berkurangan walaupun nilai dagangannya tetap sama dan dalam jangka masa panjang, pasti akan merugikan masyarakat ketika itu.

Penggunaan awal perkataan Ringgit sebagai matawang

wang kertas yang menggunakan perkataan ringgit

Bagi menyelesaikan masalah ini, sistem syiling yang mempunyai gerigi dibahagian rimnya dicipta dan mana-mana syiling yang mengalami kerosakan pada bahagian rimnya hilang nilainya. Sistem syiling tersebut akhirnya menggantikan syiling lama yang digelarkan oleh penduduk tempatan sebagai 'realle batu,' bertukar menjadi 'realle ringgit' ekoran wujudnya gerigi-gerigi dibahagian rim syiling itu.

Sejak dari itulah perkataan 'ringgit' mula popular di kalangan masyarakat tempatan, merujuk kepada syiling bergerigi yang diperkenalkan sebelum nama tersebut diangkat menjadi nama rasmi matawang Malaysia pada tahun 1967.

wang syiling lama dicetak ringgit

Walaupun secara rasminya digunakan di Malaysia bermula pada 1967, perkataan ringgit sebenarnya pernah digunakan pada beberapa jenis matawang lain. Terma 'ringgit' telah dicetakkan pada wang kertas 5 dollar keluaran Oriental Banking Corporation of Singapore pada tahun 1849 (sila rujuk gambar wang kertas di atas). Selain itu perkataan 'ringgit' juga telah dicetak pada bahagian belakang British Trade Dollar bernilai satu ringgit pada tahun 1895.




Hakcipta iluminasi.com (2017)