Sekiranya ditanya pada anda, apakah agama yang paling banyak diangkat sebagai agama rasmi sesebuah negara - apakah jawapan anda?

Di seluruh dunia, terdapat lebih kurang 195 buah negara dengan beberapa negara tertentu mempunyai status berbeza mengikut definisi, seperti Taiwan yang dianggap oleh Persatuan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah wilayah di bawah kerajaan China ataupun Kepulauan Cook yang dianggap sebuah negara tanpa keahlian sebarang hubungan antarabangsa. Bagaimanapun, tanggapan popular bilangan negara di dunia selalunya menggunakan angka 195 sebagai jumlahnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di antara 195 buah negara yang ada ini, apakah agama yang paling popular di kalangan pentadbiran negara tersebut? Sebelum kita belajar tentang status populariti agama di semua negara, setiap negara dalam dunia ini boleh dibahagikan kepada empat kategori apabila kita bercerita tentang soal agama.

1. Negara yang mempunyai agama rasmi

pope di vatican city

Sesebuah negara itu dianggap mempunyai agama rasmi apabila meletakkan agama tersebut ke dalam perlembagaan negara masing-masing ataupun ke dalam pelaksanaan undang-undang mereka. Walaupun begitu, ini tidak bermakna pemerintah negara itu akan memberikan keistimewaan pada penganut agama tersebut. Namun kebiasaannya, memang akan berlaku perbezaan pada corak pemerintahan apabila sesebuah negara sudah mempunyai agama rasmi.

Di seluruh dunia, 43 buah negara mewakili 22 peratus jumlah keseluruhan semua negara di dunia mempunyai agama rasmi. Pelaksanaannya pula berbeza-beza, dengan sesetengah negara seperti Afghanistan mengamalkan kewajipan semua pemimpin perlu datang daripada penganut Islam. Sementara negara kita pula walaupun meletakkan Islam sebagai agama rasmi kita, tidak mempunyai syarat serupa digunakan.

Antara negara yang mempunyai Islam sebagai agama rasmi adalah negara kita, Brunei, Mauritania dan Pakistan. Bhutan, Sri Lanka dan Cambodia pula menamakan Buddha sebagai agama rasmi mereka. Negara Eropah seperti Itali, Sweden, Greece dan Bulgaria pula meletakkan Kristian sebagai agama rasmi.

2. Negara yang cenderung pada satu agama

agama agama di russia

Ada 40 buah negara di seluruh dunia yang tidak menamakan sebarang agama dalam perlembagaan mereka tetapi cenderung untuk memilih satu agama sahaja. Sebagai contoh, Laos tidak meletakkan Buddha sebagai agama rasmi namun kerajaan mereka menyokong sepenuhnya sebarang aktiviti yang melibatkan agama dan penganut Buddha.

Selain itu, Russia juga adalah contoh lain di mana sesebuah negara tidak mempunyai agama rasmi, tetapi mempunyai kecenderungan pada agama Ortodoks Kristian. Mempunyai masyarakat yang berbilang agama, Russia mengiktiraf semua jenis agama termasuklah Islam, Buddha dan Atheist dalam pentadbirannya namun berat untuk menyokong Ortodoks Kristian.

Indonesia juga dikategorikan dalam kategori ini, kerana Indonesia juga sebenarnya tidak menamakan mana-mana negara sebagai agama rasmi mereka dalam negara yang mampunyai majoriti penduduk Islam, namun dilihat agak cenderung kepada kumpulan majoriti. Sebanyak 20 peratus buah negara di seluruh dunia mengambil pendekatan ini atau 40 buah dari jumlah keseluruhan negara.

3. Negara yang neutral pada semua bentuk agama

lee hsien loong ucapan

Bagi sesetengah negara lain, pemerintah mereka memilih untuk tidak mencampur adukkan sebarang urusan agama dalam pentadbiran, serta dilihat tidak mempunyai kecenderungan untuk memilih mana-mana agama.

Jumlah negara yang mengambil pendekatan ini mempunyai peratusan terbanyak di dunia dengan anggaran 106 negara menggunakan kaedah sama. Ini bersamaan dengan 53 peratus daripada keseluruhan jumlah negara di dunia.

Antara negara di dunia yang mengamalkan dasar neutral ini adalah Bosnia yang lebih separuh rakyatnya beragama Islam. Walaupun Croatia mempunyai jumlah penganut Kristian Katolik yang tinggi, kerajaan Croatia tidak menamakan sebarang agama sebagai agama rasmi serta mengamalkan kesamarataan dalam perihal agama bagi rakyat mereka.

Singapura pula merupakan jiran kita yang tidak mempunyai sebarang pengiktirafan tunggal pada mana-mana agama serta tidak melarang sebarang aktiviti agama, kecuali bagi agama Jehovah Witness dan Gereja Penyatuan (Unified Church) - semua aktiviti sebaran dan penerbitan agama tersebut dilarang di Singapura sehingga kini.

4. Negara yang cenderung untuk mengawal atau menghalang kegiatan agama

gadis muslim di china membaca

Sekiranya majoriti negara di dunia mengambil pendekatan neutral dalam beragama, ada 10 negara di seluruh dunia mempunyai pendekatan mahu mengawal sebarang bentuk penyebaran mana-mana agama.

Majoriti negara ini adalah negara bekas Kesatuan Soviet satu masa dulu. Seperti Turkmenistan yang memperkenalkan undang-undang mengawal semua bentuk penyebaran agama secara terbuka. Semua kumpulan penyebar agama perlu mendaftarkan diri sebelum dibenarkan menjalankan sebarang bentuk aktiviti, dengan aktiviti tanpa daftar dianggap satu bentuk jenayah.

China menjadi negara terbesar di mana sebarang gerakan aktiviti agama dikawal ketat dengan kelima-lima pertubuhan agama terbesar di China mewakili agama Buddha, Taoist, Islam, Kristian Protestan dan Kristian Katolik perlu diletakkan dibawah kawalan Jabatan Hal Ehwal Agama lantikan kerajaan. Sebarang bentuk rumah atau bangunan yang akan digunakan oleh badan atau organisasi agama perlu diluluskan oleh Jabatan tersebut.

Sekiranya penduduk China menganut agama selain daripada 5 agama yang dikawal ketat itu seperti Buddha Tibetan, Muslim Uyghur atau gerakan Kristian bawah tanah, mereka akan dikenakan bermacam jenis sekatan seperti gangguan, penjara, seksaan atau dipaksa menukar agama mereka.

5. Agama rasmi terbesar negara dunia

gadis bertudung di malaysia

Kita sudah melihat empat kategori negara dalam mengenalpasti bentuk hubungan negara tersebut dengan organisasi agama di negara mereka. Jadi persoalannya - agama mana menjadi pilihan majoriti negara?

Islam adalah agama pilihan bagi majoriti negara yang mengiktiraf kewujudan agama sebagai sebahagian perlembagaan negara mereka. Daripada 43 negara yang mempunyai agama rasmi, 27 daripadanya memilih Islam. Majoritinya pula adalah negara di Timur Tengah dengan 7 negara lagi di Asia Pasifik, termasuklah Bangladesh, Brunei dan Malaysia.

Di tempat kedua pula adalah agama Kristian yang menjadi pilihan sembilan negara Eropah, dua di benua Amerika, satu di Afrika iaitu Zambia dan dua di Asia Pasifik iaitu Tuvalu dan Filipina. Israel pula adalah satu-satunya 'negara' yang meletakkan Judaism sebagai agama rasmi mereka.

Walaupun begitu, majoriti negara yang cenderung kepada satu agama tanpa menamakan sebarang agama sebagai agama rasmi, didominasi oleh kerajaan yang cenderung kepada agama Kristian.

justin trudeau melawat kuil hindu

Tidak ada negara dalam dunia yang menamakan agama Hindu sebagai agama rasmi negara mereka, walaupun India mempunyai kerajaan yang dapat dilihat pro-Hindu. Buat masa sekarang, India masih lagi meletakkan negara mereka sebagai sebuah negara yang mengamalkan corak pemerintahan berbentuk sekular.

Kami harap penerangan ini dapat menjelaskan dengan lebih baik bentuk-bentuk hubungan yang ada di antara sesebuah kerajaan dengan sebarang bentuk  kepercayaan agama. Amat jelas peranan agama dalam membentuk masyarakat sangatlah besar. Adakah pencampuran agama dalam pentadbiran memang menghalang atau merencatkan pembangunan sesebuah negara?

Dakwaan ini tidak benar kerana kebanyakan negara yang maju dan diletakkan sebagai model negara lain di dunia pun, banyak yang meletakkan satu bentuk agama sebagai agama rasmi negara mereka atau mempunyai kecenderungan terhadap satu bentuk agama.

Rujukan

Many Countries Favor Specific Religions, Officially or Unofficially




Hakcipta iluminasi.com (2017)