Oleh pada 07 Jul 2022 kategori

Filem bertemakan epik yang membawakan tema kepahlawanan, sama ada berdasarkan fakta sejarah mahupun mitos dan legenda, mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Ini kerana filem epik biasanya membawakan penceritaan yang luas rangkanya, mengadunkan adegan yang hanya dapat kita baca serta kisah yang boleh dikatakan sangat sesuai untuk tayangan besar pemecah panggung.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun ekoran kerangka penceritaan yang gergasi, negara kita jarang dapat menghasilkan filem epik menyebabkan peminat kita dahaga filem dalam genre sebegini.

Tidak banyak pilihan, sekurang-kurangnya kita tetap ada senarai barisan filem epik yang boleh kita banggakan. Berikut adalah lima filem epik Malaysia terbaik pada pandangan kami. Anda ada filem kesukaan anda sendiri? Nyatakan dalam ruangan komen kami.

1. Puteri Gunung Ledang

m nasir hang tuah

Selepas diumum bakal diterbitkan, 'Puteri Gunung Ledang' menjadi buah mulut peminat filem tanahair kerana skop yang cuba dibawa dalam filem tersebut sangat besar cita-citanya.

Apatah lagi filem yang lebih dikenali dengan singkatan PGL bakal memvisualisasikankan salah satu hikayat popular masyarakat kita, berkenaan kisah hulubalang Melaka, Laksamana Hang Tuah dalam tugasannya meminang Puteri Gunung Ledang.

Skrip PGL mengolah banyak perkara dalam kisah asal, memperhalusi dan menokok tambah banyak elemen yang diceritakan secara tipis dalam rekod tulisan karya Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah - khasnya berkaitan tunjang filem ini iaitu hubungan cinta di antara Puteri Gunung Ledang dengan Laksamana handalan tersebut.

Dengan modal RM16.6 juta, PGL adalah filem paling mahal dalam sejarah perfileman negara kita.  Malangnya kutipan PGL yang hanya setakat bawah RM3 juta gagal untuk mengembalikan modal yang telah dibelanjakan.

Walaupun begitu sebagai sebuah filem, PGL diterima baik pengkritik yang menyifatkan filem epik tersebut sebagai sebuah karya bertema sejarah, yang membuka landasan kepada penerbitan lebih banyak karya filem bertema serupa.

Kami agak berbelah bahagi dalam pandangan kami tentang filem ini.

Nak kata 'best' sangat pun tak juga, nak kata bosan pun tak. Ada bahagian yang meleret sehingga boleh dikatakan syok sendiri. Ada juga adegan yang sangat seronok ditonton. Walaupun begitu impak filem ini cukup dirasai.

Imej M.Nasir yang memainkan watak Hang Tuah kini sudah menjadi de facto standard gambaran 'Hang Tuah' dalam mana-mana format visual yang ada. Sebut Hang Tuah saja, terus terbayang M. Nasir berambut panjang bersilat.

Filem ini juga terus segar dijadikan topik perbualan dan perbandingan, seandainya filem-filem epik dijadikan bahan perbincangan walaupun realitinya filem ini gagal mendapat sambutan.

2. Hikayat Merong Mahawangsa

merongmahawangsa11

Menelan belanja lebih RM8 juta untuk produksinya, filem epik 'Hikayat Merong Mahawangsa' walaupun bergelar filem terbaik Malaysia bagi tahun 2011, juga gagal balik modal daripada aspek kutipannya yang hanya mencecah RM6.5 juta.

Dibuat bukan sahaja untuk pasaran tempatan, bahkan turut dipasarkan dalam pasaran antarabangsa - filem ini mendapat kritikan dalam pelbagai aspek khasnya pemilihan pelakon, kualiti skrip yang agak kacau-bilau dan ketepatan sisi sejarahnya.

Namun harus kita ingati, filem ini dibuat berdasarkan kepada kisah legenda berkenaan Merong Mahawangsa yang sukar untuk diketahui yang mana fakta sejarah dan yang mana sekadar mitos rakyat. 

Kita semua sudah sedia maklum Merong Mahawangsa merupakan seorang lelaki yang tidak diketahui asalnya, menetap di kawasan jajahan empayar Rom sebelum berhijrah ke China atas urusan perniagaan.

Selepas beberapa insiden yang digambarkan dengan agak berkesan dalam filem ini, Merong akhirnya hadir ke Lembah Bujang menubuhkan kerajaan Langkasuka - menjadi raja pertama kerajaan tersebut yang akhirnya menjadi asas pembentukan kerajaan Islam Kedah yang kekal masih ada. 

Jika anda sudah menonton filem ini, mungkin anda menyedari penamat filem ini agak berbeza berbanding kisah sadurannya.

Ekoran daripada percampuran elemen yang tidak jelas mana bukan fiksyen dan fiksyen, kesahihan 'Hikayat Merong Mahawangsa' seringkali diperdebatkan - walaupun ada pihak mati-matian percaya salasilah negeri Kedah sama seperti yang diceritakan dalam hikayat tersebut.

Penulis secara peribadi berpandangan terlalu banyak elemen fiksyen termasuklah catatan sejarah yang ada, kerana penceritaannya membesarkan elemen-elemen fantasi fantasi.

Walaupun dibantu elemen-elemen fantasi ini, sayangnya filem ini secara kendiri agak terumbang-ambing hasilnya, terus kekal dinilai sebagai satu cubaan yang baik pasukan produksinya tetapi gagal untuk menjadi penanda aras baharu filem epik tempatan negara kita.

3. Leftenan Adnan

leftenan adnan filem

Filem 'Leftenan Adnan' menjadi antara kajian watak dalam filem yang berkesan. Industri filem kita jarang mahu mengambil pendekatan serupa dalam penghasilan karya.

'Leftenan Adnan' memaparkan sejarah seorang anak muda bernama Adnan bin Saidi, warga Selangor dari Kampung Sungai Ramal, Kajang yang sanggup berkorban nyawa berkhidmat sebagai seorang askar Melayu.

Dia memilih kerjaya tersebut walaupun tidak mendapat restu ibu bapanya serta meninggalkan peluang kerjaya sebagai seorang guru yang lebih stabil dan selamat, tidak perlu bertarung nyawa.

Ekoran prestasi baik, Adnan dikenali sebagai rekrut terbaik dalam kumpulannya, sebelum dilantik ke pangkat sarjan pada tahun 1936 dan dinaikkan kepada Leftenan mengetuai platun ke 7 dalam Rejimen C Askar Melayu.

Dia dipindahkan ke Singapura pada penghujung tahun 1941, membawa bersama keluarganya. Namun jodoh keluarga itu untuk terus menetap disitu tidak lama selepas perang dunia tercetus. Bimbang pencerobohan tentera Jepun ke Singapura, memaksa Adnan menghantar isteri dan dua anak lelakinya pulang ke Sungai Ramal.

Leftenan Adnan dan Rejimen C ditugaskan mengawal beberapa lokasi strategik yang menjadi benteng terakhir pertahanan British di SIngapura, yang merangkumi petugas penyelia hospital dan barak simpanan kelengkapan tentera.

Ditekan teruk serangan Jepun, akhirnya Rejimen C terpaksa berundur ke sebuah kilang yang terletak di Bukit Candu. Dikepung tanpa jalan keluar, Adnan tumpas berjaya ditangkap hidup-hidup sebelum dikarungkan dengan guni, digantungkan kaki di atas dan ditikam dengan bayonet oleh askar Jepun. 

Ini sejarah sebenarnya. Nasib baiklah adegan ini tidak digambarkan dengan terang dalam filem.

Kini Allahyarham Adnan bin Saidi diangkat sebagai wira dua negara, Malaysia dan Singapura. Kisah hidup Adnan dalam filem 'Leftenan Adnan' mendapat sambutan baik penonton, memenangi kategori filem terbaik negara selain memberikan pengarahnya Aziz M. Osman trofi pengarah terbaik.

Usaha mengemaskini filem epik ini berjaya dilangsungkan pada bulan Ogos tahun 2020. 'Leftenan Adnan' berjaya ditambahbaik resolusinya dan ditayangkan kali pertama dalam format resolusi tinggi melalui rangkaian Astro First.

4. Bukit Kepong

filem epik bukit kepong

Menjadi filem rujukan genre epik dan patriotik, Bukit Kepong adalah sebuah filem yang berjaya memikul tanggungjawab menjulang identiti bangsa serta semangat kecintaan pada masyarakat dan tanahair - yang diharapkan dalam setiap filem bertemakan kenegaraan. 

Filem 'Bukit Kepong' garapan Allahyarham Jins Shamsuddin menceritakan semula detik-detik terakhir Sarjan Jamil Mohd Shah, ketua kepada Balai Polis Bukit Kepong dan anak-anak buahnya seramai 12 orang berhadapan serangan komunis.

Bukit Kepong pada ketika peristiwa merupakan sebuah kampung terpencil, terletak dalam derah Muar, Johor dan hanya boleh diakses melalui jalan sungai, memakan masa selama 2 jam perjalanan.

Kedudukan yang jauh dari pembangunan ini menyebabkan balai ini menjadi sasaran mudah komunis. Pada jam 5 pagi tanggal 23 Februari 1950, sekumpulan 185 orang komunis bertindak mengepung balai tersebut.

Pertempuran lebih 4 jam sepasukan kecil pegawai polis yang turut dibantu beberapa orang isteri pegawai berkhidmat, berakhir kepada kekalahan mutlak pasukan polis. 8 orang pegawai polis terkorban dan 4 lagi cedera parah dalam insiden tersebut.

'Bukit Kepong' memenangi anugerah filem terbaik Festival Filem Malaysia, menjadi filem termahal ketika itu dalam sejarah pembikinan filem kita dengan bajet RM1.3 juta.

Usaha untuk menambahbaik resolusi visual dan audio filem tersebut telah dijayakan, dilancarkan dalam format HD pada penghujung tahun 2015 dilakukan sendiri Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin.

5. Hang Tuah

p ramlee hang tuah

Cubaan terawal penerbitan filem tempatan untuk menghasilkan filem epik, sudah tentulah tidak boleh lari daripada melibatkan nama paling besar dalam industri perfileman kita iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

'Hang Tuah' menampilkan P. Ramlee sebagai teraju utama memainkan watak Tuah, bergandingan dengan Ahmad Mahmud sebagai sahabat/seteru utamanya Hang Jebat dan primadona jelita Saadiah; diterbitkan dengan belanja RM1 juta (satu kos yang sangat tinggi ketika itu) berdasarkan kisah sejarah 5 kumpulan pahlawan bersaudara yang terkenal di Melaka satu masa dulu.

Filem arahan pengarah dari India, Phani Majumdar ini juga mencatat sejarah menjadi filem tempatan pertama yang menggunakan format filem berwarna untuk tayangan.

Kontroversi berkenaan filem ini terus kedengaran sehingga ke hari ini, khasnya berkaitan ketepatan jalan cerita yang diragui kesahihannya daripada aspek sejarah.

Ada pihak mendakwa hikayat yang digunapakai untuk menghasilkan filem ini tidak benar, telah diseleweng dan telah ditokok tambah bagi merosakkan imej tokoh-tokoh sejarah yang terbabit.

Perdebatan ini terus disuarakan sehinggakan ada persatuan kaji sejarah tempatan mendesak tayangan filem ini dihentikan, agar tidak terus dapat membodohkan penonton dengan sejarah yang direka-reka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)