Oleh pada 11 Dec 2017 kategori

justice league semua anggota

Urgh. Selepas terkedu melihat bagaimana Batman dan Superman menyelesaikan pertelagahan mereka dalam filam Batman vs Superman : Dawn of Justice, aku tidak mempunyai harapan besar dalam filem terbitan DC.

Bagaimanapun, rasa teringin tetap menyelinap pada diri ini selepas melihat trailer 'Justice League.' 

Sehingga kini, filem-filem terbitan DC lebih banyak menghampakan berbanding mengujakan diri. Tak mahulah aku sebutkan tentang filem Green Lantern lakonan Ryan Reynolds, yang kini menebus kesilapannya dalam 'Deadpool.'

Kita lupakan sahaja filem tak senonoh itu. Macam biasalah kena bagi amaran, andai anda belum menonton filem Justice League, jangan teruskan membaca. 

MEMENUHI JANGKAAN PEMINAT?

justice league watak komik

DC meletakkan beban besar pada Justice League untuk mengembalikan maruah filem adiwira mereka. Selepas 'Wonder Woman' dilihat lebih konsisten berbanding 'Suicide Squad', aku harap sekurang-kurangnya filem ini boleh menyaingi 'Man of Steel.'

Namun, masalah serta tragedi melanda produksi apabila Zack Snyder terpaksa digantikan berikutan kejadian buruk yang menimpa anaknya, membuatkan aku tak berharap besar.

ISU TRADEMARK ZACK SNYDER

300 leonidas menjerit

Pertama kali aku tahu tentang Zack Snyder, selepas aku takjub melihat bagaimana dia mengolah semula filem 'Dawn of the Dead' lakonan Sarah Polley yang keluar pada tahun 2004. Itu filem pertama arahan dia.

Filem keduanya '300' membuatkan Zack Snyder diangkat dan dipuji berjaya mencipta kesan visual yang belum pernah dipaparkan sebelum ini dalam filem.

Bagi aku '300' merupakan filem popcorn tutup otak yang segar, kerana kisah yang ingin disampaikan ringkas berdasarkan komik rujukannya.

Fokus pada visual membuatkan filem itu menjadika  300 rujukan artis-artis serta penggiat perfileman, dengan adegan ikonik 'This is Sparta!' masih kerap kali dijadikan bualan.

Dalam filem Watchmen. Zack Snyder sekali lagi diangkat sebagai pengarah hebat walaupun filem ini pada aku terlalu perlahan dan panjang. Sekali lagi orang memuji visual filem ini yang aku akui cantik. Aku mula was-was dengan trademark 'style over substance' dalam filem Zack Snyder selepas 'Sucker Punch' keluar. 

Jika kita lihat satu per satu filem Zack Snyder, hanya Dawn of the Dead merupakan satu-satunya filemnya yang berbeza.

Selebihnya, dia dilihat terlalu terkunci dengan resipi yang dia jumpai dalam 300 yang dibuat berdasarkan translasi petak-petak komik satu per satu menjadi visual filem, dari 300 ke Watchmen hinggalah Justice League - kita tahu itu filem Zack Snyder kerana cara dia memvisualkan watak dan aksi ada cara tersendiri.

Kekuatan Zack Snyder juga adalah kelemahan paling besarnya yang menghantui Justice League.

WONDER WOMAN SEBAGAI JAMINAN

wonder woman justice league

Aku suka 'Man of Steel.'

Ini berpunca daripada kecewanya aku dengan filem 'Superman Returns' lakonan Brandon Routh sebelum Henry Cavill naik menjadi Clark Kent.

Bagaimanapun, memandangkan sudah banyak kali dikecewakan oleh filem Zack Snyder, aku menonton Wonder Woman dengan berhati-hati selepas dia terlibat sebagai penulis. Tidak mengecewakan, mujurlah. Namun tidaklah layak jadi filem klasik seperti yang ramai katakan.

DC dilihat cuba mencipta identiti sendiri bagi mengelakkan filem mereka dibandingkan dengan filem keluaran Marvel. DC nampak memilih untuk menjadikan filem mereka digambarkan seperti sebuah grafik novel dengan aksi-aksi pertarungan dilakukan seperti gaya 'titan melawan titan.'

Pertarungan akhir di antara Diana dengan Ares membosankan.

Aku sudah terbiasa dengan acuan filem Marvel yang lebih banyak memaparkan aksi dinamik dan kinetik dalam filemnya, berbanding filem DC yang dilihat seolah-olah keliru bagaimana hendak merakamkan babak pertarungan.

Masih ingat babak dalam BvS bila Batman memecah masuk ke dalam sebuah gudang lalu menentang beberapa orang penjahat yang lengkap bersenjata? Filem DC memerlukan lebih banyak adegan sedemikian. Bukannya adegan adiwira kena tumbuk sekali tercampak jauh lalu saling merenung.

Jika nak adegan seperti itu, aku boleh baca komik Dragonball.

ADIWIRA MANUSIA MENENTANG GRAFIK KOMPUTER

steppenwolf nampak palsu

Justice League masih lagi mengekalkan formula yang sama di kalangan filem DC (yang sedikit). Visualnya gelap. Adegan pertarungan masih lagi mengekalkan teknik pengambaran sama. Cerita ringannya diberatkan dengan visual yang murung, kali ini diselang selikan dengan watak Barry Allen/Flash dan Aquaman sebagai penambah unsur komedi.

Tidak banyak yang berubah berbanding BvS. Andai kita mengharapkan ada perubahan, tidak banyak penambahbaikan dilakukan dari segi jalan ceritanya. Ceritanya kurang cantik perjalanannya terutamanya selepas Clark Kent dihidupkan semula.

Terlalu cepat Superman dibawa keluar daripada kubur dan dihidupkan menggunakan kaedah yang mirip Lex Luthor menghidupkan Doomsday.

Rasa ingin tahu bagaimana Justice League tanpa Superman mampu bertahan menentang Steppenwolf, dijawab sekelip mata. Terlalu cepat adegan bertukar tanpa penonton diberikan masa untuk menghadam apa yang dah berlaku.

Walaupun begitu, ada beberapa bahagian dalam filem ini yang aku rasakan baik. Aku suka interaksi di antara Barry Allen dan bapanya dipenjara.

Diana Prince seperti biasa diberikan jalan cerita yang menonjolkan wataknya. Aquaman/Arthur Curry membuatkan aku pertama kali rasa hormat pada watak Aquaman walaupun dalam filem ini jelas dia terpinggir dalam segi peranan.

Itu saja. Tak banyak.

Jika anda tanya aku mana lebih baik BvS atau Justice League, aku pilih BvS kerana kisahnya lebih puas ditonton walaupun terlalu serius. Olahannya lebih kemas dan suntingannya memberikan kita ruang memhami kisah. Cuma adegan 'Martha' itu tetap menjadi parut yang tak mungkin hilang.

Pastikan anda tonton BvS versi panjang, dimana ada pertambahan adegan yang membantu filem itu. Aku harap akan wujud versi sama pada Justice League untuk membetulkan masalah filem ini kemudian hari.

BATMAN YANG BISING

batman kurang main peranan

Trilogi filem Dark Knight masih lagi menjadi penanda aras kepada filem-filem adiwira terbitan DC. Trilogi itu dilihat konsisten dan mempunyai latar belakang yang lebih dipercayai.

Tidak ada banyak unsur-unsur makhluk asing atau fantasi membuatkan trilogi tersebut bukan sekadar dianggap antara trilogi filem adiwira terbaik, malahan antara trilogi filem terbaik.

Filem trilogi Batman arahan Christopher Nolan berkesan kerana heronya, Batman diletakkan dalam dunia yang serasi dengan wataknya. Keluarkan dia dari situ, letakkan dia dalan filem Justice League - Batman nampak kerdil. Pergaduhan adiwira bertahap luar dunia dalam Justice League merupakan satu tugas yang tampak mencabar bagi seorang manusia biasa bernama Bruce Wayne.

Dalam komik kejanggalan itu tidak berapa ketara, namun dalam filem ini, Batman nampak terkekang dan hanya membantu dari tepi. Olahan Marvel mengenai dua watak tanpa kuasa hebat iaitu Hawkeye dan Black Widow dalam Avengers, lebih menjadi berbanding Batman dalam Justice League.

Jadi mereka ambil jalan mudah. Jadikan Batman seorang yang akan gunakan peluru untuk menyelesaikan kebanyakan masalah yang dia hadapi. 

Flash sendiri mempersoalkan apa kuasa Bruce Wayne dalam filem itu dan jawapan yang Bruce Wayne berikan, jelas menceritakan kesulitan yang dihadapi produksi dalam menterjemahkan watak Batman untuk filem ini. 

Semasa bertumbuk sama kuat sama padan dengan Superman dalam BvS, kita tahu dia terpaksa bertindak licik menggunakan kryptonite kerana dia Batman yang faham limitasi diri dan Superman bukan kawannya.

Namun dalam Justice League, watak Batman ditulis terlalu mudah, sehinggakan aku rasakan watak lain boleh menggantikan Batman, tanpa menjejaskan jalan cerita. 

MARTHA! MAK KAU PUN NAMA MARTHA?

adegan martha bvs

Jika BvS ada adegan Martha yang tak masuk akal - Justice League pula ada adegan pertemuan semula Lois Lane dengan Superman, hasil perancangan 'bijak' Bruce Wayne. 

Apa yang berlaku selepas Superman hidup semula itu terlalu lemah. Selepas Superman membelasah Justice League dengan mudah, Batman menggunakan taktik terakhirnya meminta Lois Lane menggadaikan nyawanya berdepan dengan Superman yang hilang akal.

Andainya Superman membelasah Lois Lane mati - wow, itu satu twist yang aku tak sangka berlaku dan akan memberikan impak lebih besar yang mampu menyelamatkan filem ini. Ini akan membuatkan Superman yang baru hidup semula, kini mempunyai motif untuk mengamuk pada semua orang.

Itu tidak berlaku dalam filem ini. Clark dan Lois saling berpandangan, jatuh cinta semula dan Clark kembali jadi Clark. Batman yang sakit dibelasah, lega betul rancangannya berjaya.

Senang betul penyelesaiannya. Steppenwolf yang sebelum itu menjinakkan Justice League dengan mudah, dibuli Superman dan Justice League pun meraikan kemenangan mereka.

Masih ingat adegan akhir BvS yang menunjukkan tanah terangkat, kononnya Superman masih hidup?Superman memang benar-benar sudah mati tapi jasadnya nasib baik tidak diterima tanah bumi.

Apa guna adegan itu sebelum ini? Entahlah.

SATU KAPAL DUA NAKHODA 

zack snyder dengan cosplayer superman

Justice League adalah sebuah filem Zack Snyder yang kemudiannya diolah semula oleh Joss Whedon. Sebagai penonton, aku sependapat dengan ramai pengkritik professional - itulah punca masalah paling besar filem ini. 

Zack Snyder mempunyai corak filem yang sangat berlainan dengan Whedon, yang telah membuktikan keupayaannya mengemudi filem adiwira menerusi 2 filem Avengers sebelum ini. 

Menonton 'Justice League' yang kucar kacir, susah untuk aku mengelakkan diri aku daripada berimaginasi bagaimana rupanya filem 'Justice League' ini andai Joss Whedon diberikan tanggungjawab mengarahkannya 100%.

Bagaimanapun cabarannya besar. Watak dalam filem ini masih belum ada hubungan yang akrab seperti apa yang kita lihat terjalin dalam filem Avengers selama beberapa tahun diusahakan. 

Aku langsung tidak peduli tentang Cyborg.

DC kelihatan gelabah mahu mempercepatkan pertemuan Justice League, menyebabkan watak dalam 'Justice League' ini seperti sekumpulan adiwira yang secara tidak sengaja terpaksa bekerjasama tanpa mengetahui kebolehan masing-masing, sehingga memerlukan Superman perlu hidup semula untuk menyelamatkan mereka. 

Apabila sebuah kumpulan adiwira memberanikan diri melakukan eksperimen menghidupkan watak yang sudah tiada hanya untuk menang, aku tercari-cari di mana sebenarnya 'justice' dalam mesej filem ini?

Baru bergabung sekali tapi sudah terpaksa melakukan perkara yang biasanya berlaku selepas 2-3 cerita, takut juga selepas ini pun Justice League akan ambil jalan mudah hanya semata-mata untuk menyelamatkan dunia.


tags : , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)