Oleh pada 30 Mar 2018 kategori

Filem-filem trilogi kerap dijadikan medium filem berikutan jangka masa tersebut dirasakan cukup, untuk menyampaikan sesebuah cerita panjang dari awal hingga akhir. Triologi pula boleh datang dalam pelbagai bentuk, sama ada ketiga-tiga filem dalam trilogi itu bersambung, bersifat bebas antara satu sama lain atau pun langsung tidak ada hubung kait setiap satu, namun berlaku dalam situasi yang sama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Filem berbentuk trilogi amat digemar pembikin filem ekoran ruang durasi yang cukup dapat digunakan sebaik mungkin dalam memperkembangkan watak, jalan cerita dan skrip namun bukan semua filem berbentuk trilogi berjaya mengekalkan kualitinya daripada filem pertama hingga terakhir.

Oleh kerana itu, kami tidak menyenaraikan trilogi filem The Matrix ekoran kualitinya yang agak compang-camping pada filem kedua dan ketiga, serta beberapa trilogi popular lain yang mungkin anda minati. Kami memilih 5 trilogi terbaik yang berjaya mengekalkan kualitinya dari filem pertama sehinggalah filem terakhir. Berikut adalah 5 trilogi filem terhebat pilihan kami setakat ini.

1. Star Wars

star wars a new hope episode iv original poster 1977

Kami bukan maksudkan trilogi Episod 1 hingga 3. Kami hanya memilih trilogi pertama Star Wars yang memuatkan A New Hope, Empire Strikes Back dan Return of the Jedi yang memperkenalkan kita kepada dunia fantasi hebat, watak-watak ikonik serta teknik pembikinan filem yang belum pernah dibuat mana-mana pihak sebelum itu.

Trilogi pertama Star Wars sekiranya dibandingkan dengan jalan cerita trilogi filem Star Wars lebih baru, pasti agak primitif daripada segi kesan visualnya serta aksi pertarungannya namun Star Wars menjadi batu asas kepada filem-filem sains fiksyen sehingga kini. Jalan ceritanya agak ringkas serta politik dunianya juga tidaklah sekompleks trilogi Episod 1,2 dan 3 namun kesemua filem ini digarap dengan begitu baik penceritaannya, serta memaparkan banyak elemen baru yang menakjubkan.

Trilogi terbaru Star Wars kekal popular bukan hanya kerana filem-filem terdahulunya hanya berharapkan kepada nostalgia semata-mata, Star Wars Episod 4,5 dan 6 adalah siri filem yang konsisten, menarik serta memberikan impak besar kepada dunia.

2. Toy Story

toy story 3 woody bonnie andy

Peminat-peminat filem animasi Toy Story terpaksa menunggu agak lama bagi Pixar menerbitkan penamat sebenar kepada trilogi Toy Story, dengan filem ketiganya hanya keluar hampir 11 tahun selepas filem kedua. Bagaimanapun kebolehan Pixar dalam menjaga kualiti produksi mereka tetap tidak berubah dengan kesemua filem dalam trilogi ini mampu berdiri di atas kaki sendiri, menghiburkan serta mampu membuatkan kita mengalirkan air mata.

Sehingga kini Toy Story menjadi penanda aras kepada studio animasi dunia dalam penceritaan dan penggunaan teknologi. Apa yang menariknya, sekiranya anda menonton ketiga-tiga filem secara berturut-turut, amat jelas penambah baikan yang telah berlaku kepada teknologi penghasilan filem tersebut yang mengubah visual Toy Story menjadi lebih realistik daripada segi pencahayaan dan tekstur dunianya - namun kuasa penceritaan ketiga-tiga filem itu tetap tidak berubah menyajikan tiga filem, yang bukan saja sesuai untuk kanak-kanak, malahan juga dewasa.

3. The Godfather

don corleone bapak mafia itali

Trilogi bertaraf legenda dan menjadi filem yang dialognya kerap diulang-ulang dan digunapakai, membuktikan pengaruh trilogi filem ini kepada masyarakat dunia khasnya peminat-peminat filem. Sebuah adaptasi novel tulisan Mario Puzo yang digarap cantik terjemahannya ke layar perak memartabatkan lagi kedudukan beberapa orang pelakon seperti Al Pacino, Marlon Brando, Robert de Niro dan Diane Keaton, membariskan sebagai nama-nama besar di Hollywood.

Jalan ceritanya yang menceritakan jatuh bangun keluarga Corleone berjaya menarik orang ramai menonton filem sehingga menjadikan filem pertama trilogi ini antara filem paling berjaya tahun terbitannya. Walaupun begitu, harus diakui filem terakhir trilogi ini mendapat kritikan berikutan berlaku beberapa kontroversi melibatkan pemilihan dan keperluan menerbitkannya, namun trilogi tetap dipandang tinggi sehingga mencapai status klasik.

4. Trilogi baru Planet of the Apes

beruk dalam filem planet of the apes

Kami sengaja memilih trilogi ini kerana kami rasakan perlu ada satu trilogi lebih baru diletak dalam senarai ini. Pada mulanya admin sendiri tidak memberikan harapan besar kepada pembaharuan semula filem ini selepas dikecewakan dengan filem sama yang terbit pada tahun 2001. Namun filem Rise of the Planet of the Apes merupakan satu kejutan besar, kerana tema yang ingin disampaikan lebih relevan dengan dunia semasa.

Banyak bergantung kepada lakonan yang digarap dengan bantuan teknologi, monyet-monyet yang menjadi watak dalam trilogi filem ini adalah antara bukti paling jelas kebolehan penggunaan komputer dalam penghasilan watak yang kelihatan benar-benar hidup. Setiap ekspresi yang dipaparkan Caesar, Maurice dan Koba sukar untuk dibezakan garisan fantasi dan realitinya. Trilogi ini cukup berkesan kerana apa yang dipaparkan seperti mampu benar-benar berlaku berikutan kemampuan sains dan teknologi dalam mengubah genetik dan keupayaan sesuatu spesis makhluk.

5. Lord of the Rings

lord of the ring kabus dan bayang bayang

Pengembaraan Frodo untuk memusnahkan cincin milik Sauron akan terus menjadi asas kepada mana-mana filem dalam membina dunia fantasi, sama seperti rujukan asal buku tulisan J.R.R Tolkien ini. Trilogi ini adalah antara kisah fantasi terbaik yang mampu membawa kita masuk ke alam lain ekoran persembahannya yang benar-benar mengkagumkan.

Bagi peminat-peminat setia trilogi ini, menonton semula versi penuh trilogi ini tanpa henti dari mula sehingga habis merupakan salah satu perkara yang perlu dilakukan setiap tahun. Ketiga-tiga filemnya seimbang dari segi kualiti dan kekuatan jalan cerita serta filem keduanya berjaya mengelakkan perangkap kejatuhan kualiti, yang kerap berlaku pada banyak trilogi lain.

Ada dua trilogi filem fantasi, satu filem sains fiksyen, satu filem animasi dan satu filem drama. Kami harap dalam lima ini ada satu yang berjaya menarik perhatian anda. Kami tahu ada banyak lagi trilogi yang tidak disebutkan seperti Back to the Future, Indiana Jones atau Aliens yang turut sama bergelar trilogi klasik - kami akan cuba buat siri lain pula selepas ini.

Kepada mereka yang belum pernah menghayati kelima-lima trilogi yang disenaraikan di atas, apa tunggu lagi? Dapatkan DVD, Blu Ray atau saluran strim filem atas permintaan anda hari ini. Pastikan yang halal, banteras cetak rompak!




Hakcipta iluminasi.com (2017)