Oleh pada 22 Nov 2023 kategori

Ilham boleh datang dalam pelbagai jenis bentuk. Ada yang dibangunkan dalam masa yang panjang, ada yang datang spontan, ada yang diperolehi secara tiba-tiba. 

Begitulah juga dengan idea dalam pembikinan filem. Ilham atau idea untuk menghasilkan jalan cerita sesebuah filem majoritinya digarap daripada cetusan idea yang dirasakan. Namun untuk menghasilkan sebuah filem yang berjaya - tak semestinya memerlukan idea yang bernas. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kadangkala idea bersifat tak masuk akal pun mampu digunapakai untuk menghasilkan filem yang diterima baik penonton. Berikut adalah lima idea bangang yang telah berjaya memulakan siri filem terkenal di seluruh dunia.

1. Pirates of the Caribbean

pirates of the caribbean taman tema

Bagi peminat aktor Johnny Depp, nama beliau kini sinonim dengan francais filem terkenal 'Pirates of the Caribbean'. Lakonannya sebagai Kapten Jack Sparrow, kapten kapal dan lanun dalam siri filem itu merupakan antara watak yang layak dikatakan ikonik. 

Persoalannya, bagaimana filem yang kini bergelar francais gergasi ini bermula? Sebagai sebuah permainan taman tema di Disneyland. 

Asalnya idea taman tema ini yang dibangunkan di bawah seliaan Walt Disney sendiri sekitar tahun 1948, adalah untuk mencipta tarikan di Disneyland yang menggabungkan kisah legenda bertemakan lanun - sebelum Disneyland pertama dibuka lagi.

Mula dibangunkan hanya sebagai sebuah tarikan berbentuk 'muzium lanun', projek ini ditangguh sehinggalah pada dekad 1960, bilamana teknologi untuk menghasilkan mesin yang mampu menampung dan menggerakkan pengunjung dalam skala lebih besar terhasil.

Disney akhirnya memilih untuk membangunkan sebuah tarikan berbentuk bot yang membawakan jalan cerita bertema lanun pada tahun 1967.

Hanya pada tahun 2000, Disney mengajukan idea untuk menukarkan tarikan taman tema mereka kepada bentuk filem dan berjaya menerbitkan filem pertama Pirates of the Caribbean : The Curse of the Black Pearl pada tahun 2003, memperkenalkan dunia lanun ala Disney seterusnya memahatkan nama Johnny Depp sebagai lanun paling kelakar dalam filem.

2. Snakes on a Plane

snakes on a plane filem idea

Walaupun aktor terkenal Samual L. Jackson lebih dikenali sebagai pemain watak dalam filem adiwira Marvel atau francais filem Star Wars, salah satu filem beliau yang sinonim dengan beliau adalah 'Snakes on a Plane.'

Filem ini bermula pada asalnya sebagai sebuah imaginasi yang bermain diminda penulis filem tersebut David Dalessandro. Semasa dalam penerbangan dan lampu kabin dipadamkan, Dalessandro mula memikirkan apa akan berlaku seandainya peristiwa atau insiden terjadi dalam kabin gelap itu.

Bagaimanapun dia tidak menemui jawapan atau sebarang hubungkait dengan ular, dalam imaginasi tersebut. Hanya selepas Dalessandro membaca sebuah artikel berkenaan satu spesis ular berbisa dari Indonesia, yang 'menumpang' sebuah kapal terbang semasa zaman Perang Dunia kedua berlangsung - barulah idea itu menemui pasangannya.

Dalessandro menggabungkan idea apa akan berlaku sekiranya haiwan berbisa itu terlepas dalam sebuah pesawat dalam penerbangan, tamat menulis lakon layarnya pada tahun 1992 dan berdepan lebih 30 kali tolakan daripada studio sebelum akhirnya New Line Cinema membeli idea itu. 

3. Jumanji

filem jumanji idea

Sekiranya Pirates of the Caribbean bermula sebagai sebuah taman tema, francais filem 'Jumanji' pula bermula hanya sebagai sebuah buku kanak-kanak. 

'Jumanji' adalah sebuah buku cerita fantasi kanak-kanak terbitan tahun 1981, hasil karangan seorang penulis Amerika Syarikat bernama Chris Van Allsburg.

Menceritakan tentang dua orang kanak-kanak bernama Judy dan Peter yang menemui sebuah papan permainan bernama 'Jumanji' bertemakan safari dan haiwan liar, Judy dan Peter perlu berdepan detik-detik mencemaskan selepas semua yang terkandung dalam papan permainan itu menjelma dalam alam nyata.

Buku cerita kanak-kanak ini akhirnya dipilih untuk diadaptasi sebagai sebuah filem dengan judul sama, menampilkan mendiang Robin Williams dan Kirsten Dunst sebagai pelakon watak.

Walaupun dikritik pengkritik filem, 'Jumanji' mendapat sambutan hangat penonton, memulakan siri adaptasi animasi selama 3 musim.

Pada tahun 2005, buku kedua Van Allsburg berjudul Zathura juga diadaptasi kepada filem, menampilkan Josh Hutcherson (The Hungers Games), Kristen Stewart (Twilight) dan Tim Robbins (The Shawshank Redemption) sebagai pelakon utama, dibawah arahan Jon Favreau (Iron Man). 

Francais filem ini mendapat nafas baru selepas disambung semula, dengan menampilkan muka-muka lama serta wajah-wajah baru dengan judul 'Jumanji : Welcome to the Jungle', menjadi filem dengan kutipan kelima tertinggi pasaran antarabangsa dalam tahun 2017.

4. The Lego Movie

lego movie idea mudah

Pada tahun 2008, Dan Lin - seorang produser yang baru mula hendak bertapak di Hollywood memberanikan diri hadir ke Denmark atau lebih tepat lagi kilang syarikat LEGO di sana bagi mempersembahkan ideanya. 

Lin dibawa melawat kilang dan muzium syarikat itu, seterusnya diberikan ruang menyampaikan ideanya. Bagaimanapun, idea itu kurang diterima eksekutif syarikat LEGO yang merasakan jenama tersebut tidak memerlukan publisiti hasil daripada pembikinan sebuah filem berkaitan produk mereka.

Lin sejak kecil mempunyai minat berkaitan LEGO. Dia merasakan kebolehgunaan LEGO yang mudah diguna dalam membina apa saja serta merealisasikan imaginasi kanak-kanak sangat sesuai untuk diterjemah ke dalam bentuk filem. Jadi Dan Lin tidak berputus asa.

Dia melantik dua orang adik beradik penulis bernama Kevin dan Dan Hageman untuk membangunkan sebuah jalan cerita berkaitan LEGO, dengan menjadikan identiti LEGO yang memang tidak ada sebarang latar belakang sebagai fokus utama.

Kisah berkenaan seorang lelaki LEGO tidak berdarjat yang akhirnya menjadi watak penting menyelamatkan dunia LEGO menjadi tulang belakang jalan cerita. LEGO akhirnya bersetuju untuk membenarkan projek itu diteruskan dan Lin berjaya mendapatkan suntikan bajet daripada studio Warner Bros. untuk membangunkan imaginasinya.

5. Fast and Furious

fast and furious idea asal

Sekiranya anda mengikuti francais filem Fast and Furious sejak awal kemunculannya, sehinggalah sekarang - anda pasti dah lali dengan perubahannya.

Bermula sebagai sebuah cerita berkait kaki lumba atas jalan raya kini sudah menjadi filem berkenaan 'manusia-manusia bionik' yang mampu melakukan aksi gila, di bumi dan diangkasa. Jangan lupa dengan elemen kekeluargaan yang ingin diletakkan sebagai tunjang penceritaannya.

Tiada siapa sangka filem ini boleh berubah hala sebegitu rupa. Ini kerana filem pertama The Fast and the Furious bermula sebagai sebuah artikel majalah.

Kenneth Li adalah seorang jurnalis yang terjebak ke dalam dunia perlumbaan haram serta sindiket curi kereta. Selepas lama melakukan penyiasatan, Li menerbitkan pengalamannya dalam kumpulan itu, menerusi artikel berjudul 'Race X' terbitan tahun 1998 dalam majalah berjudul Vibe. 

Artikel itu membuka mata banyak pihak berkenaan sisi gelap dunia perlumbaan anak muda serta kegiatan jahat mereka.

Selepas dihubungi beberapa pihak yang berminat untuk menukarkan artikel itu kepada bentuk filem, Li akhirnya bersetuju menerima tawaran enam angka untuk menjual idea yang tercetus daripada artikel tulisannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)