Masalah huru-hara yang sedang melanda negara Lebanon disebabkan oleh ketidak puasan hati masyarakat mereka terhadap kerajaan, semakin hari nampaknya semakin buruk.
Ditambah pula dengan insiden letupan akibat kecuaian dalam pengendalian simpanan bahan mudah meletup yang disita oleh kerajaan, sehingga mengakibatkan letupan besar yang menggegarkan ibu negara mereka Beirut, yang berlaku pada 4 Ogos 2020.
BESARKAN TEKS A- A+
Disebalik apa yang sedang berlaku, satu isu yang sebenarnya telah melanda Lebanon untuk beberapa bulan adalah masalah inflasi yang telah mengakibatkan kos barangan di negara itu melonjak naik.
Sedarkah anda pada ketika ini, Lebanon merupakan negara Arab pertama jatuh ke dalam perangkap hiperinflasi?
Ekonomi yang runtuh
Ketika artikel ini ditulis, di seluruh dunia hanya ada dua buah negara sahaja sedang bergelut dengan masalah hiperinflasi.
Yang pertama adalah Venezuela. Terbaru, adalah Lebanon. Secara ringkasnya, hiperinflasi adalah situasi di mana kadar inflasi sesebuah negara melebihi tahap 50% berbanding kadar normal sekitar 2 ke 3% setiap tahun.
Apabila timbul situasi hiperinflasi kepada ekonomi sesebuah negara, nilai matawang sebenar yang diniagakan dalam negara mula hilang nilainya menyebabkan berlakunya kenaikan automatik semua harga barangan - disebabkan oleh lonjakan besar-besaran pada keseluruhan nilai rantaian kos pengeluaran produk atau barangan yang ada.
Dalam sejarah, biasanya hiperinflasi wujud disebabkan oleh ketidak cekapan kerajaan mengawal ekonomi mereka.
Bagaimanapun ada juga pemerintah yang sengaja menggunakan hiperinflasi bagi memulihkan kembali ekonomi mereka ekoran kos lebih tinggi dikenakan kepada orang ramai, seperti yang dilakukan kerajaan Hungary dalam tempoh setahun dari Ogos 1945 sehinggalah bulan Julai 1946.
Bagaimanapun, masalah hiperinflasi yang berlaku di Lebanon dikatakan berlaku secara tidak sengaja - disebabkan oleh kegagalan langkah kerajaan mereka.
Lebanon kecundang akhirnya
Kekukuhan matawang Lebanon sangat bergantung kepada nilai matawang US Dollar. Ini berikutan langkah kerajaan mereka menambat nilai matawang Lira kepada USD sejak tahun 1997 lagi.
Malangnya, kegagalan pengurusan sistem ekonomi Lebanon yang terlalu bergantung kepada import masuk serta kebergantungan kepada industri pelancongan menyebabkan ekonomi Lebanon tidak berkembang seperti yang dijangkakan.
Dengan lebih 80% barangan produk mereka diimport dari luar, kekurangan industri tempatan dalam menjana peluang pendapatan dan pekerjaan kepada masyarakat menyebabkan jurang ekonomi antara yang kaya dan miskin terlalu besar.
1% daripada penduduk Lebanon menguasai 25% pendapatan ekonomi negara mereka, menyebabkan keseimbangan agihan pendapatan di kalangan rakyat Lebanon berat sebelah.
Sekitar penghujung tahun 2019, permintaan ke atas matawang Lira mula menyusut disebabkan oleh kebimbangan orang ramai terhadap nilainya di masa hadapan. Ini menyebabkan ramai di kalangan rakyat Lebanon sendiri mula menukarkan wang mereka kepada USD, bagi melindungi nilainya.
Ini mengakibatkan nilai matawang tempatan menyusut nilainya. Tambatan nilai Lira kepada USD yang diisytihar pada kadar 1,507 = USD1 susut kepada 8,000 = USD1 dalam nilai pertukaran sebenar - walaupun tambatan masih dilaksanakan.
Situasi ini menandakan nilai sebenar matawang Lira telah menyusut sehingga 80% memulakan peningkatan kadar inflasi secara mendadak di negara tersebut.
Kerajaan Lebanon gagal membayar hutang negara
Disebabkan oleh penurunan nilai matawang tempatan, kerajaan Lebanon cuba memperkenalkan beberapa langkah pengenalan cukai.
Kerajaan Lebanon mengumumkan pada bulan Oktober 2019 cadangan pengenalan cukai terhadap panggilan menerusi aplikasi Whatsapp, Facebook Messenger dan Apple Facetime, berura-ura mahu mengenakan caj sebanyak RM0.83 sehari untuk semua pengguna aplikasi tersebut yang melakukan panggilan.
Pengumuman itu dianggap sebagai pencetus bermulanya tunjuk perasaan besar-besaran anti kerajaan, yang sebenarnya berpunca daripada rasa marah orang ramai terhadap nilai matawang mereka yang semakin mengecil.
Kesan inflasi yang dirasai menyumbang kepada kehilangan peluang pekerjaan, kesukaran untuk mendapatkan bahan keperluan dan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Pada bulan Mac 2020, kerajaan Lebanon mengumumkan kegagalan mereka untuk menjelaskan bon hutang negara buat kali pertama sebanyak RM4.98 billion keseluruhannya. Nilai hutang negara tersebut berada pada kadar 127% daripada pendapatan sebenar negara.
Lebanon diisytiharkan berada dalam hiperinflasi
Kadar inflasi Lebanon mula melonjak ke tahap 20% bulan ke bulan, sebelum diisytiharkan mencecah garis ukur 50% pada penghujung bulan Julai 2020 - menandakan Lebanon telah jatuh dalam hiperinflasi.
Pada bulan Julai 2019, kadar inflasi negara mereka hanya pada kadar 2.9%.
Dalam tempoh 8 bulan kebelakangan ini, harga barangan melonjak naik menyebabkan jurang ekonomi antara masyarakat punah. Lebanon kini tiada golongan pertengahan, hanya ada golongan berpendapatan rendah serta miskin, dengan golongan berpendapatan tinggi.
Harga pakaian dan kasut naik 345%. Bijirin sarapan pagi mencecah harga RM165 sekotak. Stok-stok barangan di kedai dan pasaraya tidak dapat diisi semula, disebabkan oleh ketidak mampuan pekedai membelinya.
Barangan seperti beras, tepung dan roti agak sukar diperolehi. Jika ada, harganya sudah tentulah agak tinggi dan di luar kemampuan orang kebanyakan. Secara purata, kos produk makanan di Lebanon naik 141% berbanding tahun lepas.
Apa yang menyedihkan, ramalan pengkaji ekonomi meramal bahawa separuh daripada populasi Lebanon bakal jatuh ke dalam perangkap kemiskinan, serta ketiadaan akses ke atas bahan-bahan makanan asas pada penghujung tahun ini.
Tiga bahan utama iaitu petrol, gandum dan ubat-ubatan masih lagi diimport masuk pada kadar tambatan rasmi serta disubsidikan, namun diramalkan hanya mampu bertahan sehingga bulan November 2020 - sebelum subsidi itu dijangka ditarik balik bagi membantu sumber dana kerajaan.
Apa yang berlaku kepada Lebanon ketika ini adalah masalah yang boleh berlaku kepada mana-mana negara yang gagal membangunkan industri sendiri, sehingga terlalu bergantung kepada import masuk majoriti produk bagi kegunaan tempatan.
Kami doakan agar rakyat Lebanon bertahan dalam menghadapi krisis besar ini.
Rujukan
Lebanon’s hyperinflation: Cereal can cost $40 at the official exchange rate