Oleh pada 23 Jul 2022 kategori

Pelakon-pelakon dengan nama besar biasanya mempunyai kemampuan untuk menentukan hala tuju sesuatu kontrak lakonan mereka, baik dalam filem ataupun drama yang memihak kepada mereka.

Bagaimanapun ada juga situasi di mana pelakon terpaksa berpuas hati dengan bayaran ciput, sama ada disebabkan oleh populariti mereka yang lebih rendah ketika itu, kekangan bajet filem ataupun sanggup bekerja atas faktor-faktor tertentu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima pelakon yang menerima bayaran sangat rendah dalam filem, walaupun filem yang mereka lakonkan meletup dan mencecah jutaan ringgit kutipannya.

1. Pelakon komedi 'The Gods Must Be Crazy'

the gods must be crazy

Bagi mereka yang mengikuti filem-filem komedi dekad 1980-an, filem 'The Gods Must Be Crazy' yang menampilkan seorang lelaki bernama Nǃxau ǂToma dari Namibia, yang datang dari suku San.

Seorang petani dan penternak, Toma ketika ditemui mengamalkan cara hidup yang langsung tidak meletakkan kepentingan materialistik. Dia diminta berlakon sebagai watak utama filem tersebut dengan bayaran hanya sekitar USD300 (RM1,335).

Kejayaan filem itu yang sangat bergantung kepada lakonan lucu beliau menghadapi situasi-situasi baru dalam hidupnya, akhirnya menjadi antara filem paling berjaya di Afrika Selatan sebelum mula memasuki pasaran antarabangsa.

Setakat ini 'The Gods Must Be Crazy' sudah mencatat kutipan lebih USD200 juta (sekitar RM891 juta) hasil jualan tiket, pita, VCD dan DVD, dibantu oleh kontroversi berkenaan paparan masyarakat Afrika yang dikatakan kurang adil.

Untuk filem sambungannya, Toma berjaya melakukan rundingan lebih adil - memperolehi sekitar USD500,000 untuk muncul semula.

2. Jon Heder dalam 'Napoleon Dynamite'

jon heder napoleon dynamite

'Napoleon Dynamite' merupakan antara filem yang berstatus kultus dalam budaya popular dunia, menjadi filem yang sering dirujuk sebagai filem paling berjaya walaupun berdepan kekangan bajet yang rendah.

Produksi filem itu yang hanya mempunyai sekitar USD400,000 (RM1.78 juta) untuk keseluruhan filem, memerlukan banyak kaedah kreatif dalam menjimatkan dana dilakukan. Yang terkesan, bayaran kepada pelakon terlibat.

Jon Heder yang pada ketika itu masih lagi baru bertatih dalam lakonan, ditawarkan untuk menjadi watak utama filem tersebut dengan kadar bayaran USD1,000 (RM4,455) dan perlu menjalani sesi penggambaran sekitar 22 hari.

Tidak sampai setahun selepas diterbitkan dalam tahun 2004, 'Napoleon Dynamite' berjaya melakukan kutipan sekitar USD 45 juta memberikan mereka pulangan lebih 100 kali ganda modal. Walaupun menerima bayaran kecil, karier Heder selepas itu melonjak ke tahap lebih tinggi dan menjadi antara bintang komedi Hollywood dekad tersebut.

3. Aktor legenda berlakon secara percuma

christopher lee the wicker man

Tidak ramai yang sanggup bekerja secara percuma dalam sesuatu produksi. Bagaimanapun bagi aktor legenda mendiang Christopher Lee, peluang untuk membantu sebuah produksi merakamkan jalan cerita yang cukup dia sukai tidak dilepaskan.

Kisahnya, watak Lord Summerisle dalam filem klasik 'The Wicker Man' memang digarap dengan Lee sebagai pemainnya.

Namun selepas Lee diberikan skrip filem ini, pasukan produksi secara jujur menerangkan bahawa mereka berdepan kekangan bajet - sudah pasti tidak mampu membayar kadar biasa Lee, yang ketika itu sudah dikenali sebagai nama besar dalam genre filem seram.

Suka dengan skrip filem itu yang disifatkan beliau lain daripada apa yang biasa disajikan kepada penonton, Lee bersetuju untuk memegang watak itu tanpa bayaran.

Kini 'The Wicker Man' dianggap sebagai salah sebuah filem rujukan utama genre seram, membantu mempopularkan banyak festival bertemakan simbol utama filem itu, diterjemahkan ke dalam bentuk novel dan pementasan teater.

4. Dibayar hanya USD3,000 sebelum bergelar pelakon terbaik

hillary swank boys dont cry

Di antara kebanyakan tawaran bernilai rendah yang mengubah hidup seorang pelakon, kisah pelakon handalan Hillary Swank menerima hanya USD3,000 (RM13,370) untuk melakonkan watak utama yang sangat sukar dimainkan dalam filem 'Boys Don't Cry' sering diceritakan sebagai pengorbanan yang cukup berbaloi.

Daripada segi kutipan, filem ini bolehlah dianggap berjaya dengan kutipan sekitar USD20 juta berbanding modal USD2 juta. Bagaimanapun lakonan Swank sebagai seorang individu transgender membolehkan beliau memenangi kategori pelakon wanita terbaik anugerah Academy, yang benar-benar mengubah hidupnya.

Walaupun demikian, kadar bayarannya yang diterima semasa proses produksi filem itu belum memadai untuk beliau dilindungi insurans perubatan di Amerika Syarikat.

Selepas memenangi anugerah pelakon terbaik, Swank menceritakan dia pernah gagal mendapatkan bekalan ubat-ubatan di farmasi - kerana dirinya masih belum layak mendapat perlindungan seperti kumpulan pekerja lain.

5. Sanggup terima gaji minima untuk berlakon dengan pengarah idaman

the wolf of wall street jonah hill

Bagi sesetengah pelakon, peluang untuk bekerja dengan pengarah yang diidamkan adalah satu peluang yang enggan dilepaskan - apatah lagi apabila seseorang ditawarkan berlakon untuk pengarah legenda Martin Scorsese.

Itulah yang bermain difikiran aktor komedi Jonah Hill, selepas hanya ditawarkan amaun minima yang perlu dibayar kepada penggiat seni seperti yang telah ditetapkan Badan Persatuan Pelakon Amerika Syarikat.

Ini kerana semasa sesi pemilihan pelakon, pasukan produser dilaporkan sedang dalam proses menentukan sama ada mahu menawarkan watak kepada Hill atau seorang lagi pelakon tidak dinamakan.

Bagi meningkatkan peluang dia berlakon dalam filem Wolf of Wall Street, Hill bertindak menawarkan dia sebagai pelakon dengan bayaran minima USD60,000 (RM267,350). Angka itu pula belum mengambil kira potongan lain seperti cukai dan komisyen yang perlu dibayar.

Projek itu pula dijadualkan berjalan lebih 7 bulan, memerlukan komitmen cukup tinggi dari Hill. Membariskan Leonardo DiCaprio sebagai watak utama, filem itu mencetuskan kontroversi besar-besaran, bukan saja ekoran adegannya tetapi turut sama berkait dengan skandal 1MDB yang dikatakan diguna bagi mendanai filem tersebut.

Semua itu tidak menghalang Wolf of Wall Street mencatat kutipan USD392 juta berbanding modal USD100 juta.

Pengorbanan Jonah Hill bagaimanapun berhasil - dia yang selama ini lebih dikenali sebagai watak 'si gemuk' dalam filem komedi, dicalonkan untuk kali kedua anugerah pelakon pembantu terbaik anugerah Academy.

Walaupun gagal memenanginya, usaha Hill untuk mengubah karier beliau tampak berjaya dan dia kini juga selesa membawakan watak yang lebih dramatik sifatnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)