penunjuk perasaan minta kebenaran didedahkan

Setelah lebih 15 tahun mengenali Jamal, aku cukup faham tentang sifatnya yang sangat berahsia tentang banyak perkara. Walaupun begitu, berbual dengannya tetap boleh meleret sehingga berjam-jam lamanya.

Pertama kali berkenalan dengan dia, ketika itu dia adalah penasihat kepada Putera Turki bin Faisal, pengarah unit siasatan Arab Saudi, yang pada ketika itu sedang berdepan ancaman al-Qaeda. Insiden tembak-menembak biasa berlaku di Riyadh. Jamal Kashoggi dilantik berdasarkan pengalaman serta hubungannya dengan individu-individu yang berkait ini.

Jamal datang dari keluarga yang serba sederhana.

Sama seperti golongan keluarga sederhana Saudi yang lain, dia mendapat faedah daripada hubungan dengan keluarga di-raja Saudi serta pendidikan di luar negara. Jamal belajar di Indiana State University dalam bidang penulisan, kemudiannya pulang ke Arab Saudi menjadi seorang wartawan di banyak tempat.

Mula terlibat dalam politik dunia yang kotor

osama pernah ditemuramah jamal

Namanya mula terkenal pada era lewat 1980-an apabila mula melaporkan tentang konflik-konflik antarabangsa. Pada era tersebut, pihak Saudi sedang bekerjasama dengan CIA dan Pakistan dalam usaha mengusir ejen Soviet yang beroperasi di Kabul. Jiwa aktivis Jamal mula terbentuk ketika era tersebut selepas melihat dan menemubual sendiri individu yang terlibat.

Jamal juga mampu menemuramah serta agak mesra dengan tokoh al-Qaeda terkenal, arwah Osama bin Laden menjadikan dirinya mula disebut pemerintah Saudi. Ketika itu, Jamal kenal nama-nama individu yang diawasi serta mampu memudahkan siasatan mereka, jadi Putera Turki mula berbaik dengan Jamal.

Jamal diberikan tanggungjawab memujuk Osama untuk menghentikan aktivitinya oleh kerajaan Arab Saudi, namun kita tahu semua itu gagal. Kali terakhir Jamal mengatakan dia bertemu Osama adalah pada pertengahan tahun 90-an.

Kariernya sebagai seorang jurnalis turun naik berikutan pandangannya yang kerap melawan arus. Jamal dilihat sebagai seorang yang kerap menyanggah pandangan golongan konservatif. Walaupun mempunyai rakan di kalangan keluarga pemerintah Saudi, tidak ada yang menghalang dia dipecat daripada jawatan editor akhbar nasional Saudi, Al-Watan.

Bertindak lebih lantang mengkritik pemerintah Arab Saudi

jamal diminta memberikan pandangan

Insiden 11 September 2001 membuatkan Jamal semakin berani mempersoalkan pengaruh kerajaan Arab Saudi dalam kejadian tersebut. Walaupun mula dipandang serong, pengalamannya serta pengetahuan tentang rangkaian risikan yang telah diperolehi hasil kerja sebagai wartawan tetap ditagih pemerintahnya.

Bagi membantu keadaan yang agak tegang disebabkan gerakan al-Qaeda mula bertapak di Riyadh dan beberapa bandar lain di Arab Saudi, pada penghujung tahun 2002 Jamal kembali dilantik sebagai penasihat kepada Putera Turki. Jamal kekal bersama Putera Turki semasa Putera Turki dilantik menjadi duta ke United Kingdom dan juga Amerika Syarikat, sebelum kembali menggalas bidang kewartawanan.

Gerakan Putera Mohammad bin Salman dalam mentransformasikan sistem sosial Arab Saudi pada awalnya diterima baik Jamal Kashoggi.

Bagaimanapun, selepas gerakan Mohammad bin Salman mahu mengukuhkan kuasanya dilakukan dengan cara kekerasan, dengan penangkapan individu yang mampu mengancam kuasanya serta penahanan pengkritik beliau di penjara - Jamal kembali bersuara mengutuk penyalahgunaan kuasa bakal raja Arab Saudi itu melalui tulisan-tulisan beliau.

Bermula daripada itulah Jamal mula berdepan dengan ancaman yang tidak diketahui siapa pelakunya. Jamal pernah menceritakan tentang panggilan telefon menyebut beberapa nama individu berkedudukan yang mahu Jamal menutup mulut.

Semakin lama semakin kerap panggilan serupa diterima, menyebabkan Jamal nekad melarikan diri.

Terpaksa berpindah untuk mengelakkan penjara

jamal bersama tunangnya sebelum hilang

Jamal melarikan ke London pada September 2017, tidak pasti tentang status masa depannya. Dia kemudian berpindah ke Amerika Syarikat, memohon taraf penduduk tetap serta mula menulis untuk The Washington Post, mengecam tindakan kerajaan Arab Saudi secara lantang. Dalam tulisannya yang pertama, dia mengakui dirinya serta beberapa individu lain terpaksa melarikan diri daripada Arab Saudi disebabkan takut dikenakan hukuman penjara.

Beliau juga mengumumkan terdapat tekanan daripada kerajaan Saudi untuk menghentikan kolum khas miliknya dalam akhbar Al-Hayat serta larangan kepadanya daripada terus menggunakan Twitter sebagai medan kritikan terhadap pemerintah, yang diikuti lebih 1.8 juta orang pengikut setia.

Walaupun begitu, pada 2 Oktober 2018, selepas mengunjungi pejabat kedutaan Arab Saudi di Istanbul, Turki bagi mendapatkan dokumen kelulusan perkahwinan beliau, Jamal tidak keluar-keluar lagi walaupun tunangnya masih menunggu di luar.

Selepas disahkan hilang, tunangnya seorang wanita bernama Hatice Cengiz memberitahu tentang pesanan Jamal meminta dia mengubungi seorang penasihat Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan sekiranya dia tidak kembali.

Dibunuh atau masih hidup sebagai tahanan?

cctv menampakkan jamal di kedutaan saudi

Pihak kerajaan Turki melakukan penyiasatan dan mengumumkan besar kemungkinan Jamal telah dibunuh oleh satu pasukan 15 orang dalam satu operasi khas semasa berada di dalam bangunan kedutaan Arab Saudi. Sebelum dibunuh, Jamal telah diseksa dan mayatnya diceraikan.

Pasukan penyiasat Turki juga memberitahu rakaman kamera pada hari tersebut telah pun dipadamkan dengan pekerja serta pegawai kedutaan diberikan cuti. Kerajaan Arab Saudi menafikan tuduhan ini dan mengatakan Jamal telah keluar daripada bangunan kedutaan melalui pintu belakang.

Pendedahan kerajaan Turki berkenaan sebuah pesawat mengangkut 15 orang ahli pasukan pembunuh elit Arab Saudi mendarat di Lapangan Terbang Ataturk, menimbulkan lebih banyak persoalan. Apa yang membuatkan perkara ini menjadi lebih misteri adalah pengakuan keluarga Jamal Khashoggi yang tidak mengenali kewujudan wanita yang mengaku dirinya tunang Jamal.

Ketika ini, insiden ini mendapat perhatian majoriti masyarakat dunia dengan desakan kepada kerajaan Arab Saudi untuk menjelaskan apa yang berlaku, semakin lama semakin kuat kedengaran.


Artikel ini adalah olahan semula artikel 'Jamal Khashoggi - The Man who knew what crossing Mohammad bin Salman could cost' yang terbit pada 10 Oktober 2018 hasil tulisan wartawan CNN, Nic Robertson.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)