Dengan adanya teknologi digital, kini maklumat dapat disebarkan ke seluruh dunia dengan begitu pantas. Anda hanya perlu menaip, merekod dan menghantar sahaja bagi membolehkan maklumat itu tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Walaupun kini ramai yang memilih untuk membaca eBook dan akhbar digital, tetapi ada lagi sesetengah orang yang lebih gemar membaca buku dan akhbar sebenar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, apa yang dilakukan oleh sebuah syarikat akhbar yang beroperasi di bandar Chennai, India, ini lebih daripada sekadar mengekalkan tradisi. Akhbar Musalman adalah akhbar bahasa Urdu paling tua yang ditulis dengan tangan dan telah wujud sejak 90 tahun yang lalu.

syed arifullah

Syed Arifullah

Syarikat akhbar ini telah ditubuhkan pada tahun 1927 oleh Syed Azathulla. Hari ini, akhbar itu disunting oleh cucunya sendiri iaitu Syed Arifullah yang mengambil alih tugas itu selepas ayahnya, Syed Fazlullah meninggal dunia.

Selain editor Arifullah, syarikat akhbar cawangan Chennai itu juga mempunyai tiga orang pakar kaligrafi yang digelar 'katib' yang menulis akhbar itu secara harian. Syarikat itu juga mempunyai tiga orang wartawan yang akan mencari dan mengumpul berita untuk dimuatkan dalam akhbar Musalman.

Kaligrafi sememangnya mempunyai kedudukan istimewa di kalangan umat Islam di India kerana ia telah berakar dalam kesenian Islam sejak sekian lama. Jawatan katib yang memiliki kemahiran dalam seni penulisan kaligrafi juga dipandang tinggi sejak dahulu sehinggalah sekarang.

penulis the musalman

Suatu masa dahulu, semua akhbar berbahasa Urdu di India mengikuti tradisi ditulis dengan tangan sehinggalah pada tahun 1980-an. Walaupun kebanyakan akhbar telah menyesuaikan proses pencetakan mereka mengikuti perkembangan teknologi digital terkini, akhbar The Musalman masih terus berusaha menghidupkan kaedah tradisi.

Akhbar yang mempunyai empat halaman itu ditulis tangan dengan susah payah. Sekiranya berlaku apa-apa kesilapan, seluruh halaman perlu ditulis semula. Malah, kebanyakan iklan dalam akhbar itu juga dilukis tangan walaupun mereka sering menerima iklan itu dalam bentuk digital.

Setelah selesai, satu negatif produk siap digunakan untuk menghasilkan plat pencetakan. Cara beginilah yang dilakukan oleh kakitangan The Musalman untuk menghasilkan akhbar mereka setiap hari sejak tahun 1927.

syed arifullah 2

Syed Arifullah bersama plat percetakan

Syed Arifullah memberitahu ketika ditemubual Daily Mail bahawa seni kaligrafi atau seni khat adalah jantung akhbar itu. Sekiranya jantungnya dikeluarkan, maka tiada apa lagi yang akan tinggal.

Pejabat The Musalman di Chennai terletak di sebuah bangunan yang hanya mempunyai keluasan 800 kaki persegi dan dilekangkapi dengan kemudahan yang sederhana. Namun, ia bukanlah penghalang kepada semangat pasukan itu untuk bekerja.

Menurut ketua katib iaitu Rahman Husseini, para pekerja menumpukan perhatian, mempercayai dan bersedia melakukan kerja mereka sepenuh tumpuan hingga "akhir nafas" mereka. Syed Arifullah memberitahu Khaleej Times bahawa mereka adalah seperti sebuah keluarga.

baca surat khabar

Syarikat akhbar The Musalman juga mempunyai koresponden di seluruh India termasuk Hyderabad, Kolkata, Mumbai dan New Delhi. Ini kerana mereka juga mempunyai pelanggan tetap di seluruh tempat itu.

Walaupun kebanyakan daripada pelanggan akhbar itu beragama Islam, namun ada juga pelanggan yang beragama Hindu yang memahami bahasa Urdu membacanya. Akhbar The Musalman itu diedarkan sebanyak 21,000 naskah setiap hari dan dijual pada harga kurang daripada 1 rupee bersamaan 5 sen. 

Ramai juga orang-orang terkenal seperti pemimpin agama, kerabat diraja, penulis dan penyair yang menyumbang kepada akhbar itu sama ada dari segi penulisan atau sokongan. The Musalman adalah lebih daripada sekadar sebuah surat khabar, malah ia adalah satu seni.

penulis akhbar musalman

Sebelum ini, sekiranya ada berita terbaru yang diperolehi oleh wartawan, maka keseluruhan halaman itu terpaksa diolah dan ditulis semula. Kini, bahagian di sebelah kiri muka hadapan akan dibiarkan kosong bagi memberi ruang kepada berita terbaru yang sampai sebelum jam 3 petang. Akhbar The Musalman biasanya akan diterbitkan pada lewat petang setiap hari.

Sebahagian besar keuntungan yang dibuat oleh akhbar The Musalman adalah melalui ruangan iklan walaupun harga yang ditawarkan mereka adalah sederhana. Namun, ia mencukupi untuk menampung gaji para pekerja yang kebanyakannya bekerja di situ atas minat.

Biasanya, ruangan iklan The Musalman sering disewa oleh pelbagai agensi swasta dan kerajaan. Kebanyakan iklan yang dibuat akan dilukis dalam warna hitam putih melainkan jika ada permintaan iklan berwarna.

Rujukan :

1. The Hindu

2. Khaleej Times

3. Daily Mail




Hakcipta iluminasi.com (2017)