Oleh pada 26 Aug 2022 kategori

Dalam perkembangan bahasa, proses penghasilan perkataan atau istilah baru boleh berlaku dalam bermacam cara. 

Salah satu kaedah digunakan masyarakat barat dalam memperkayakan dan mempermudahkan kosa kata bahasa, adalah dengan melakukan pensegmenan semula atau rebracketing perkataan, yang bukan saja dapat meringkaskan satu istilah sedia ada malahan membantu menghasilkan istilah baru.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Teknik pensegmenan semula ini jarang digunakan, tetapi kesannya dapat kita rasa kerana dalam bahasa Melayu pun, kita sebenarnya menggunapakai hasilnya yang kita pinjam. Berikut adalah 5 istilah yang telah disegmenkan dan kini digunakan secara meluas banyak masyarakat seluruh dunia.

1. Alkohol

alcogol al kuhl alkohol perkataan

Bagi pembaca kami, pasti anda sudah tahu istilah 'alkohol' atau alcohol sebenarnya berasal dari istilah Arab 'al-kuhl' yang membawa makna 'celak mata hitam itu.

Masyarakat barat meminjam istilah al-kuhl, mewakili mana-mana sebatian bahan kimia karbon terlarut ditulis sebagai alcohol yang jelas bukan saja menukarkan kaedah mengejanya malah cara sebutannya.

Bermula daripada itu, 'alcohol' disegmenkan semula agar bahagian suku kata ~ol yang mengakhirinya, dicipta bagi mewakili sebatian bahan kimia lain dan menjadi suku kata universal yang digunakan secara sangat meluas.

Sebab itulah kebanyakan bahan kimia yang dikenalpasti sekarang, diakhiri namanya dengan ~ol seperti metanol, etanol dan propanol...

2. ~Holic

kaki minum alcoholic

Meneruskan subjek kita dengan bahan berkait alkohol; istilah 'alcoholic' diperkenalkan masyarakat barat sekitar penghujung abad ke 18 bagi menggambarkan individu yang ketagih minuman alkohol.

Istilah ini pula datang dari istilah 'alcoholist' yang membawa makna lebih ringan iaitu 'peminum alkohol'.

Namun istilah 'alcoholic' mula popular selepas kejadian-kejadian mabuk membawa kepada insiden kurang menyenangkan. Imbuhan ~ic diletakkan kerana imbuhan itu mewakili 'sifat yang berkait dengan sesuatu',

Ini bermakna secara lengkap, 'alcoholic' bermakna 'sifat yang berkait dengan alkohol' dan mula digunakan bagi merujuk khas kepada individu yang perangainya berubah akibat alkohol.

Uniknya, penggunaan istilah '~holic' yang diperkembangkan ini berkembang, mula mewakili sifat berlebihan dalam sesuatu perkara. Kita pun dah biasa menggunakan istilah 'shopaholic' (orang yang gila beli belah), workaholic (gila kerja) atau 'coffeholic' (gila minum kopi).

Semua istilah yang berakhir dengan ~holic ini, berpunca daripada alcoholic yang terlebih dahulu diperkenalkan.

Walau bagaimanapun, bahasa Melayu tidak meminjam istilah '~holic' ini secara rasmi walaupun ada pihak cuba menggunakannya. Kita harus menggunakan istilah'gila' bagi menggambarkan perbuatan suka berlebih-lebihan ini.

Sebab itu kami guna istilah 'gila' di atas.

3. Hamburger

istilah bahasa inggeris yang berbeza maksud 388

Dari mana datangnya perkataan 'burger', resipi unik yang menjadi salah satu makanan popular rakyat Malaysia? 'Burger' sebenarnya datang daripada istilah asal yang langsung tidak berkait dengan makanan, iaitu Hamburger.

'Hamburger' adalah gabungan dua istilah iaitu 'Hamburg' yang mewakili bandar Hamburg di Jerman, disambung dengan imbuhan '~er' yang membawa makna 'berasal dari'.

Jadi istilah ini sebenarnya merujuk kepada seseorang yang berasal dari Hamburg. 

Sejenis makanan dinamakan secara tidak rasmi sebagai 'Hamburg steak' berasaskan dua keping roti mengapit kepingan daging stik mula popular, di kalangan pelayar kapal. Resipi itu dinamakan sedemikian rupa kerana dihidang dalam kapal pelayaran yang menghubungkan Hamburg dengan beberapa pelabuhan di Amerika Syarikat.

Pada penghujung abad ke 19, akhbar di Amerika Syarikat mula menamakan resipi tersebut sebagai 'hamburger sandwich' sebelum disingkatkan lagi menjadi 'burger'.

Singkatan itu penting untuk berlaku, kerana dengan perubahan itulah pelbagai variasi 'burger' boleh dinamakan dengan lebih mudah dan ringkas seperti 'cheeseburger', 'beefburger' atau 'chicken burger'.

Sementara 'hamburger' pula yang sepatutnya merujuk kepada individu dan tempat, kini turut merujuk kepada burger yang isinya diperbuat daripada daging ham lembu atau khinzir. 

4. Cyber~

cyberjaya siber cyber asal usul perkataan

Perkara atau istilah yang biasanya merujuk teknologi tinggi atau mencerminkan masa depan akan digelarkan 'siber' atau 'cyber.'

Sebut saja 'siber' kita akan membayangkan kereta pandu sendiri, kereta terbang, robotik, AI, visual dan media serta macam-macam lagilah bayangannya. Tetapi tahukah anda dari mana datangnya istilah 'siber' atau 'cyber' ini?

Asalnya, istilah 'cyber' datang daripada istilah Yunani kybernetes yang membawa maksud 'seseorang yang mencerap hala tuju atau menjadi panduan'. Istilah ini pula merupakan evolusi kepada istilah lebih awal 'kybernan' yang merujuk kepada perbuatan memandu atau menukar arah kapal.

Sebelum muncul istilah 'cyber', istilah 'cybernetics' telah digunakan terlebih dahulu, terjemahan daripada istilah kybernetes yang diubah ejaannya untuk bahasa Inggeris, bagi menggambarkan 'perbuatan mempelajari atau menyelidik sesuatu topik berkenaan kaedah komunikasi.' 

Hanya selepas itu baru istilah 'cyber' disegmenkan semula daripada 'cybernetics', mula digunakan sebagai satu istilah berdiri sendiri bagi melambangkan perkara berkaitan teknologi.

Bandar Cyberjaya menjadi antara bandar utama di negara kita yang menggunakan istilah ini dalam namanya. Selain itu dalam siri Ejen Ali, bandar di mana animasi itu berlangsung adalah bandar Cyberaya.

5. Blog

blog vlogger vlog

Perkataan 'blog' merupakan antara istilah popular pengguna internet, membantu menyumbang kepada penghasilan istilah baru seperti 'vlog', 'blogger' dan 'vlogger.' Tak perlu rasanya kami terangkan apa maknanya kan? 

Walaupun berkait dengan internet, istilah blog sebenarnya terhasil daripada perkataan 'weblog' yang merujuk kepada jurnal-jurnal awal hasil tulisan orang ramai, diterbitkan dalam internet semasa era 90-an.

'Weblog' pula adalah hasil gabungan dua istilah iaitu 'web', merujuk kepada sesuatu paten yang terbentuk hasil sulaman seperti fabrik atau secara semulajadi dan 'log' pula merujuk batang-batang kayu pokok yang telah ditebang. Eh? Betul ke?

Benar. Penggunaan istilah 'log' memang digunakan merujuk kepada buku catatan atau buku merekod.

Semuanya bermula daripada kaedah tukang rekod pekerja penebang kayu sekitar abad ke 19 di mana mereka merekodkan urusan keluar masuk kapal pembawa kayu ini ke dalam satu buku rekod yang dinamakan log book.

Gabungan web dan log yang memang sudah tersedia maknanya membentuk perkataan weblog, yang menggabungkan makna kedua-duanya agar mudah difahami.

Istilah 'Weblog' mula digunakan secara meluas selepas diperkenalkan kepada pengguna internet pada tahun 1997, sebelum seorang penulis bebas bernama Peter Merhol, memecahkan istilah itu kepada dua iaitu 'wee' dan 'blog,' bagi menggambarkan 'blog kecil beliau'.

Dari sini terhasil istilah lebih ringkas yang kekal popular sehingga kini iaitu 'blog.'

Idea Merhol memecahkan perkataan itu memulakan penggunaan istilah 'blog' secara umum dan membantu menyumbang kepada kewujudan istilah baru 'vlog', sehingga mengakibatkan ramai anak muda teringin hendak jadi 'vlogger.'

Best kan pelajari kaedah bagaimana bahasa berkembang dan berevolusi, dengan setiap proses walaupun nampak ringkas - mampu menghasilkan istilah baru yang akan digunapakai berabad lamanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)