Oleh pada 14 Aug 2020 kategori

Sebut tentang matawang kita akan terus membayangkan tentang istilah yang biasa kita dengari, seperti dollar, pound dan sudah tentulah istilah ringgit.

Pernahkah anda tertanya, dari mana datangnya istilah-istilah ini dan apakah maknanya?

Berikut adalah asal-usul serta penerangan ringkas makna di sebalik beberapa nama matawang yang ada digunakan di kalangan negara Asia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Baht

asal usul duit baht thailand matawang

Tahukah anda, nama matawang Thailand satu ketika dulu mempunyai dua nama berbeza mengikut bahasa. Dalam bahasa Inggeris, matawang mereka dikenali dengan nama Tical sementara dalam bahasa asal, nama Baht digunakan.

Kedua-dua istilah asalnya merupakan unit sukatan yang digunakan masyarakat zaman dahulu. 'Tical' dan 'baht' merupakan unit ukuran berat syiling yang dibentuk menggunakan bahan emas atau perak.

Orang Thailand menggunakan ukuran 1 Baht bersamaan dengan 15 gram perak.

2. Rupiah/Rupee

sejarah wang rupiah indonesia makna nama

Dalam bahasa Indonesia, nama matawang mereka disebut sebagai 'rupiah,' namun sebenarnya istilah itu dipinjam daripada perkataan Sanskrit 'rupya', membawa makna 'perak yang telah ditempa.'

Oleh sebab pengaruh perkataan asal yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit, perkataan 'rupya' mempunyai banyak versi berbeza sekarang ini serta digunakan oleh banyak negara, bagi menamakan matawang mereka.

Indonesia menggunakan 'rupiah,' India, Nepal, Pakistan, Sri Lanka dan Kepulauan Sychelles menggunakan 'Rupee' dan Maldives menggunakan istilah 'rufiyya'.

Banyak negara dunia lain khasnya ketika era penjajahan British, turut sama menamakan matawang mereka rupee, kerana asal-usul istilah 'rupya.'

3. Yen/Yuan

sejarah japanese yen makna asal usul

Dalam bahasa Jepun, istilah 'yen' sebenarnya membawa makna 'objek berbentuk bulatan.'

Istilah itu sebenarnya mewakili bentuk duit syiling yang digunakan oleh masyarakat mereka satu ketika dahulu, yang mempunyai bentuk bulat serta berlubang ditengah-tengahnya. Perkataan 'yen' itu pula sebenarnya dicedok daripada istilah klasik Cina 'yuan', yang membawa maksud serupa.

Oleh kerana 'yen' sebenarnya merujuk kepada bentuk, orang Jepun kebiasaannya akan menggunakan sebutan 'okane' bagi merujuk kepada duit kertas sementara bagi duit syiling, akan disebut sebagai 'dama' atau 'tama.'

4. Riel

sejarah wang riel ikan

Asal-usul nama matawang Cambodia iaitu 'riel' mempunyai percanggahan.

Ada yang menyifatkan istilah itu dipinjam daripada istilah 'realle' atau 'riyal,' nama matawang yang turut sama pernah digunakan di kalangan masyarakat kita - diambil daripada istilah Sepanyol bagi mewakili 'perak yang dibentuk.'

Ada juga pendapat mengatakan nama 'riel' ini diambil daripada nama ikan trey riel, sejenis ikan yang banyak membiak di Tasik Tonle Sap; menjadi sumber ikan utama di Cambodia serta punca rezeki masyarakat mereka.

Penyokong pendapat kedua mengutarakan pendapat bahawa nama ikan itu 'trey riel' dipilih sebagai simbolik punca pendapatan mereka.

5. Kip

asal usul sebutan nama kip matawang asia

Negara Laos telah melalui beberapa kali pertukaran matawang, bermula pada tahun 1945 dengan pengenalan matawang yang dinamakan 'Kip' sebelum penjajah Perancis memansuhkannya digantikan dengan sistem matawang mereka sendiri.

Selepas mencapai kemerdekaan, matawang 'kip' diperkenalkan semula dalam versi 'kip di-raja' sebelum pergolakan politik akibat penguasaan komunis menukarkan sekali lagi matawang mereka kepada versi 'kip berbeza pada tahun 1976.

Apa makna 'kip'? Kip membawa makna 'jongkong kecil' atau 'ingot' dalam Bahasa Inggeris.

6. Ringgit

ringgit malaysia asal usul makna

Kami telah menulis satu artikel panjang lebar tentang asal-usul serta sebab mengapa kita menggunakan nama 'ringgit', sebagai kata rujuk matawang kita.

Sekiranya anda ingin tahu apa sebabnya, anda boleh baca artikel Asal-Usul Nama dan Sebutan Ringgit dalam matawang Malaysia.

Kami yakin artikel tersebut mampu menerangkan secara sangat terperinci puncanya dan mampu membuatkan anda lebih menghargai setiap ringgit yang anda miliki, sehingga kedekut untuk membelanjakannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)