Walaupun kebanyakan peminat sukan permotoran mengiktiraf drifting sebagai teknik pemanduan yang hanya boleh dilakukan oleh pemandu kenderaan yang mahir, sejak tiga dekad yang lalu popularitinya terus meningkat sehingga menjadi salah satu sukan permotoran kompetitif paling popular di seluruh dunia.

Pertandingan drifting biasanya diadili oleh juri berpengalaman dengan peserta mendapat poin untuk gaya, kelajuan, teknik pemanduan dan banyak lagi kriteria yang ditetapkan. Salah satu bintang muda yang paling terkenal dalam sukan ini ialah pemandu professional Poland, Bartek Ostalowski.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, tidak seperti para pesaingnya, Bartek Ostalowski mengendalikan keretanya menggunakan kakinya. Setelah kehilangan kedua-dua tangannya dalam kemalangan motosikal pada usia 20 tahun, pelumba yang baru muncul itu terus berusaha meneruskan kerjaya di sukan permotoran.

Inspirasi untuk kembali berlumba

     

Selepas kemalangan tersebut, beliau cuba mencari jalan penyelesaian bagi membolehkannya memandu sendiri. Kemudian, beliau mendengar tentang seseorang di Poland yang sama sepertinya tidak mempunyai tangan tetapi mampu memandu kereta setiap hari tanpa masalah.

Setelah bertemu dengan lelaki tersebut, impian dan minat beliau untuk sukan permotoran semakin kuat dan beliau membuat keputusan untuk kembali berlumba suatu hari nanti.

Sejak mendapat inspirasi tersebut, beliau terus belajar memandu dengan kaki sahaja sehit akhirnya menjadi pemandu pertama tanpa tangan untuk mendapat lesen memandu dalam perlumbaan di peringkat antarabangsa. Pada masa itulah beliau memutuskan untuk mengubah kariernya untuk mencuba sukan luma drift pula. 

Kereta modifikasi khas

lumba drift

Dengan menggunakan Nissan Skyline yang diubahsuai khas, beliau berjaya menajamkan skilnya untuk berjaya dalam sukan lumba drift. Selain enjin V8 yang lebih besar, terdapat beberapa modifikasi lain yang dilakukan terhadap keretanya untuk membolehkannya memandu dengan kakinya.

Keretanya juga diubah suai dengan mempunyai tombol gear khas. Sekiranya beliau mahu menukar gear, beliau dapat melakukannya dengan menolak ke hadapan atau ke belakang menggunakan bahu.

Namun, seperkara lagi yang sangat penting adalah  kedudukan tempat duduknya supaya  mempunyai ruang yang cukup untuk mengendalikan stereng dengan mudah menggunakan kaki. Pemandu Poland yang bercita-cita tinggi ini menggunakan kaki kanannya untuk mengawal pedal, sambil memandu dengan kaki kirinya.

Satu-satunya pemandu profesional memandu dengan kaki

     

Walaupun tidak sempurna seperti pemandu lain, pencapaiannya dalam dunia permotoran sangat mengagumkan. Malah, beliau juga merupakan satu-satunya pemandu profesional yang memandu dengan kakinya. 

Setelah mencipta nama untuk dirinya di litar perlumbaan Poland, Bartek Ostalowski menyahut cabaran yang lebih besar iaitu dengan berlumba drift. Sekiranya anda tidak pernah tahu dengan konsep drift, anda mungkin tidak tahu betapa sukarnya berlumba drift yang memerlukan reaksi pantas dan koordinasi tangan (dalam hal ini, kaki) dan mata yang tepat untuk mengawal kereta ketika meluncur di trek.

Jika memandu drift dengan tangan pun sukar, bayangkan betapa hebatnya beliau boleh memandu drift dengan kakinya!

Pada tahun 2019, Bartek Ostalowski menduduki tempat kesembilan daripada 50 pemandu dalam Kejuaraan Drift Poland, salah satu siri kejuaraan paling kompetitif di seluruh Eropah dan tahun sebelum itu, beliau memenangi Siri Drift Czech antarabangsa, mengalahkan puluhan pemandu profesional lain.

Namun, kariernya tidak terhenti setakat itu sahaja. Sebaliknya, seperti pemandu profesional lain beliau mahu memenagi lebih banyak kejuaraan bersama pasukannya. Bagi yang tidak tahu, Bartek Ostalowski mengasaskan pasukannya sendiri yang dikenali dengan nama Bart Racing.

Lelaki itu adalah inspirasi bagi ramai orang diluar dan seharusnya menjadi contoh hebat bagaimana minat dan keinginan tinggi dapat mengatasi halangan yang paling sukar. Pada usia 30-an sekarang beliau masih gemar berlumba dan tidak malu untuk meletakkan kaki di stereng.

Kredit:

  1. Business Insider
  2. Mirror UK



Hakcipta iluminasi.com (2017)