Peperangan secara umumnya dilihat sebagai sesuatu yang negatif. Selain kerosakan harta benda, peperangan seringkali akan mengorbankan nyawa golongan awam yang tidak berdosa. Malah, negara-negara yang terlibat dengan peperangan juga kebiasaannya akan mengalami kepincangan ekonomi akibat belanja yang terlalu besar untuk peperangan.

Walau bagaimanapun, sedar atau tidak, dalam peperanganlah kita akan dapat lihat negara-negara yang terlibat akan menjadi lebih kreatif dan inovatif mencipta strategi atau senjata baru bagi mengalahkan musuh.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ketika Perang Dunia Kedua, besi merupakan bahan semulajadi yang sangat penting memandangkan ianya digunakan untuk menghasilkan pelbagai kelengkapan persenjataan. Akibat permintaan yang sangat tinggi, besi sangat sukar diperolehi pada waktu itu.

Strategi menghapuskan serangan kapal selam Jerman

kapal selam jerman

Sewaktu Perang Dunia Kedua, di bahagian Atlantik Utara, pihak British menghadapi saat getir akibat diserang secara bertubi-tubi oleh U-boat, iaitu kapal selam Jerman. Ketika itu Jerman merupakan antara negara terawal yang mempunyai kapal selam dan pihak British terpaksa bergantung pada serangan pesawat penggempurnya untuk menembak kapal selam ini dari udara.

Kewujudan U-boat juga menyaksikan banyak kapal-kapal yang menghantar bantuan-bantuan makanan, perubatan dan senjata melalui jalan laut diserang dan dimusnahkan oleh kapal selam ini.

Walaupun pesawat penggempur dilihat sebagai solusi terbaik bagi menyerang kapal selam Jerman ini, pihak British mempunyai masalah lain. Pesawat penggempur ini tidak boleh dilancarkan daripada laut dan mereka memerlukan kapal pelancar pesawat untuk tujuan ini.

Walau bagaimanapun, British sedar bahawa membina sebuah kapal khas untuk melancarkan pesawat pada waktu itu bukanlah perkara yang mudah memandangkan mereka kekurangan sumber besi untuk tujuan itu.

Idea menghasilkan landasan pesawat daripada ais

projek habakkuk

Seorang saintis British bernama Geofffrey Pyke yang bekerja di Ibu Pejabat Operasi dan merupakan penasihat kepada Komandernya, Lord Mountbatten mendapat idea yang kreatif bagi mengatasi masalah ini. Beliau mencadangkan pembinaan kapal yang dilengkapi landasan pelancaran pesawat yang diperbuat daripada bongkah ais besar.

Menurut beliau, apabila bahagian atas ais tersebut diratakan, ianya sesuati untuk dijadikan landasan pelancaran dan pendaratan pesawat. Selain itu, bahagian tengah bongkah ais tersebut juga boleh ditebuk bagi menghasilkan ruangan khas tempat menyimpan pesawat.

Beliau berjaya meyakinkan ketuanya, Lord Mountbatten mengenai idea pelik dan gila tersebut. Lord Mountbatten kemudian berjaya meyakinkan idea tersebut kepada Winston Churchill dengan mengatakan ianya mungkin strategi yang membolehkan mereka memenangi peperangan itu.

Cadangan tersebut diterima dan Winston Churchill kemudian melancarkan sebuah projek rahsia bagi pembinaan kapal yang mempunyai landasan pelancaran dan pendaratan pesawat yang diperbuat daripada ais. Projek tersebut telah diberi kod nama Projek Habakkuk. Perkataan "Habakkuk" ini diambil sempena nama satu ayat daripada Kitab Bibble.

Pelancaran Projek Habakkuk

kapal ais

Tidak lama kemudian, Projek Habakkuk dilancarkan. Menurut Geofffrey Pyke, kapal yang diilhamkannya itu apabila siap kelak bakal mempunyai dimensi panjang 2000 kaki, lebar 300 kaki dan berat lebih daripada 2 juta tan. Ketebalannya pula adalah 40 kaki dan ianya kebal daripada serangan peluru berpandu.

Selain itu, ruangan landasan pelancaran dan pendaratan pula dikatakan mampu menampung sehingga 150 pesawat pengebom atau  pejuang bersaiz kecil. Segalanya kelihatan sempurna, namun terdapat satu lagi masalah besar iaitu ais akan cair.

Walau bagaimanapun, Geofffrey Pyke mempunyai idea bagi mengatasi masalah ini. Beliau mencadangkan satu sistem penyejukan yang terdiri daripada sambungan jaringan paip yang akan mengalirkan cecair penyejuk ke seluruh bahagian kapal ini bagi mengelakkan ais daripada mencair.

Penciptaan prototaip dan inovasi baru

konsep habakkuk 884

Sebelum kapal dengan skala sebenar dibina, mereka telah mencipta satu prototaip kapal tersebut pada skala yang lebih kecil. Sebuah kapal daripada ais yang berukuran 60 kaki panjang dan seberat 1000 tan berjaya dibina di Tasik  Patricia yang terletak di kawasan perairan Canadian Rockies.

Selain itu, sistem penyejukan yang dipasang juga berjaya memastikan ais pada badan kapal tersebut tidak cair sepanjang musim panas. Malangnya, ketika fasa ujian, mereka menemui satu lagi masalah besar. Walaupun ais keras, ianya sangat rapuh. Selain itu, ais juga boleh berubah bentuk dan pecah di bawah tekanan tinggi.

Oleh itu, apabila sebuah kapal sebesar Habakkuk dibina, ianya mungkin akan hancur disebabkan oleh beratnya sendirinya. Namun, dua orang saintis daripada Polytechnic Institute of Brooklyn, New York menemui solusi bagi masalah ini. Menurut mereka, campuran habuk papan dan air yang dibekukan akan menghasilkan ais yang 14 kali lebih kuat daripada ais biasa.

Eksperimen yang dilakukan juga menunjukkan bahan baru ini lebih tahan kepada tekanan dan peluru. Bahan ini kemudiannya diberikan nama Pykrete, sebagai penghargaan kepada Geofffrey Pyke.

Apabila penggunaan bahan ini sudah dimuktamadkan, pembinaan kapal ini pun dimulakan. Mengikut kiraan, untuk setiap kapal yang dihasilkan, 300,000 tan habuk kayu,  25,000 tan penebat papan gentian, 35,000 kayu balak dan 10,000 tan besi diperlukan. Kos keseluruhan dikatakan mencecah £2.5 jut (lebih £100 juta pada nilai sekarang).

Apabila dibuat penelitian, halangan terbesar untuk meneruskan projek ini adalah sumber membuat kapal itu sendiri. Seperti besi, habuk kayu juga sangat sukar diperolehi pada waktu itu. Selain itu, kapal itu dikatakan terlalu besar dan hanya mampu belayar pada kelajuan 6 knots, kelajuan yang dianggap terlalu perlahan.

Akhirnya, projek ini terpaksa ditamatkan kerana dilihat tidak lagi praktikal apabila mengambil kira pelbagai masalah yang dihadapi. Kini, beberapa bahagian kapal prototaip yang dibina untuk Projek Habakkuk ini dikatakan masih lagi wujud di dasar Tasik Patricia, Alberta, Kanada.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Gizmodo



Hakcipta iluminasi.com (2017)