Oleh pada 12 Mar 2018 kategori

Apabila sebuah studio atau rumah penerbitan sudah jadi terlalu sinonim dengan karya-karya hebat dan terkenal sebagai peneraju kepada bidang mereka, kita sebagai penonton terpaksa menerima hakikat - ada kalanya studio tersebut tidak mampu mengekalkan penanda aras yang mereka letakkan pada diri mereka sendiri.

Itulah yang berlaku pada studio animasi Pixar. Filem terakhir mereka yang benar-benar mencapai penanda aras yang mereka sendiri letakkan adalah Toy Story 3 yang terbit pada tahun 2010. 'Inside Out', 'Cars 3' dan 'Finding Dory' adalah filem-filem yang berkali ganda lebih baik jika dibandingkan dengan filem animasi hiburan keluaran studio lain, yang bergantung kepada komedi semata-mata .

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setiap filem tersebut mempunyai keunikan tersendiri dan tetap menghiburkan. Walaupun begitu seperti ada kekurangan dalam filem-filem tersebut jika dibandingkan dengan filem terhebat PIxar yang menjadi rujukan dunia seperti 'Up', 'Wall-E' dan juga trilogi Toy Story sendiri - yang masih disebut-sebut dalam budaya popular dunia.

Memegang rekod sebagai filem Pixar paling lama berada dalam proses produksi, 'Coco' adalah sebuah filem klasik dari awal sehingga tamat, layak diletakkan sebagai karya terbaik Pixar setakat ini menewaskan filem-filem mereka sebelum ini. Ikuti ulasan dan review kami mengenai filem ini.

Keunikan 'Day of the Dead'

coco diapit bekas ahli keluarganya

'Day of the Dead' adalah salah satu upacara sambutan masyarakat Mexico, di mana ahli keluarga yang masih hidup akan mengenang kembali nenek moyang yang telah meninggal dunia, melalui pelbagai cara seperti menghidangkan makanan, menggantung gambar mereka serta menaburkan bunga marigold sebagai pemandu arah roh kepada kediaman mereka.

Suasana unik yang masih lagi diamalkan sehingga kini dipilih sebagai latar belakang filem ini. Visual pekan kecil Mexico yang kecil dan sempit tetapi meriah dengan kehidupan berkeluarga dan berjiran serta dipenuhi dengan budaya tradisional, membuatkan pekan tersebut tampak hidup.

Filem 'Coco' bermula dengan kisah seorang remaja bernama Miguel yang mahu menyertai pertandingan nyanyian namun seluruh ahli keluarganya menjadi penghalang, ekoran ayah kepada moyang MIguel yang tidak dia kenali, sanggup meninggalkan keluarga sendiri hanya kerana mahu mengejar impian menjadi pemuzik.

Muzik sebagai penghubung cerita

watak miguel memetik gitar dalam coco

Miguel tidak pernah tahu rahsia keluarganya selama ini yang mengharamkan muzik daripada rutin mereka, tetapi itu tidak menghalang beliau menjadi seorang pemuzik dan penyanyi dalam diam. Menjadikan Ernesto de la Cruz, seorang pemuzik dan pelakon legenda sebagai rujukan, Miguel melatih dirinya sebagai pemuzik berpandukan pita-pita rakaman lama Ernesto serta filem Ernesto yang disembunyikannya.

Bagaimanapun, semuanya terbongkar selepas MIguel secara tidak sengaja terpecahkan salah satu gambar moyang keluarganya yang digantung dan mendapati moyangnya yang lari meninggalkan keluarganya, adalah Ernesto yang diidolakannya.

Selepas gitar buatan sendirinya dipecahkan neneknya yang marah, Miguel bertindak nekad mencuri gitar moyangnya yang dipamerkan sekali di kawasan persemadian Ernesto, membuatkan Miguel terkena sumpahan yang menjadikan dia manusia hidup yang termasuk ke alam mati.

Ikatan keluarga yang tidak akan putus

coco filem terbaik pixar setakat ini

Walaupun Miguel adalah watak utama dalam kisah ini, filem ini sebenarnya dijalinkan oleh watak Coco, moyang Miguel yang semakin hari semakin susut kesihatannya.

Tidak lagi mampu melakukan apa-apa dan hanya duduk di kerusi roda, ingatan Coco semakin lama semakin hilang ekoran penyakit alzheimer yang dihadapinya, sehingga menyebabkan dia langsung tidak kenal ahli keluarga yang ada disekelilingnya.

Satu-satunya perkara yang diingat oleh Coco, adalah ayahnya yang lari meninggalkan keluarganya kerana hendak memenuhi impian sebagai pemuzik dan lagu ayahnya, yang kerap dinyanyikan bersama semasa kecil.

Miguel yang terperangkap di alam mati bersama beberapa orang ahli keluarganya yang sudah meninggal, berusaha untuk menemui Ernesto bagi merungkai jawapan berkenaan pengaruh muzik dalam keluarga mereka selama ini, dibantu oleh Hector, hantu baik hati yang inginkan bantuan Miguel untuk menggantung gambarnya di dunia sebenar agar rohnya tidak ditarik balik.

Hanya tinggal memori

miguel dan coco dalam filem animasi terbaik pixar

Tema kekeluargaan dan tradisi menjadi penggerak kepada filem ini. Miguel yang pada awalnya skeptikal tentang tradisi keluarga sendiri banyak mempelajari erti sebenar sesebuah keluarga dan mengapa memori mereka yang telah pergi meninggalkan kita semua, perlu disampaikan dan diingatkan - agar menjadi pengajaran kepada cucu cicit kita.

Kepercayaan untuk terus menghidupkan memori ini yang dipegang masyarakat Mexico membantu menggerakkan filem ini, sedikit demi sedikit sehingga terungkai semua persoalan Miguel selama ini.

Pada akhir filem ini, apa yang pasti memenuhi kotak fikiran penonton pastilah bermacam soalan berkenaan apa legasi yang akan kita tinggalkan selepas kita tiada. Adakah mereka yang kita tinggalkan, akan terus mengingati kita atau kita hanya akan tinggal memori, semakin hari semakin luput ditelan usia anak-anak kita?

Filem-filem Pixar yang berjaya adalah filem yang mampu membuatkan kita terduduk memikirkan mesej sebenar yang hendak disampaikan dan 'Coco' adalah sebuah filem yang sarat dengan mesej, sejak mula hingga tamat.

Harus diingatkan- 'Coco' juga adalah filem Pixar paling emosional setakat ini, jadi kepada penonton, pastikan anda menyediakan sekotak tisu di sebelah anda semasa menontonnya.

p.s - 'Coco' kini boleh ditonton melalui saluran-saluran video on demand, bergantung kepada saluran langganan anda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)