Nama matawang kebanyakan negara sering kali digunapakai berulang kali oleh beberapa negara berbeza.

Ada banyak faktor yang menyebabkan situasi ini berlaku, antaranya adalah kesan penjajahan. Ada juga kerajaan negara dunia yang mahu menamakan nama mereka dengan nama popular, bagi memudahkan masyarakat merujuknya.

Apakah nama matawang popular di kalangan masyarakat dunia dan dari manakah datangnya nama-nama ini?

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Dollar 

usd amerika syarikat

Dollar merupakan istilah paling popular digunakan negara-negara dunia bagi menamakan matawang mereka.

Selain Amerika Syarikat, negara jiran kita seperti Brunei dan Singapura, New Zealand, Australia dan banyak negara lain juga menggunakan dollar. Kita juga pernah menggunakan nama matawang dollar tak lama dahulu. 

Asalnya, nama 'dollar' datang daripada sebuah tempat bernama Bohemia (kini Republik Czech).

Dikenali dalam bahasa Jerman sebagai Sankt Joachimsthal yang bermaksud 'Lembah Joachim', kawasan lembah ini menjadi penyumbang bahan perak yang digunakan untuk menghasilkan kepingan syiling.

Kualiti bahan perak yang menyumbang kepada ketahanan syiling dari Lembah Joachim, membuatkan kepingan syilingnya terkenal - dirujuk sebagai 'joachimsthaler' yang membawa makna 'kepingan perak dari Joachim.'

Masyarakat Jerman kemudiannya memendekkan sebutannya hanya kepada 'thaler' sebelum ejaannya dikemaskini kepada 'daler.'

Pada abad ke 16, kamus bahasa Inggeris mula mendaftar istilah 'daler' bagi merujuk kepada mana-mana kepingan syiling perak yang digunakan sehinggalah ejaannya dimodenkan kepada variasi 'dollar' yang ada sekarang.

2. Pound Sterling 

pound sterling note coins

Nama matawang yang digunakan di Great Britain ini berkait dengan sistem ukuran berat era Rom yang diamalkan sekitar tahun 770.

Pada asalnya, 'pound' adalah unit yang digunakan bagi mengukur berat bahan perak di kerajaan-kerajaan Saxon, di mana 1 pound diketahui mampu menghasilkan 20 kepingan 240 kepingan perak yang dinamakan sebagai sterling. 

Daripada kegunaan harian yang sering menyamakan 1 pound bersamaan 240 keping sterling, akhirnya masyarakat mereka mula menerima konsep itu tanpa perlu lagi menyebut angkanya.

Jadi unit ukuran 'pound sterling' mula digunakan. 

Istilah 'sterling' pula dipercayai hadir daripada ukiran yang dibuat pada setiap syiling yang menyerupai bentuk bintang. Bintang dirujuk dalam bahasa Latin sebagai 'sterre' atau 'steorra'.

Perubahan bahasa dan penambahan imbuhan menukarkan istilah itu kepada 'sterling' yang masih kekal merujuk bukan sahaja kepada bintang, bahkan mana-mana jenis matawang perak.

Walaupun pound cukup sinonim dengan Great Britain, negara seperti Lubnan, Mesir, Sudan dan Syria juga pernah menggunakan matawang pound.

3. Lira

lira matawang turki

Lira merupakan nama matawang yang pernah digunakan di negara seperti Itali, Lubnan dan Malta serta masih lagi digunakan di Turki kini.

Seperti 'pound', lira sebenarnya juga merupakan ukuran berat. 

Lucunya, 'lira' adalah istilah yang turut mewakili ukuran yang sama dengan 'pound,' cuma bezanya 'lira' merupakan istilah yang diambil terus dari bahasa Latin. 

Istilah 'lira' datang daripada istilah Latin asal 'libra' yang membawa makna keseimbangan dalam ukuran sesuatu. Jadi lira digambarkan sebagai sesuatu sistem sukatan atau imbangan yang benar-benar seimbang.

4. Franc

matawang bank pusat afrika franc

Satu ketika dulu banyak negara menggunakan matawang 'franc' ekoran gerakan penjajahan Perancis.

Walaupun negara seperti Maghribi, Tunisia dan Algeria sudah menukarkan matawang mereka kepada matawang berbeza, negara Afrika penutur bahasa Perancis seperti Cameroon, Mali, Rwanda, Senegal dan banyak lagi masih mengekalkan penggunaannya.

Di kalangan negara Eropah, hanya dua saja negara masih menggunakan matawang franc iaitu Switzerland dan Liechtenstein.

Istilah ini mula popular ekoran pengenalan sistem matawang oleh Jean le Bon yang ketika itu mengetuai Empayar Frank di Eropah, yang berlaku sekitar 1350 sehingga 1364.

Untuk setiap syiling yang diperbuat daripada emas dan perak, diukirkan dalam tulisan Latin Francorum Rex yang membawa makna 'Raja Orang-Orang Frank' mewakili dirinya.

Ekoran penggunaan meluas, sehingga berkembang di kawasan-kawasan koloni Perancis pada abad ke 18 - istilah 'franc' yang pada awalnya dirujuk hanya untuk matawang orang Franc akhirnya melekat namanya terus diamalkan.

5. Peso

filipina peso matawang nama asal usul

Peso merupakan matawang bagi beberapa buah negara Amerika Selatan seperti Argentina, Bolivia, Chile, Colombia, Uruguay, Paraguay dan beberapa buah negara lain, termasuklah jiran kita Filipina. 

Kesemua negara ini mempunyai elemen pendudukan yang kuat oleh Sepanyol, di mana Sepanyol merupakan pihak yang memperkenalkan sistem matawang kepada mereka. 

'Peso' merupakan pinjaman istilah Latin 'pensum' yang merujuk kepada perbuatan menggantungkan sesuatu untuk mengukur beratnya, bagi tujuan pembayaran.

Masyarakat Sepanyol meminjam istilah itu, mula menggunakan istilah 'peso' bagi merujuk kepada perbuatan menimbang barangan sebelum menamakan matawang mereka dengan nama tersebut; menjadikan 'peso' cukup sinonim dengan 'duit Sepanyol.'

'Duit Sepanyol' pertama yang dinamakan peso adalah sejenis kepingan perak yang mempunyai berat 25.56g perak tulen, diperkenalkan pada tahun 1497. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)