Oleh pada 16 Sep 2022 kategori

Zaman penjajahan British di Tanah Melayu meninggalkan impak besar kepada kaedah pembentukan negara Malaysia.

Kesan campur tangan British melalui perubahan dan dasar yang mereka perkenalkan, juga telah mencorakkan banyak elemen sosial dalam hidup kita tanpa kita sedar atau tidak, yang kita akui ada baik buruknya. Bagi sesetengah orang, mereka melihat legasi penjajahan Britain rata-ratanya sebagai sesuatu yang positif.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada yang melihat Britain hanya perosak. Berikut adalah lima legasi terbesar telah dtinggalkan British, yang membawa kepada identiti Malaysia; tetapi dalam masa sama memang meninggalkan parut luka kepada masyarakat kita.

1. Masyarakat majmuk

masyarakat majmuk malaysia

Kemajmukan masyarakat sering diangkat sebagai identiti tunjang negara kita.

Kepelbagaian etnik ini bagaimanapun malangnya, turut boleh dilihat sebagai sesuatu yang positif atau negatif apabila urusan penciptaan dasar atau penentuan hala tuju negara ditentukan.

Secara ringkas kita semua tahu kemajmukan masyarakat kita, bukanlah berlaku ketika zaman Britain mentadbir semata-mata. Pedagang-pedagang dari tanah Arab, China, India dan Eropah telahpun hadir ke Tanah Melayu lebih awal lagi sebelum mana-mana penjajah menguasai tanah air kita. 

Kehadiran mereka ke sini menyebabkan ada di kalangan pedagang memilih untuk terus kekal di Tanah Melayu, berkahwin dan beranak-pinak dengan orang tempatan menghasilkan keturunan seperti Serani, Kristang, Baba dan Nyonya dan Chetti, di mana berlaku asimilasi bangsa, keturunan dan agama dengan orang tempatan.

Penjajahan Britain di Tanah Melayu pula boleh dilihat sebagai gelombang kedua kedatangan, ketika Britain memerlukan jutaan pekerja yang diupah dari tanah besar India dan China untuk melakukan kerja-kerja berat, di bawa khas melalui kapal-kapal dalam kumpulan-kumpulan khas.

Hadir sebagai 'warga British', perancangan awalnya adalah untuk kumpulan-kumpulan ini bekerja, membina kehidupan dan simpanan sebelum pulang ke tanahair masing-masing meneruskan hidup.

Bagaimanapun tindakan Britain seakan enggan menguruskan penghantaran pulang mereka serta desakan masyarakat India dan Cina untuk terus menetap di Tanah Melayu khususnya ketika rundingan kemerdekaan sudah dimulakan, membolehkan status kewarganegaraan secara jus soli diberikan kepada mereka yang tergolong dalam kumpulan ini.

Situasi ini jelas mengubah komposisi penduduk khususnya di Tanah Melayu secara rasmi, mengangkat orang Cina dan India yang hadir menjadi segmen terbesar dalam populasi minoriti.

2. Sistem persekolahan ala barat

pakaian seragam sekolah britain

Sistem persekolahan yang kita amalkan sekarang, masih ketara pengaruh British-nya. Ini kerana sistem kita memang diambil daripada sistem pendidikan yang dibentuk oleh British.

Pada era penjajahan, Britain merangka 4 aliran sekolah, aliran Inggeris, sekolah aliran Cina dan Tamil untuk anak-anak pendatang dari tanah besar Cina dan India dan sekolah aliran Melayu.

Sistem sekolah pondok yang diamalkan masyarakat Melayu sebelum itu mula mendapat tekanan Britain, sehinggakan menjadi kurang popular di kalangan masyarakat tempatan.

Ini disebabkan ramai ibu bapa ketika itu melihat hanya dengan bersekolah di bawah sistem Britain, meninggikan peluang untuk mampu belajar bahasa Inggeris serta duduk dalam sistem yang lebih teratur.

Kita secara amnya masih menggunakan sistem sama yang dipelopori Britain dari segi tahap-tahapnya, yang dibahagikan kepada peringkat rendah dan menengah.

Dari aspek uniformnya pun masih banyak persamaan di mana jenis pakaian yang diperkenalkan masih sama, bezanya kini sudah ramai menutup aurat berbanding uniform sekolah zaman dulu yang mengutamakan seluar pendek dan pakaian jenis pinafore.

Institusi sekolah kita juga masih mengekalkan nama sekolah berorientasikan gereja yang digunakan walaupun sukatannya sudah diubah, dengan sekolah yang mempunyai nama Saint, Convent, Methodist dan sebagainya kekal dinamakan sebegitu sehingga ke hari ini walaupun pelajarnya mungkin majoritinya Islam.

3. Sekolah Jenis Kebangsaan

sekolah jenis kebangsaan

Perlukah kami kategorikan kewujudan sekolah jenis kebangsaan atau SJK ke dalam satu kategori legasi berbeza? Perlu rasanya, kerana ini adalah antara legasi yang masih menghantui masyarakat kita.

Seperti yang sudah kami nyatakan di atas, kewujudan sistem pendidikan vernakular adalah ciptaan Britain yang kekal wujud disebabkan oleh kegagalan Britain menguruskan kepulangan kumpulan pekerja dari India dan China kembali ke tanahair mereka.

Oleh itu semasa pembentukan perlembagaan negara kita, hak untuk mengekalkan sistem pendidikan vernakular menjadi antara perkara yang telah dipersetujui, disebut dalam Perkara 152 Perlembagaan negara kita.

Bagaimanapun bagi menyeimbangkan kebenaran ini, warganegara Malaysia haruslah mengiktiraf kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hanya bahasa Melayu layak digunakan dalam urusan-urusan rasmi.

Ada pihak melihat kewujudan sistem sekolah majmuk ini sebagai positif, ada juga yang melihatnya sebagai sesuatu yang negatif sehingga menjejaskan perpaduan kaum di kalangan masyarakat kita.

Apa pula pandangan anda?

4. Parlimen dan demokrasi

parlimen malaysia berasaskan westminster

Sistem Parlimen yang dijalankan oleh kerajaan kita dibentuk berdasarkan kepada sistem Westminster Britain, masih diamalkan di United Kingdom sendiri.

Dengan mengkategorikan pengasingan kuasa kepada beberapa peringkat, Britain merangka sistem Westminster ini agar pembentukan dasar dapat berlaku dengan adil dan saksama.

Namun ekoran daripada hasrat itu jugalah, ada masanya sesuatu keputusan itu tidak dapat dibuat apabila tidak ada kata sepakat menyukarkan langkah diambil.

Sistem kita boleh dikatakan sangat mirip dengan sistem Britain, dengan perletakan YDP Agong sebagai pemerintah tertinggi dibantu Perdana Menteri dengan barisan kabinet yang dipilih beliau.

Tiga cabang pengasingan kuasa iaitu cabang eksekutif, kehakiman dan legislatif membentuk komponen terbesar pengasingan kuasa kita.

Kita juga mengamalkan sistem dua Dewan dalam Parlimen iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat dan penggunaan sistem pilihanraya untuk menentukan keabsahan wakil kepada Dewan Rakyat. Istilah 'parlimen' itu sendiri adalah pinjaman istilah dari Britain.

Penggunaan sistem berasaskan Parlimen ini akhirnya memadamkan legasi sistem pemerintahan berasaskan Kesultanan Melayu berasaskan pembesar dan wazir, mengenepikan jawatan seperti Bendahara, Temenggung, Laksamana dan Syabhandar hanya sebagai nama rumah-rumah sukan di sekolah.

Selain kita dan Britain, beberapa buah negara bekas jajahan Britain lain seperti Australia, New Zealand, India, Singapura dan Jamaica turut sama mengamalkan sistem serupa.

5. Pembentukan sempadan antara masyarakat

pedagang hadir melalui kapal ke tanah melayu

Membaca sejarah masyarakat kita zaman lampau, seronok sebenarnya membayangkan bagaimana masyarakat rantau ini baik yang tinggal di Tanah Melayu, kepulauan Jawa, Borneo, Sumatera termasuklah beberapa kawasan lain boleh bergerak ke sana sini secara bebas.

Asimilasi masyarakat zaman dahulu meluas, seakan-akan tiada sempadan.

Hasilnya, di Malaysia kita ada etnik-etnik seperti Bugis, Jawa, Siam dan Kerinci yang masih mengekalkan identiti mereka selepas bergenerasi lamanya nenek moyang mereka hadir ke sini.

Dengan kehadiran penjajah khususnya Britain yang banyak melakar semula garis sempadan kita, ekoran kerjasama di antara mereka dengan Belanda dan perjanjian di antara Britain dengan Siam serta pemecahan Borneo kepada beberapa bahagian, garis-garis sempadan mula menjadi konsep diamalkan sebagai batasan pergerakan.

Mereka yang satu masa dulu bebas belayar dan bertandang, kini tidak lagi mempunyai kebebasan sama. Konsep 'Melayu anak dagang' yang digunakan bagi mewakili orang luar yang hadir ke Tanah Melayu dan 'Melayu Semenanjung' yang diguna mewakili orang tempatan tidak lagi terpakai.

Kefahaman bahawa tanah rantau ini adalah tanah yang kita kongsi bersama lupus daripada kotak fikiran kita.

Apa yang paling malang tentang perkara ini?

Dengan bertandanya sempadan antara negara-negara, kita mula melihat mereka yang mungkin ada pertalian darah dengan kita sebagai 'orang asing' atau 'orang luar.' 

Inilah legasi terbesar Britain yang paling meninggalkan kesan besar pada kita. Mereka berjaya memecahkan penduduk rantau ini yang didefinisikan sama ada sebagai Alam Melayu, Nusantara, Asia Tenggara atau apa saja definisi yang anda rasakan sesuai, kepada pecahan lebih kecil.

Lebih malang sudahlah dipecah-pecahkan - kita pula terikut-ikut dengan segmentasi yang berlaku, mula menyimpan sentimen negatif terhadap negara-negera berjiran kita, yang akhirnya membawa kepada lebih banyak perpecahan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)