Oleh pada 07 Dec 2017 kategori

thor ragnarok filem teruk

Ramai peminat filem pasti teruja dengan trailer serta teaser yang mempromosikan filem 'Thor : Ragnarok' pada awalnya.

Selepas filem pertama 'Thor' yang biasa-biasa saja dan filem 'Thor : The Dark World' yang entah apa-apa jalan ceritanya, filem 'Thor : Ragnarok' atau aku ringkaskan jadi 'Ragnarok' sahaja, diharapkan dapat menjadi titik tolak baru kepada francais solo watak Thor lakonan Chris Hemsworth ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi mereka yang mengikut promosi dari awal, kita sudah dapat melihat ada penambahan elemen yang telah berjaya dipaparkan dalam filem 'Guardians of the Galaxy', menjadikan filem ini nampak lebih santai dan kurang serius berbanding dua filem awalnya.

Oleh kerana filem ini masih lagi ditayangkan di pawagam, jangan teruskan bacaan andai anda belum tengok atau sedang merancang untuk menontonnya.

THOR YANG KELAKAR TERLEBIH-LEBIH

watak thor

Pada pandangan aku - filem 'Thor : Ragnarok' ini teruk sekali.

Menghiburkan, tetapi teruk sekali. Jika matlamat utama sesebuah filem adalah sekadar untuk menghiburkan, filem ini sangat berjaya tetapi apabila dibandingkan dengan filem-filem lain dalam Marvel Cinematic Universe (MCU), terpapar benar ketandusan idea dari pihak penerbit untuk mengangkat semula kisah Thor supaya lebih setaraf dengan kisah-kisah solo Captain America atau paling tidak watak Iron Man.

Teruknya bukan kerana filem ini tidak berkualiti. Filem ini berkualiti tetapi hiburan semata-mata. Semua perkara hendak dikomedikan dan dijadikan bahan lawak, dengan isu sama juga muncul dalam filem 'Guardians of the Galaxy Vol 2,' di mana akan ada satu tahap di mana kita bosan hendak ketawa. Terutamanya watak Drax kerap kali kelihatan sengaja gelak besar dalam semua situasi yang dibuat-buat. Sukar untuk menerima sesebuah filem yang meletakkan wataknya dalam situasi serius tetapi wataknya boleh berjenaka sepanjang filem.

KESAN PENGARUH WATAK 'LOKI'

loki dalam thor ragnarok

Filem 'Thor' pada pandangan aku, mempunyai masalah sulit bila watak penjahat Loki lakonan Tom Hiddlestone mempunyai impak yang lebih besar pada penonton, berbanding Thor sendiri.

Perkara ini tidak berlaku dalam mana-mana filem lain, sehinggakan banyak pendapat peminat filem bersetuju, kebanyakan penjahat dalam MCU adalah watak pakai buang. JIka kita buat senarai - Iron Monger, Red Skull, Whiplash, Malekith, Yellowjacket, Kaecillius, Ego dan Ronan the Accuser, sangat-sangat mengecewakan dalam filem dan kebanyakannya tidak mempunyai karisma sehebat Loki. Sehinggakan peminat filem MCU mahu watak Loki terus menjadi antara watak terpenting dalam MCU.

Dibandingkan dengan watak Thor yang agak baik, berhati mulia dan anak abah, Loki tampak lebih menyerlah. Thor kelihatan agak satu dimensi jika dibandingkan dengan Loki yang sukar dijangka apa tindakan dan niat beliau.

Perbandingan di antara watak Loki dengan watak Magneto dalam siri filem X-Men adalah perbandingan yang lebih tepat, namun Magneto mempunyai lawan yang setara dalam Professor X, sementara Thor pula bukanlah Professor X.

Mungkin atas sebab itulah pihak penerbit cuba menjadikan watak Thor ini lebih bersifat kemanusiaan, dengan meletakkan dia dalam situasi-situasi yang membuatkan dia tampak lebih manusia. Filem pendek berkenaan apa yang Thor lakukan semasa watak-watak lain berperang sesama mereka ketika Civil War adalah satu usaha yang baik, namun Thor masih dilihat sebagai Tuhan orang Asgard yang lengkap dan tidak punya banyak kelemahan.

KETAWA DAN KETAWA LAGI

thor ditangkap syaitan surtur

Lihat saja adegan pembukaan filem ini, apabila Thor yang ketika itu tertangkap, dengan mudah menentang syaitan api Surtur dan pengikut-pengikutnya yang ramai, diiringi muzik yang rancak. Tidak lama selepas itu, Thor berjaya mendapatkan mahkota Surtur untuk dijadikan simpanan di bilik kebal Asgard dan Thor beranggapan, Ragnarok sudah dihentikan.

Pulangnya Thor ke Asgard, disajikan dengan persembahan teater oleh rakyat Asgard menerusi parodi-parodi diri mereka sendiri dalam teater tersebut gagal membuatkan aku tertawa.

Apabila ramai memuji filem 'Ragnarok' ini membawa sesuatu yang baru pada kisah Thor selepas dua filem yang biasa-biasa saja, aku mempunyai harapan tinggi tetapi tak sangka aku akan menonton 'Guardian of the Galaxy Vol.3.' Apa yang tinggal hanyalah satu pertarungan tarian di antara Thor dan mana-mana penjahat utama untuk menyempurnakan filem-filem Thor sebagai filem komedi selepas ini.

THOR VS WONDER WOMAN

thor dengan wonder woman

Perbandingan dengan filem adiwira keluaran DC tidak dapat dielakkan. Filem 'Batman vs Superman' dikritik kerana terlalu serius, sementara 'Justice League' pula dilihat masih banyak ruang perlu diperhalusi, ekoran berlakunya isu-isu serta insiden yang menghalang kelancaran produksinya. Kekuatan wataknya terutama pada watak Wonder Woman yang kini sudah menjadi watak utama dalam dua filem, sedikit sebanyak memaksa aku melihat watak Thor dan Wonder Woman dalam konteks yang sama.

Kedua-duanya datang daripada latar belakang yang hampir serupa, mempunyai kuasa yang hampir serupa serta cuba belajar memanusiakan diri di kalangan manusia biasa. Namun watak Wonder Woman dilihat lebih menonjol dalam filem kerana perhatian serta fokus pembangunan watak yang lebih baik telah diberikan oleh DC pada Wonder Woman, berbanding Marvel pada watak Thor.

Thor kelihatan sukar untuk keluar memecahkan kepompong yang mengurungkan wataknya. Wataknya dilihat tidak mampu memikul sesebuah filem keseorangan kerana dia terlalu sempurna. Mungkin atas sebab itulah pihak Marvel sentiasa meletakkan Thor bersama Loki sebagai adik/sahabat karib/lawan dan juga Bruce Banner/Hulk dalam 'Ragnarok' bagi mengimbangi filem itu.

Watak Wolverine dalam filem X-Men juga mengalami masalah yang hampir serupa di mana kesemua filem solonya dilihat lemah. Wolverine asalnya hanyalah watak satu dimensi yang hanya tahu marah dan mengamuk kerana kisah sejarah tubuhnya dijadikan bahan ujikaji, cuba diterapkan sebagai filem realistik. Marvel serta Sony akhirnya menjumpai formulanya, menjadikan filem Wolverine lebih berpijak di bumi nyata, diberikan beban yang berat ditanggung oleh wataknya - lalu melahirkan "Logan", antara filem terbaik tahun 2017.

APA ARAH TUJU THOR?

poster filem thor

Aku menantikan juga ke arah mana watak Thor akan dipacu oleh Marvel? Adakah dia akan kekal sebagai seorang adiwira yang terus mentertawakan nasibnya dalam mana-mana situasi serta terpaksa terus bergantung dengan karisma Loki sebagai pengimbal balik, atau diberikan satu lagi kisah yang mirip dengan 'Logan' yang membawa kita menyelami watak Thor menerusi pandangan lebih realiti.

'Thor' pertama terlalu keras cuba menjadi filem bangsawan. 'Thor : The Dark World' pula adalah filem yang terlalu serius, hambar dan mengelirukan. Sementara 'Thor : Ragnarok' pula terlalu sarat dengan elemen komedi yang tidak membezakan Thor dengan watak-watak lain dalam MCU yang mampu membuat penonton ketawa dengan lawak sinis dan sarkastik, semata-mata, seperti kebanyakan watak lain.

Dalam sebuah filem yang cuba memaparkan risiko kemusnahan sebuah masyarakat serta kematian watak besar dalam hidup Thor - penonton pula lebih banyak ketawa.

Pada pandangan peribadi aku, sukar untuk merasai apa sebenarnya tema yang ingin disampaikan dalam filem ini, ekoran kecelaruan itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)