Oleh pada 06 Oct 2021 kategori

Lacchiman Gurung adalah seorang pejuang Gurkha dari Nepal yang berperang untuk British ketika Perang Dunia Kedua. Terkenal dengan ketabahan mereka dalam pertempuran, kaum Gurkha adalah tentera yang dihormati sepanjang sejarah.

Gurung membuktikan legenda itu benar apabila dia terus memerangi tentera Jepun pada tahun 1945 ketika kehilangan sebelah tangan dan sebelah mata dalam pertempuran.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dia kemudian menjadi salah seorang daripada 13 tentera Gurkha yang dianugerahkan pingat Victoria Cross oleh pihak British. Berikut adalah kisah menakjubkan Lacchiman Gurung.

Kehidupan awal Lachhiman Gurung

Lachhiman Gurung dilahirkan di sebuah perkampungan kecil di Nepal pada tahun 1917. Pada tahun 1940, seorang rakannya memberitahu gurung bahawa tersenarai untuk menyertai angkatan tentera British.

Ketika itu, pihak British sedang aktif merekrut anggota tentera untuk menghadapi perang yang dilihat tidak dapat dielakkan. Gurung turut berminat dengan tawaran rakannya itu dan mencuba nasib untuk menyertai tentera British.

gurung unit senapang gurkha

Lachhiman Gurung ketika menyertai tentera British

Salah satu peraturannya ialah calon mestilah melebihi lima kaki tinggi tetapi Gurung sedikit rendah daripada itu. Biasanya, dia tidak akan terpilih tetapi disebabkan perang di Timur semakin meruncing, British menerimanya untuk menyertai pasukan Senapang Gurkha.

Kempen Burma dalam WW2

Burma menjadi sasaran Empayar Jepun kerana dua sebab. Pertama ialah untuk memutuskan laluan bekalan tentera Sekutu ke China. Kedua, Jepun ingin mengawal sempadan India dan memprovokasi pemberontakan terhadap Koloni Inggeris di India.

Jepun berjaya menguasai hampir keseluruhan Burma pada tahun 1942. Pihak British dan sekutunya cuba untuk melakukan serangan balas tetapi berjaya dipatahkan. Walaupun beberapa tahun kemudian pihak Bersekutu semakin kuat, tetapi keadaan di Burma masih sama.

kempen perang di burma

Pertempuran sengit berterusan sehingga 1945 termasuklah di dalam hutan tebal di Burma. Sedikit demi sedikit, British berjaya maju ke dalam kawasan yang dikuasai Jepun. Namun, mereka kehilangan ramai tentera.

Batalion Lachhiman Gurung

Pada penghujung April 1945, briged India ke-89 di bawah pimpinan Jeneral Sir William Slim diarahkan untuk memintas dan mengalahkan tentera Jepun yang sedang berundur. Unit Senapang Gurkha ke-8 yang disertai Gurung pula diarahkan untuk menyekat laluan tentera Jepun.

Pasukan Gurung bertembung dengan tentera Jepun di sebuah perkampungan bernama Taungdaw. Mereka yang sepatutnya menyekat pengunduran tentera Jepun sebaliknya dikepung ratusan musuh dan terputus hubungan daripada pasukan utama British.

tentera jepun di burma

Jika tentera Jepun berjaya mengalahkan unit mereka, ia akan menjadi kekurangan besar kepada pihak British. Maka, unit Gurung nekad untuk mempertahankan posisi dan bersedia bertempur dengan tentera Jepun. 

Gurung ditempatkan di bahagian paling hadapan di atas sebuah bukit kecil bersama dua lagi rakannya. Pada malam harinya, mereka diserang oleh 200 tentera Jepun dalam satu serangan mengejut.

Kehilangan tangan dan mata

Dalam serangan bertubi-tubi itu, sebutir bom tangan jatuh berhampiran Gurung tetapi dia berjaya melemparkannya semula sebelum ia meletup.

Begitu juga dengan bom tangan kedua yang jatuh di hadapan kakinya. Gurung berjaya melemparkannya semula. Kali ketiga bom tangan jatuh berhampirannya, Gurung cuba untuk melemparnya tetapi bom itu meletup.

Dua rakannya cedera parah dan begitu juga dengan Gurung. Jari pada tangan kanannya hancur dan matanya buta sebelah. Pada ketika ini, hanya Gurung sahaja di barisan hadapan yang masih mampu bertarung.

lachhiman gurung veteran perang

Lachhiman Gurung (kanan) bersama seorang lagi veteran Burma

Mungkin kebanyakan orang akan menyerah dalam keadaan ini tetapi Gurung tetap berjuang. Dia terpaksa menembak dan mengisi peluru menggunakan tangan kirinya sahaja. Gurung berjaya mempertahankan kedudukannya selama empat jam sambil menjerit "Mari bertempur dengan Gurkha!"

Serangan Jepun terhadap unit Gurung berterusan selama hampir dua hari lamanya sebelum bantuan daripada pasukan utama tiba. Semua terkejut apabila mendapati Gurung masih selamat walaupun cedera parah. Keberanian Gurung menyelamatkan seluruh unitnya.

Dianugerahkan penghargaan tertinggi

Bukan sahaja Gurung terselamat daripada pertempuran itu dengan sebelah tangan dan sebelah mata. Dia juga berjaya membunuh seramai 31 orang tentera Jepun sendiri. Apabila bantuan tiba, 87 tentera Jepun telah terkorban dan selebihnya ditahan dan melarikan diri.

Gurung telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan. Pada Disember 1945, dia dianugerahkan pingat Victoria Cross dalam satu upacara di India. Ia merupakan penghargaan tertinggi yang diberikan kepada tentera British dan Gurung adalah salah seorang daripada 13 tentera Gurkha yang menerimanya.

lachhiman gurung 2

Tidak terus bersara, Gurung meneruskan perkhidmatannya sehingga penjajahan British berakhir di India pada 1947. Dia kemudian diserapkan ke dalam tentera India dan berkhidmat untuk jangka masa pendek sebelum bersara.

Ketika diwawancara mengenai pertempurannya di perkampungan Taungdaw, Gurung berkata bahawa dia tiada pilihan lain selain terus bertarung. Dia tahu bahawa dia akan mati pada hari itu dan tidak mahu mensia-siakan hidupnya dengan menyerah.

Walau bagaimanapun, dia terselamat walaupun bertarung dengan sebelah tangan dan mata. Namun, kempen peperangan di Burma ini jarang disebut dan dianggap sebagai tidak begitu penting dalam Perang Dunia Kedua.




Hakcipta iluminasi.com (2017)