Perang Dunia Kedua telah berlangsung dari tahun 1939 dan berakhir pada tahun 1945. Perang itu telah melibatkan seramai hampir 100 juta orang daripada 30 buah negara. Perang yang dianggap paling berdarah itu telah mengorbankan sebanyak 50-80 juta nyawa tentera dan orang awam.

Salah satu bangsa yang paling ramai diburu dan dibunuh ketika itu ialah bangsa Yahudi. Walau bagaimanapun, terdapat satu kisah menarik di mana seorang lelaki bernama Si Kaddour yang merupakan pengasas Masjid Besar Paris telah menyelamatkan nyawa ribuan orang Yahudi. Berikut adalah kisah bagaimana dia melakukannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejarah awal Si Kaddour Benghabrit

Pada permulaan abad ke-20, Si Kaddour Benghabrit atau Abdelqader Ben Ghabrit telah diberi gelaran sebagai "Muslim paling sejati di Paris". Dia telah dilahirkan pada tahu 1868 dalam sebuah keluarga Andalusia yang terkenal.

si kaddour bin ghabrit

Beliau telah menerima pendidikannya di Madrasa of Algiers dan University of al-Karouine of Fez. Si Kaddour telah memulakan kerjaya awalnya di Algeria di dalam bidang kehakiman.

Pada tahun 1892, beliau menjadi penolong jurubahasa di Perwakilan Diplomatik Perancis ke Tangier, sebuah bandar utama di Maghribi. Kemudian, beliau juga berkhidmat sebagai penghubung antara pegawai Afrika Utara dan Kementerian Luar Perancis. Itu hanyalah fasa permulaan untuk apa yang bakal berlaku sepanjang hidup Si Kaddour.

Pada tahun 1916 pula, beliau telah dihantar ke Arab Saudi bagi membantu memudahkan proses menunaikan Haji. Beliau memastikan kesejahteraan sesama warganegaranya semasa menunaikan Haji di tempat suci umat Islam itu.

Bantuannya itu lebih tertumpu pada orang yang sedang dalam perjalanan menunaikan Haji dari Afrika Utara. Salah satu sumbangan terbesarnya ialah memulakan Persatuan Habous dan Tempat-tempat Suci Islam, yang memastikan umat Islam dari Afrika Utara dapat ditampung dan dijaga kebajikan mereka semasa menunaikan Haji.

Pengasas Masjid Besar Paris

si kaddour dan masjid besar paris

Melalui persatuan yang diasaskannya itu, usaha Si Kaddour juga telah menjadi asas kepada pembinaan Masjid Besar Paris pada awal 1920-an. Masjid itu menjadi lambang persahabatan abadi antara Perancis dan agama Islam.

Masjid Besar Paris itu juga dibina bagi memperingati pengorbanan lebih daripada 10,000 orang tentera beragama Islam yang telah kehilangan nyawa mereka untuk mempertahankan Perancis semasa Perang Dunia Pertama.

Salah satu pertempuran yang paling terkenal disertai oleh tentera beragama Islam adalah ketika Pertempuran Verdun yang merupakan pertempuran terbesar dan terpanjang dalam Perang Dunia Pertama. Pertempuran itu berlaku di kawasan Western Front antara tentera German dan Perancis.

masjid besar paris 2 611

Pembinaan Masjid Besar Paris itu siap pada tahun 1926. Selain menjadi tempat beribadah, masjid ini juga digunakan sebagai Institut Islam yang menawarkan sokongan dan bantuan kepada orang Islam yang tinggal di Paris atau mereka yang mengunjungi ibu kota Perancis itu.

Muslim paling sejati Paris

Masjid itu juga memberikan bimbingan dan bantuan kepada pendatang baru Muslim di bandar itu. Si Kaddour telah menjadi seorang yang terkenal dan sangat dihormati. Sebagai seorang yang aktif dalam masyarakat Perancis, beliau mendapat gelaran "Muslim paling sejati di Paris".

kaddour ben ghabrit3

Sumbangan mulia Si Kaddour tidak hanya terhenti setakat itu sahaja. Usahanya tetap berterusan ketika dunia mula menyaksikan permulaan kepada Perang Dunia Kedua.

Selepas kejatuhan Perancis, beliau meneruskan usahanya untuk melindungi rakyat negara itu. Bukan sahaja Si Kaddour memberikan perlindungan kepada masyarakat Islam di sana malah juga kepada mereka yang berbangsa Yahudi.

Beliau terlibat secara langsung dalam membantu ratusan hingga ribuan orang Yahudi yang diburu oleh tentera Nazi dan mereka yang berfahaman fasis. Dia mendakwa bahawa semua orang Yahudi di bawah lindungannya itu adalah Muslim bagi menyelamatkan nyawa mereka.

Perlindungan dan bantuan Masjid Besar Paris

salim halali

Salim Halali

Salah seorang daripada mereka adalah penyanyi Algeria yang terkenal iaitu Salim Halali yang mempunyai jalur keturunan Yahudi. Sekiranya bukan kerana sokongan dan bantuan yang diberikan oleh Si Kaddour, mereka pasti akan ditangkap dan dihantar ke kem-kem tahanan.

Keluarga Yahudi yang diberikan perlindungan oleh pihak Masjid Besar Paris itu disembunyikan dan ditempatkan di kawasan perkuburan bawah tanah masjid itu. Mereka akan menetap di situ sementara menunggu dokumen palsu mereka siap. Mereka memerlukan dokumen palsu itu bagi membolehkan mereka sampai ke "Zon Bebas" atau menyeberang lautan Mediterranean untuk ke Mangribi.

Keseluruhan operasi itu dibantu oleh sekumpulan warga Algeria yang kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan pekerja. Mereka akan memimpin bangsa Yahudi untuk berlindung di Masjid Besar Paris itu.

Ia adalah misi tambahan kepada misi pertama mereka iaitu menyelamat, melindungi dan memberikan tempat persembunyian kepada pasukan payung terjun British yang terkandas.

Penglibatan Muslim dalam penentangan rakyat

france resistance

Akan tetapi, perkara ini mungkin tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tiada usaha bantuan daripada Si Kaddour Benghabrit. Dari situlah ramai Muslim telah memihak kepada Perancis dalam gerakan Resistance yang berlaku di negara itu.

Si Kaddour Benghabrit telah meninggal dunia pada tahun 1954 ketika berusia 86 tahun. Untuk sumbangannya, beliau telah dianugerahkan pingat Grand Cross of the Legion of Honour, penghargaan ketenteraan tertinggi Perancis yang diperkenalkan oleh Napoleon Bonaparte pada 1802. Jenazah Si Kaddour telah dikebumikan di bahagian utara Masjid Besar Paris itu.

Setakat ini, jumlah sebenar orang Yahudi yang telah bersembunyi di Masjid Besar Paris itu masih belum jelas. Namun, jumlah yang dilaporkan adalah dari 500 hingga 1600 orang.

les hommes libres

Pada tahun 2011, kisah Si Kaddour menyelamatkan orang-orang Yahudi ini telah diadaptasikan ke dalam filem. Filem bertajuk Les Hommes Libres atau Free Man itu telah diterbitkan oleh seorang pengarah berbangsa Perancis-Maghribi, Ismael Ferroukhi. Salim Halali yang merupakan salah seorang yang terselamat ketika itu juga telah diambil berlakon dalam filem itu. 

Rujukan:

1. NY Times

2. The History Reader

3. The Vintage News




Hakcipta iluminasi.com (2017)