watak sebenar

Anda mungkin berfikir bahawa kebanyakan watak filem atau animasi yang terkenal adalah sebahagian daripada imaginasi pencipta atau penulis cerita itu, akan tetapi hal itu tidaklah begitu tepat.

Kebanyakan watak popular di dalam filem dan animasi dicipta berdasarkan manusia sebenar dan wujud dalam kehidupan nyata. Kebanyakan dari mereka ini menjadi sumber inspirasi penulis atau pengarah cerita itu. Mari kenali sebahagian daripada mereka.

1. John Nettleship: Severus Snape

john nettleship severus snape 163

Professor Severus Snape ialah watak rekaan J.K. Rowlings di dalam siri Harry Potter. Dia adalah seorang ahli sihir yang hebat, berwatak dingin dan sinis. Dia juga merupakan Potions Master yang banyak mengajarkan Harry Potter semasa belajar di Hogwarts School.

J.K Rowling dikatakan telah mencipta watak Severus Snape berdasarkan John Netteship, guru kimia yang mengajarnya ketika berada di Wyedean School. Apabila Netteship mengetahui tentang hal itu, dia berkata "Saya agak terkejut. Saya tahu saya garang tapi saya tidaklah seteruk dia (Snape)." Netteship meninggal pada usia 72 tahun dan tinggal di UK.

2. Ed Gein: Norman Bates, Buffalo Bill, Leatherface

ed gein

Norman Bates (Psycho), Buffalo Bill (The Silence of the Lambs), dan Leatherface (The Texas Chainsaw Massacre) adalah antara pembunuh bersiri yang dipopularkan di dalam filem. Malangnya mereka ini sebenarnya berdasarkan watak seorang lelaki sebenar bernama Ed Gein.

Dia juga yang dikenali sebagai "The Butcher of Plainfield" dan merupakan salah sorang pembunuh bersiri yang menggemparkan Amerika. Tidak setakat itu sahaja, dia juga mempunyai masalah mental apabila pihak polis membongkar kegiatannya mencuri mayat dari kubur untuk disimpan sebagai piala.

3. Hiram Bingham III: Indiana Jones

hiram bingham iii indiana jones

Indiana Jones adalah watak protagonis yang dicipta oleh George Lucas di dalam siri filem Indiana Jones. Ia diambil sempena seorang lagi watak wira di dalam filem bersiri pada tahun 1930-an. Akan tetapi kedua-dua watak filem yang seakan sama itu berdasarkan watak seorang penjelajah bernama Hiram Bingham III.

Dia juga seorang ahli akademik dan ahli politik Amerika yang tinggal di Honolulu, Hawaii. Dia berjaya menemui ibu kota Inca purba iaitu Machu Pichu pada tahun 1911 dengan bantuan petani tempatan. Dia kemudiannya dilantik sebagai Senator di Connecticut dan meninggal pada tahun 1956 di usia 81 tahun.

4. Palle Huld: Tintin

palle huld tintin 428

Tintin adalah watak animasi di dalam 24 komik bersiri "The Adventures of Tintin" yang dihasilkan oleh Georges Remi, seorang kartunis Belgium. Siri komik itu merupakan antara yang paling popular di Eropah pada kurun ke-20.

Watak utama komik itu iaitu Tintin, ialah seorang wartawan Belgium yang berani dan ditemani oleh anjingnya yang setia, Snowy. Komik ini telah diterbitkan di dalam lebih 70 bahasa dan terjual lebih 200 juta salinan.

Watak Tintin sebenarnya diambil dari Palle Huld, iaitu seorang pelakon dan penulis Denmark yang muncul di dalam lebih 40 buah filem sejak tahun 1933. Pada usianya 15 tahun dia memenangi pertandingan di dalam akhbar Denmark yang menawarkan hadiah untuk mengelilingi dunia selama 44 hari seorang diri. Apabila pulang dia disambut oleh lebih 20,000 orang di Copenhagen. 

5. John Gray: Dorian Gray

john gray dorian gray 705

The Picture of Dorian Gray ialah sebuah novel oleh penulis British terkenal iaitu Oscar Wilde. Dorian Gray ialah seorang lelaki yang mementingkan kecantikan dan risau jika kecantikan yang dimillikinya akan hilang. Jadi dia telah membuat perjanjian untuk menjual rohnya dan meminta agar potret dirinya yang akan menjadi tua bukan tubuh fizikalnya.

Permintaan itu dikabulkan dan Dorian meneruskan kehidupannya yang gemar bersuka ria dengan sentiasa kelihatan muda dan segak. Akan tetapi potretnya yang menjadi tua dan menanggung segala dosanya.Dikatakan watak Dorian Gray ini diinspirasikan oleh John Gray, seorang penulis puisi Inggeris yang pernah menjalinkan hubungan dengan Oscar Wilde. Namun John Gray tetap menafikan bahawa dia bukanlah inspirasi watak Dorian Gray.

6. Forest Yeo-Thomas: James Bond

forest yeo thomas james bond

Watak James Bond ialah seorang ajen perisik Britsh M16 yang ditulis oleh Ian Fleming pada tahun 1953. Sebanyak 12 siri novel James Bond telah diterbitkan namun ia mula menjadi terkenal di seluruh dunia apabila diadaptasikan ke dalam filem.  

Semasa Ian Fleming bertugas dengan kerajaan British di bahagian risikan pada Perang Dunia ke-2, dia telah menemui pelbagai wira perang dan salah seorangnya ialah Forest Frederick Edward atau dikenali sebagai Forest Yeo-Thomas. Kerana keberanian Yeo-Thomas sebagai perisik di dalam beberapa operasi, dia telah menjadi ilham kepada Fleming untuk menulis novel James Bond.

7. Helen Kane: Betty Boop

helen kane

Helen Kane ialah seorang penyanyi Amerika yang terkenal pada tahun 1920-an. Dia pertama kali membuat persembahan di New York Palace pada tahun 1921 dan juga pernah menyanyi bersama kumpulan terkenal Three X Sister.

Manakala Betty Boop pula ialah watak animasi kartun yang dicipta oleh Max Fleischer dengan bantuan animator Grim Natwick. Betty Boop pertama kali muncul di televisyen ialah pada 9 Ogos 1930 dan menjadi begitu terkenal hanya beberapa tahun selepas itu.

Pada tahun 1932, Helen Kane telah memfailkan saman kerana Betty Boop adalah watak yang diciplak darinya. Akan tetapi kesnya digugurkan kerana tidak mempunyai asas yang cukup, namun begitu ramai masih percaya Kane adalah inspirasi kepada Betty Boop 

8. Peggy Lee: Miss Piggy

peggy lee

Peggy Lee yang nama sebenarnya ialah Norma Deloris Egstrom, seorang penyanyi jazz, penulis dan pelakon Amerika. Kariernya bertahan sehingga 6 dekat lamanya. Dia telah mencipta satu persona hebat yang membuatkan dia begitu popular sehingga menjadi sumber inspirasi kepada salah satu watak di dalam "The Muppet Show" iaitu Miss Piggy.

Rancangan patung bercakap itu mula membuat penampilan di kaca tv pada 1976. Miss Piggy yang pada asalnya diberi nama Miss Piggy Lee, mempunyai personaliti seorang diva dan seringkali menggunakan perkataan Perancis di dalam percakapannya. Gaya ini ditiru daripada persona penyanyi Peggy Lee. 

9. Alice Liddell: Alice in Wonderland

alice liddell

Alice Liddell merupakan salah seorang subjek fotografi Lewis Carroll dan juga anak kepada kawan baiknya iaitu Henry Liddell. Lewis Carroll adalah nama pena kepada penulis novel "Alice's Adventures in Wonderland" iaitu Charles Lutwidge Dodgson.

Pada suatu hari Charles bersama beberapa orang rakannya menaiki bot daru Oxford ke pekan berdekatan iaitu Godstow. Antara rakannya yang ikut bersama ialah Reverend Robinson Duckworth, Harry Liddell dan 3 orang anak gadisnya. Mereka berhenti di tepi tebing untuk menikmati minuman teh.

Kemudian Alice Liddell meminta agar Charles menceritakan kisah yang menarik kepada mereka 3 beradik sebagai hiburan maka bermulalah kisah penuh imaginasi yang popular ini dan Alice dijadikan watak utama di dalamnya.

10. Frank 'Rocky' Fiegel: Popeye

franky fiegel popeye

Popeye merupakan salah satu watak kartun yang begitu popular suatu masa dahulu dan mungkin telah menginspirasikan kanak-kanak di seluruh dunia untuk memakan sayur bayam. Pencipta watak Popeye ini iaitu Elzie Crisler Segar mengambil inspirasi dari seorang kelasi terkenal di kampung halamannya iaitu Franky 'Rocky' Fiegel.

Bukan setakat itu sahaja malah kekasih Popeye iaitu Olive Oyl juga berdasarkan rakan Segar iaitu pemilik kedai bernama Dora Pascal. Watak Wimpy pula diambil dari William "Windy Bill" Schechert, seorang pemilik teater opera dan peminat burger sejati yang juga rakan Segar.

Rujukan:

1. ranker

2. orrec


tags : , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)