Oleh pada 17 Sep 2022 kategori

Kredit gambar abang kimia @ bahar

Dalam salah satu artikel kami yang mendapat sambutan menggalakkan pembaca kami, kami menyenaraikan lapan istilah bahasa Inggeris yang sebenarnya mempunyai asal-usul daripada bahasa Arab. 

Banyak komen yang kami terima daripada pembaca yang suka tentang kajian tentang topik bahasa, jadi besar hati kami untuk melakukan bahagian kedua topik yang sama. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah tujuh lagi perkataan dalam bahasa Inggeris, yang mempunyai asal-usul Arab serta sedikit penerangan ringkas tentang sejarah bagaimana penggunaannya mula diterima.

1. Alchemy

alchemy alkimia kimia bahasa arab

Bagi pelajar yang mengambil aliran sains di sekolah menengah, anda tahu kesukaran menguasai matapelajaran Kimia bukan? Kimia adalah istilah bahasa Melayu yang dipinjam terus dari bahasa Arab 'al-kimia'.

'Al-kimia' juga adalah istilah yang menyumbang kepada istilah 'alchemy', digunakan masyarakat barat bagi merujuk kepada proses transmutasi sains melibatkan bahan perak dan emas. 

Istilah ini dikatakan mula diguna di kawasan sekitar Mesir dan Tanah Arab, sebelum dipinjam oleh masyarakat Yunani dan Rom. Istilah akarnya adalah 'khem' dalam bahasa Koptik, merujuk kepada tanah hitam yang ditemui di sepanjang pesisir Sungai Nil.

2. Cotton

cotton quttun kapas bahasa arab

Cotton atau kapas diperkenalkan di Eropah lewat, dipercayai sekitar abad ke 8 melalui pedagang Arab yang hadir ke kawasan Semenanjung Iberia, akibat gerakan penaklukan Khalifah Umayyah di sana.

Penggunaan kapas sebagai bahan tenunan sudah bermula lama sebelum itu di beberapa kawasan seperti di Mexico, Parsi, India, China, tanah Arab dan khususnya Mesir! Orang Mesir yang mula-mula membangunkan teknologi menenun kain kapas sebelum teknologinya dikemaskini dan dimodenkan orang India dan China.

Istilah Arab 'qutun' atau 'qutn', menyumbang kepada istilah 'coton' dalam bahasa Perancis lama yang kemudiannyadipinjam dan ditulis dalam kaedah baru 'cotton' untuk bahasa Inggeris.

Selain cotton dalam bahasa Inggeris, beberapa istilah mirip yang meminjam istilah asal Arab yang sama adalah 'katoen' (Belanda), 'kattun' (Jerman) dan 'cotone' (Itali).

3. Sugar

sugar as sukkar gula bahasa arab asal

Secara rasmi istilah asal yang membawa kepada pembentukan istilah 'sugar' datang daripada istilah Sanskrit 'sarkara' yang membawa makna 'gula kisar'. Istilah ini berkembang kepada istilah dalam bahasa Parsi berbunyi 'sakar.'

Orang Arab meminjam istilah Parsi, menukarkannya kepada 'as-sukkar' dan dari istilah inilah orang barat meminjam istilah ini bagi membentuk istilah mereka sendiri. Antaranya azucar (Sepanyol), zucker (Jerman) dan zucchero (Itali).

Istilah yang menyumbang kepada pembentukan istilah moden 'sugar' pula diambil daripada bahasa Perancis lama yang dieja sebagai 'sugre.' 

4. Candy

candy qandi bahasa arab

Istilah 'candy' juga mempunyai susur-galur yang hampir serupa dengan istilah ibunya iaitu 'sugar.' Mungkin kerana tak ada gula, tak dapatlah nak buat gula-gula.

'Candy' hadir daripada pinjaman istilah Perancis lama 'candi', yang dipinjam daripada istilah Arab 'qandi', merujuk kepada 'bongkah gula yang telah dikristalkan.

Istilah Arab itu pula adalah pinjaman daripada istilah Parsi 'qand' yang merujuk kepada gula tebu. 'Qand' dalam bahasa Parsi pula diambil daripada istilah Sanskrit 'khanda' yang membawa maksud 'seketul gula.'

5. Lemon

laimun lemon limau bahasa asal usul

Dalam satu artikel berbeza, kami sudah menjelaskan bahawa istilah bahasa Melayu 'limau' adalah pinjaman daripada istilah Portugis 'limao.' Tetapi dari mana orang Portugis meminjam istilah itu?

Istilah ini dikatakan diperkenalkan oleh orang Parsi bagi mewakili buah sitrus yang digelarkan sebagai 'limun' yang banyak ditanam di tanah besar India. Di tanah asalnya pula, buah itu dinamakan sebagai 'nimbo'. 

Masyarakat Arab mendagangkan buah tersebut ke Eropah, menjualnya sebagai 'laimun'. Istilah itu popular, dipinjam masyarakat Perancis sebagai 'limon' dan dari situlah istilah Inggeris 'lemon' terbentuk.

6. Sofa

sofa istilah bahasa arab suffah

Pasti tidak ramai tahu istilah 'sofa' datang dari orang Arab kan? Bagaimanapun definisi 'sofa' mereka berbeza.

'Suffah' dalam masyarakat Arab adalah bangku rendah yang diletak di atas lantai, dibuat berasaskan bahan kayu atau batu yang dihamparkan dengan kain dan kusyen. Mereka yang duduk di atasnya pula biasanya akan duduk secara bersila.

Asal-usul istilah 'suffah' datang dari istilah Aramaik 'sippa' yang bererti 'hamparan'.

Masyarakat Turki meminjam istilah Arab itu dan menulisnya sebagai 'sofa' dan masyarakat Perancis menggunakannya secara terus, tanpa mengubah ejaannya memperkenalkan istilah 'sofa' dalam tatabahasa masyarakat barat.

7. Average

awariyah teknik kiraan kos kerugian purata average

Di antara banyak perkataan yang datang dari bahasa Arab, mungkin 'average' adalah istilah paling banyak digunakan masyarakat seluruh dunia tanpa ramai sedar istilah ini datang dari istilah Arab 'awariyah'.

'Awariyah' dalam bahasa Arab mewakili 'barang-barang yang telah rosak', biasanya merujuk kepada bahan dagangan dibawa kapal, yang telah mengalami kerosakan akibat insiden semasa perjalanan, bencana atau mungkin juga telah luput tarikhnya.

Apabila urusan jual beli di kalangan pedagang Arab dan Eropah berlaku, kiraan kos 'awariyah' menjadi antara salah satu faktor penting yang perlu ditekankan bagi mengenalpasti kerugian yang perlu ditanggung.

Dari situlah purata kerugian yang perlu peniaga atau pembeli tanggung dapat diketahui.

Konsep mengira purata kos awariyah mula popular di kalangan masyarakat barat, sehinggakan istilah itu pun dipinjam sama; seperti di Sepanyol (averia), Belanda (avarij), Russia (avarija), Scandinavia (havari, havarija) dan pelbagai lagi istilah mirip yang merujuk kepada purata kerugian.

Istilah Inggeris 'average' pula adalah pinjaman istilah Perancis 'averie', yang dikemaskinikan ejaannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)