Oleh pada 06 Jun 2022 kategori

Menamakan semula negara merupakan satu proses panjang yang biasanya dilakukan oleh kerajaan atas bermacam sebab.

Negara Swaziland memilih nama eSwatini atas hujah yang mereka rasakan relevan, Republik Czech mahu dikenali sebagai Czechia bagi memudahkan promosi negara mereka. Senang cerita, setiap negara ada hujah masing-masing.

Begitulah juga dengan pertukaran nama negara republik Turki - secara rasminya kini ditulis sebagai Türkiye dalam bahasa Inggeris. Persoalannya - kenapa Turki mahu tukar nama negaranya, mahu digelarkan Türkiye bukan lagi Turkey?

Bagaimana nak menyebut nama baru Türkiye?

bendera turkiye nama tukar

Sebelum menjawab soalan, kita lihat dulu kaedah sebutannya.

Kita dah biasa dengan sebutan berdasarkan bahasa Inggeris 'Turkey,' yang sebenarnya dengan sebutan kita dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, nama baru Türkiye ini kaedah sebutannya agak berbeza yang dicerminkan menerusi pertukaran ejaannya.

'Turkey' sebelum ini disebut sebagai 'Tuh-kee' sementara ejaan baru Türkiye pula disebut sebagai 'Tur-kee-yey'. Dengan perubahan ini, nama rasmi baru bagi Türkiye adalah Türkiye Cumhuriyeti atau Republik Türkiye.

Huruf ü yang digunakan dalam ejaannya adalah salah satu daripada huruf berbeza yang memang wujud dalam bahasa Türkiye; di mana mereka menggunakan penambahan 3 huruf vokal iaitu huruf İ, Ö dan Ü.

Sama ada kita akan ada pertukaran istilah Bahasa Melayu bagi merujuk negara Turki ke istilah Turkiye belum ada sebarang pengumuman rasmi nampaknya, walaupun ada di kalangan pengamal media kita sudah mula mengeja 'Turki' sebagai 'Turkiye.'

Kenapa Turki ditukar kepada Turkiye?

turkiye pertukaran nama negara

Sebab utama kenapa nama Turki dirasakan perlu ditukar,berpunca daripada rasa kurang senang kerajaan Turki yang disuarakan Presiden mereka, Reccep Tayyip Erdogan berkenaan transliterasi nama Türkiye ke dalam bahasa Inggeris.

Dalam bahasa Inggeris, nama istilah negara 'Turkey' datang daripada istilah asal Latin 'Turcus' yang membawa makna 'kekuatan'.

Imej masyarakat Turk sebagai sebuah kuasa besar dunia mula memuncak ekoran kebangkitan era pemerintahan Uthmaniyah yang berpegang kepada ajaran Islam di sana sebelum kejatuhan empayar itu akibat kegopohan pemerintah mereka membawa kepada pembentukan sebuah republik.

'Turk' akhirnya menjadi istilah rasmi bagi menamakan identiti negara mereka ketika bermulanya pentadbiran Presiden Mustafa Kemal Ataturk di sana.

Bagaimanapun sebelum semua itu berlaku, istilah 'turkey' telah popular diguna bagi merujuk 'ayam belanda', ekoran proses import masuk ayam tersebut ke Eropah yang melalui jajahan empayar Uthmaniyah di kawasan sekitar Afrika utara.

Ayam tersebut mula dikenali sebagai 'turkey chicken' atas kaitan tersebut, walaupun bukanlah produk keluaran masyarakat Turk sendiri. Percaya tak, ini adalah sebab utama kenapa kerajaan Turki mahu dinamakan sebagai Türkiye.

Türkiye tidak lagi mahu disalah anggap ayam belanda

ayam belanda panggang

Kekeliruan berkenaan 'Turkey' yang mewakili negara dan 'Turkey' yang mewakili ayam belanda, menjadi antara isu yang dibangkitkan kerajaan Türkiye sebagai hujah utama kenapa nama rasmi negara mereka perlu ditukarkan.

Kerajaan Türkiye ada mengatakan kekeliruannya boleh dilihat jelas apabila seseorang melakukan carian di enjin carian seperti Google, bagi mencari informasi berkenaan negara Türkiye biasanya akan turut menemui informasi berkenaan ayam belanda.

Mereka mengharapkan dengan pertukaran ini akan memudahkan informasi berkenaan negara Türkiye diperolehi.

Selain itu 'Turkey' itu sendiri sebagai istilah bahasa Inggeris membawa makna yang agak negatif, selain untuk mewakili ayam belanda. Dalam bahasa Inggeris, kita jarang menggunakan makna-makna lain perkataan 'turkey' kan?

Tahu tak bahawa 'turkey' selain negara dan spesis ayam, turut mewakili

a. Satu perbuatan yang gagal teruk. Sebagai contoh : 'his last performance was a complete turkey' maknanya 'persembahan terakhir dia gagal teruk.'

b. Individu yang dungu. Contohnya : 'Why you do that man? You are such a turkey!' membawa makna 'kenapa kau buat sedemikian rupa? Kau ni dungu betullah!'

tayyib erdogan tukar nama negara turki turkiye

Itulah sebabnya kenapa kerajaan Türkiye mahu negara mereka dinamakan semula dalam bahasa Inggeris meninggalkan ejaan lamanya.

Selain memperkukuhkan identiti mereka dari pandangan masyarakat antarabangsa, pertukaran itu juga diharap bakal memudahkan pelancong yang mahu melancong ke Türkiye mendapatkan maklumat dengan lebih tepat.

Dengan pertukaran ini Türkiye kini digunakan eksklusif bagi mewakili negara, sementara Turkey pula hanya merujuk kepada si dungu, satu bentuk kegagalan atau ayam belanda yang sedap sekiranya dipanggang. Nak google pun lebih mudah.



Hakcipta iluminasi.com (2017)