Ketika Singapura berpisah dengan Malaysia pada tahun 1965, Malaysia, Brunei dan Singapura berkongsi sejenis matawang .

Malayan Dollar yang digunakan dan dikeluarkan oleh kerajaan British sebelum itu adalah matawang yang telah digunakan selama lebih 10 tahun, sudah sinonim dengan generasi-generasi masyarakat zaman tersebut di tiga buah negara itu.

Selepas negara kita merdeka, gesaan gerakan politik untuk negara kita memiliki matawang sendiri menjadi semakin kuat ekoran penubuhan Bank Negara Malaya pada tahun 1959. Kuasa terhad yang ada pada Bank Negara ketika itu menyukarkan negara kita dalam mengawal hal ehwal kewangan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Semua itu serba sedikit berubah pada September tahun 1963 selepas tertubuhnya Malaysia, yang memberikan kuasa mengawal matawang, bank pusat dan juga sektor perbankan kepada persekutuan yang baru dibentuk.

Ini kisah bagaimana Malaysia, Brunei dan Singapura pernah berkongsi nilai matawang yang sama, sebelum Malaysia keluar membawa haluan sendiri.

Terpisahnya Malaysia dan Singapura

artikel pengumuman keluar singapura dari malaysia

Ekoran penubuhan Bank Negara Malaysia serta mandat mengawal matawang sendiri, kerajaan Malaysia mengeluarkan pengumuman notis 18 bulan yang badan pengawal matawang Malayan Dollar akan dihentikan, untuk igantikan dengan matawang baru yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia.

Penggabungan Singapura dan Malaysia tidak lama usiany, selepas perbezaan pandangan melibatkan masyarakat majoriti Cina di Singapura dengan kerajaan yang dikuasai orang Melayu, di Kuala Lumpur. Dikatakan wujud ketidak percayaan antara satu sama lain yang menjadi penyebab mendorong gesaan untuk keluarnya Singapura daripada Malaysia.

Beberapa insiden yang berlaku dalam rundingan di antara kedua-dua negara membuatkan keadaan menjadi tegang, ekoran satu tindakan kerajaan Malaysia yang kurang digemari kerajaan Singapura. Dalam proses rundingan dan usul cadangan berkenaan pembukaan cawangan Bank Negara Malaysia di Singapura, kerajaan Malaysia meletakkan syarat agar kerajaan Singapura menyerahkan kuasa mentadbir dan menyimpan aset kerajaan Singapura, diserahkan sepenuhnya kepada Bank Negara Malaysia.

Selain itu wujud isu berkaitan hak milik tanah yang bakal menjadi tapak cawangan Bank Negara Malaysia di Singapura, diletakkan di bawah Bank Negara Malaysia dan bukan kerajaan Singapura. Ini sedikit sebanyak membuatkan kerajaan Singapura merasa kerajaan Malaysia tidak mahu membolehkan kerajaan mereka memiliki aset sendiri.

Merasakan kedaulatan mereka tercabar ekoran tindakan kerajaan Malaysia melalui tindakan Bank Negara, kerajaan Singapura mengeluarkan beberapa perubahan untuk dibincangkan bersama. Selepas beberapa siri rundingan di antara Menteri Kewangan Singapura, Lim Kim San dan Menteri Kewangan Malaysia, Tan Sew Sin; kata putus serta persetujuan tetap gagal dicapai. Kedua-dua pihak menyedari hanya satu saja jalan keluar yang ada.

Kedua-dua kerajaan mengumumkan pada 17 Ogos 1966 yang Malaysia dan Singapura akan mula menggunakan matawang sendiri bermula pada tarikh 12 Jun 1967, berikutan rasa bimbang kerajaan Singapura yang kurang yakin hak mereka akan dilindungi sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia, sekiranya mereka menggunakan satu jenis matawang yang dikawal Bank Negara Malaysia.

Atas keputusan enggan terus menggunakan sejenis matawang di bawah kelolaan Bank Negara Malaysia, kerajaan Singapura menubuhkan Penguasa Kewangan Singapura pada 7 April 1967. Tidak lama selepas itu, kerajaan Brunei pun mengambil langkah sama menubuhkan badan pengawal matawang Brunei yang baru, pada 12 Jun 1967.

Perjanjian bersama Malaysia, Brunei dan Singapura

kilang getah malaya satu masa dulu

Walaupun tidak berjaya mencapai kata sepakat dalam penggunaan satu matawang untuk ketiga-tiga negara, Malaysia, Brunei dan Singapura berjaya mencapai kata sepakat dalam Perjanjian Pertukaran Matawang 1967.

Bermula pada tarikh 12 Jun 1967, ketiga-tiga negara menggunakan matawang sendiri yang mempunyai kadar tukaran matawang setara di antara ketiga-tiga negara dan mana-mana matawang dibolehkan diguna pakai di setiap negara.

Bagaimanapun, selepas melihat trajektori ekonomi kedua-dua negara yang boleh dikatakan jauh berbeza dari segi visinya serta beberapa faktor kerugian yang berlaku akibat ketiadaan kawalan dalam proses eksport dan import antara Malaysia dan SIngapura, kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk menarik diri daripada perjanjian ini. Pengumuman notis 3 bulan Bank Negara Malaysia memberitahu nilai ringgit, matawang Malaysia bakal diapungkan secara terbuka dengan nilai Dollar Singapura dan Ringgit Brunei.

Faktor terbesar yang menyumbang kepada perpisahan ini berikutan kedua-dua negara mempunyai idea pembangunan yang berbeza, Singapura membangunkan dasar negara industri dengan Malaysia menuju ke arah sebuah negara yang menjadikan getah dan tin sebagai asas ekonomi kita. Sekiranya nilai Ringgit Malaysia terus ditambat pada nilai kedua matawang jirannya, kerajaan Malaysia merasakan sukar untuk mereka memaksimakan faedah perdagangan dengan Singapura, bagi pihak mereka.

Pada 8 Mei 1973, nilai ringgit mula diapungkan secara terbuka berbanding Dollar Singapura dan Ringgit Brunei selepas hampir enam tahun diletak setara nilainya.

Brunei dan Singapura meneruskan perjanjian hingga ke hari ini

perjanjian matawang singapura brunei sultan brueni lee hsien loong

Bagi kerajaan Brunei dan Singapura pula, perjanjian pertukaran matawang yang telah dipersetujui masih berjalan sehingga sekarang.

Ini membolehkan penggunaan matawang Brunei dan Singapura digunakan dalam kedua-dua buah negara secara terbuka. Sebarang urusan perbankan seperti kemasukan deposit di bank dan urusan jual beli boleh dilakukan dengan mana-mana matawang pada kadar serupa, atas nilai yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Kerjasama di antara kedua-dua buah negara daripada segi ekonomi kerap dititik beratkan sebagai faktor utama menyumbang kepada kekukuhan perjanjian ini. Kadar serata yang digunakan berjaya menghapuskan risiko perdagangan yang wujud serta mengurangkan kos untuk bayaran transaksi seperti caj pelabuhan, misalnya. Semenjak perjanjian di antara kedua-dua buah negara termeterai, kerjasama di antara kedua-dua buah negara semakin meningkat dengan Singapura kini menjadi antara rakan dagang paling besar bagi Brunei.

Pada 5 Julai 2017, kedua-dua buah kerajaan meraikan perjanjian pertukaran matawang mereka dengan melancarkan keluaran khas wang kertas 50 dollar. Setiap satu negara mempunyai versi mereka sendiri dengan 1 juta keping wang edisi khas itu dikeluarkan untuk dibeli orang awam.

Rujukan

Macroeconomic Review (PDF)

The Dissolution of a Monetary Union: The Case of Malaysia and Singapore (PDF)

Singapore Government NewspaperSG

MAS Singapore




Hakcipta iluminasi.com (2017)