Oleh pada 07 Jul 2020 kategori

Salah satu isu yang akan mendapat reaksi hangat daripada pembaca Iluminasi, adalah isu hak milikan Singapura.

Ramai juga pembaca kami masih lagi mempunyai tanggapan bahawa kerajaan Malaysia masih mempunyai hak ke atas Singapura. Kami perlu jelaskan lebih awal - ada sebab yang sangat kukuh untuk Singapura menuntut atau diberikan kemerdekaan daripada negara kita - memisahkan dua masyarakat yang sama asalnya kepada dua negara berbeza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Untuk memahami isu ini, kita perlu melihat semula peristiwa yang telah berlaku pada abad ke 19, yang kami harap dapat memperjelaskan kepada anda berkenaan isu ini.

Selepas jatuhnya Melaka ke tangan Portugis

portugal fall of malacca kejatuhan melaka

Kisah tentang sejarah pemilikan Singapura perlu dimulakan semasa era kejatuhan kerajaan Melaka ke tangan Portugis, pada tahun 1511.

Titik sejarah ini menyebabkan Sultan Mahmud yang ditumbangkan, melarikan diri ke Johor untuk memulakan penubuhan kerajaan Johor pada tahun 1512.

Walaupun berdepan serangan balas pelbagai pihak daripada Portugis, Belanda, Siam dan akhirnya British - kerajaan Johor tetap mampu bertahan dan negeri Johor yang ada sekarang, adalah warisan turun temurun kerajaan itu.

Hasil kerjasama Johor dengan Belanda pada awal abad ke 17 untuk menyerang kembali Portugis seterusnya merampas Melaka, membolehkan Johor meluaskan jajahan mereka sementara Melaka jatuh ke tangan Belanda.

Kedatangan British ke Tanah Melayu yang bermula di Georgetown, Pulau Pinang sekitar tahun 1786 memulakan konflik antara British dan Belanda di sini. British yang bercita-cita besar mula menjalankan siri peperangan bagi meluaskan jajahan mereka.

British yang pada ketika itu sudah menguasai Pulau Pinang dan Bengkulu di Sumatera, merasakan wujudnya keperluan penting untuk mereka mempunyai sebuah pusat perdagangan di Selat Melaka, bagi mengurangkan dominasi Belanda di Melaka.

Stamford Raffles, Gabenor Bengkulu ketika itu meninjau beberapa lokasi yang sesuai sebelum memilih kawasan Singapura untuk tujuan tersebut. Di sinilah bermulanya siri-siri kerjasama antara kerajaan Johor yang ketika itu menguasai Singapura dengan British.

Peranan Temenggung Singapura

diorama perjanjian 1819

Temenggung Abdul Rahman lahir pada tahun 1755 merupakan cucu kepada Temenggung Abdul Jamal, Temenggung Johor yang pertama.

Temenggung Abdul Rahman dilantik ke jawatan tersebut bermula pada tahun 1806, atas perkenan Sultan Mahmud Riayat Shah, Sultan Johor ke 15.

Selepas dilantik, Temenggung Abdul Rahman membawa bersama ahli keluarga dan pengikutnya ke Singapura, bagi menubuhkan pusat pentadbiran baru di situ pada tahun 1811, di bawah pemerintahan kerajaan Johor.

Peranan Temenggung dalam sistem kerajaan Johor agak besar pengaruhnya ketika itu. Temenggung merupakan pemimpin nombor 2 dalam kerajaan Johor, mempunyai kuasa mentadbir yang agak luas namun masih memerlukan perkenan Sultan Johor sebelum apa-apa keputusan besar dilakukan.

Pada era tersebut, kedudukan Sultan Johor berhadapan ketidakstabilan selepas Sultan Mahmud Shah III mangkat tanpa sempat menamakan pewarisnya. Berlaku perebutan kuasa diantara dua adik beradik tiri iaitu Tengku Hussein yang lebih tua dengan adik tirinya, Tengku Abdul Rahman (berbeza dengan Temenggung Abdul Rahman).

Kegagalan waris sebenar Tengku Hussein untuk berada di sisi ayahnya semasa kemangkatan Baginda menyebabkan kelayakan beliau dicabar beberapa orang pembesar istana, yang mahukan Tengku Abdul Rahman memegang takhta.

Tengku Abdul Rahman naik menaiki takhta dengan gelaran Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan Tengku Hussein terpaksa berputih mata, memilih untuk melarikan diri ke Riau.

Rapat dengan Belanda, pemerintahan Sultan Abdul Rahman sebagai Sultan Johor berdepan konflik kerana beberapa isu perlantikannya khasnya melibatkan sokongan Temenggung Abdul Rahman sendiri.

Temenggung Abdul Rahman cenderung untuk menyokong Tengku Hussein sebagai Sultan Johor disebabkan oleh status beliau sebagai pewaris yang layak, berdasarkan susur galur tradisi penyerahan kuasa ketika itu.

Membuka pelabuhan di Singapura

pelabuhan singapura

Mengetahui status sebenar pergolakan antara dua pewaris Sultan Johor yang ada, Raffles mempergunakan kedudukan Tengku Hussein bagi membolehkan British bertapak di Singapura.

Perbincangan di antara Temenggung Abdul Rahman dengan Stamford Raffles berjaya mewujudkan satu perjanjian bersifat sementara, dimeterai pada 30 Januari 1819. Dalam perjanjian tersebut, British melalui Syarikat India Timur Inggeris dibenarkan membuka kilang dan pelabuhan di Singapura.

Sebagai balasan, British perlu bersetuju untuk melindungi kedudukan Tengku Hussein dan Temenggung Abdul Rahman serta membayar $5,000 dan $3,000 riyal Sepanyol setahun kepada mereka berdua. Singapura pula tidak dibenarkan menjalinkan kerjasama dengan mana-mana kuasa luar selagi mana British masih bertapak di situ.

Untuk memuktamadkan perjanjian yang telah berjaya dicapai, persetujuan Sultan Johor diperlukan.

Raffles berjanji akan mengisytiharkan sokongan kepada Tengku Hussein sebagai Sultan Johor yang sah,menyediakan angkatan tentera di Singapura bagi mempertahankan kedudukan beliau. Tengku Hussein di bawa ke Singapura, memberikan persetujuan ke atas perjanjian yang telah dibuat pada 6 Februari 1819.

British menyatakan sokongan kepada Tengku Hussein sebagai Sultan Johor dan Singapura yang sah, naik dengan gelaran Sultan Hussein Muhamad Shah.

British mula bersikap tamak

perjanjian raffles dengan sultan singapura

Walaupun perjanjian sudah dimeterai, apa yang dipersetujui tidak memberikan Raffles kuasa penuh ke atas pentadbiran Singapura. Keputusan-keputusan yang dibuat masih perlu melalui kebenaran Sultan Hussein.

Segala aktiviti perdagangan yang dijalankan, perlu melalui cukai yang dikenakan ke atas setiap transaksi - menandakan kuasa British ke atas Singapura agak terhad, hanya berlegar di dalam kawasan kilang yang telah dibina sahaja.

Pada tahun 1824, perjanjian di antara British dan Belanda yang dicapai, membolehkan pertukaran tanah-tanah jajahan kedua-dua koloni menyebabkan British memperluaskan pengaruh mereka di Tanah Melayu. Melaka dipindahkan ke tangan British, membolehkan British menguasai 3 pelabuhan utama ketika itu - Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

Dalam masa yang sama, Belanda juga mengiktiraf kedudukan British di Singapura.

Disebabkan perubahan ini, kedudukan British di Singapura sudah dianggap tidak lagi terancam dan kedudukan Sultan Hussein Shah, dianggap tidak lagi relevan untuk dikekalkan.

Perubahan dinamik politik ini menyebabkan British mula memberi tekanan kepada Sultan dan Temenggung Abdul Rahman untuk menyemak semula perjanjian di antara kedua-dua pihak, bagi membolehkan British menguasai sepenuhnya pentadbiran Singapura.

Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama 1824 Dimeterai

john crawfurd residen british

Menyedari kuasa serta pertahanan Singapura yang perlu bergantung kepada British sepenuhnya yang bertanggungjawab mengangkat beliau, Sultan Hussein tidak ada jalan lain selain daripada bersetuju untuk melakukan perjanjian baru.

Pada 2 Ogos 1824 bertempat di Government Hill kawasan kediaman Residen British, John Crawfurd (gambar atas), Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman bersetuju untuk menyerahkan Pulau Singapura kepada Syarikat India Timur Inggeris.

Dalam perjanjian yang dirangka, artikel ke 2 dalam perjanjian yang dinamakan sebagai Perjanjian Crawfurd termaktub bahawa :

"Their Highnesses the Sultan Hussain Mahomed Shah and Datu Tumungong  Abdul Rahman Sri Maharajah hereby cede in full sovereignty and property  to  the Honourable the English East India Company,  their heirs and successors for ever, the Island of Singapore, situated in the Straits of Malacca together with-the adjacent seas, straits, and islets, to the extent of ten geographical  miles, from the coast  of the said main Island of Singapore."

Nampak jelas perkataan 'for ever' di situ?

Sebagai pampasan kepada penyerahan pulau tersebut kepada British, Sultan Hussein akan menerima pampasan sebanyak 33,200 dollar Sepanyol dan elaun bulanan 1,300 dollar sepanjang hidup.

Sementara Temenggung Abdul Rahman akan menerima 700 dollar elaun bulanan sepanjang hidup dan 26,800 pampasan atas penyerahan kuasa.

Kedua-duanya dibenarkan untuk terus menetap di Singapura, walaupun John Crawfurd menawarkan Sultan Hussein 20,000 dan Temenggung Abdul Rahman 15,000 untuk meninggalkan Singapura.

Sejarah ini tamat dalam duka.

Temenggung Abdul Rahman meninggal dunia pada tahun 1825, mengakibatkan Sultan Hussein kehilangan penyokongnya yang paling setia.

Baginda terus kekal di Istana Kampung Glam yang menjadi kediaman rasminya semenjak bergelar Sultan di Singapura, sebelum berpindah ke Tengkera, Melaka pada tahun 1834. Sultan Hussein Shah mangkat pada bulan September 1835 dan dikebumikan di Masjid Tengkera.

Sehingga kini, kesilapannya akan terus menjadi igauan yang menghantui anak bangsanya.

Rujukan

1819 Singapore Treaty




Hakcipta iluminasi.com (2017)