Perubahan yang dialami oleh Turki pada awal abad ke 20 merupakan salah satu perubahan budaya yang paling membingungkan dalam sejarah negara Islam.

Hanya dalam beberapa tahun, kerajaan Empayar Uthmaniah telah dijatuhkan, sejarah Islam dipadamkan dan dari sisa-sisa itu, lahir sebuah negara sekular yang dinamakan Turki.

Apa yang menyebabkan perubahan monumental tersebut?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Semuanya didorong usaha seorang lelaki bernama Mustafa Kemal Ataturk atau lebih dikenali dengan nama Ataturk.

Di bawah pemerintahannya, negara sekular Turki ditubuh bagi menggantikan sistem sosial Islam yang telah wujud sekian lama, dalam masyarakat Turki sebelum itu.

Kebangkitan Mustafa Kemal Ataturk

mustafa kemal dan isterinya

Keputusan Empayar Uthmaniah menyertai Perang Dunia pertama pada tahun 1914, dikatakan punca bermula kesilapan pemerintahan mereka yang membawa kepada kejatuhan mereka.

Empayar Uthamniah ketika itu diketuai kelompok tiga pegawai kerajaan yang digelarkan 'Tiga Pasha' yang telah memegang tampuk sejak tahun 1874; diketuai Mehmed Talaat Pasha yang bertindak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Ismail Enver Pasha memegang jawatan Menteri Perang dan Ahmed Djemal Pasha memegang kuasa tentera.

Ekoran persetujuan menyertai perang bagi pihak kuasa Tengah, Kerajaan Uthmaniah membuka pintu untuk dicerobohi Britain di bahagian selatan, Russia dari bahagian timur dan Greece dari bahagian barat yang mewakili pihak Bersekutu.

Susulan daripada itu, wilayah-wilayah dalam Empayar tersebut berjaya dikawal pihak-pihak Bersekutu yang menang, sehingga hanya Anatolia saja yang tinggal di bawah kawalan Empayar Uthmaniah.

Dari Anatolia inilah munculnya Mustafa Kemal.

Salah seorang pegawai tentera dalam kerajaan Empayar Uthmaniyah, kehebatan Mustafa Kemal dalam peperangan sukar disangkal semasa menghadapi pencerobohan tiga pihak serentak.

Melihat apa yang berlaku pada negaranya sendiri selepas tewas peperangan yang tak sepatutnya mereka sertai, Mustafa Kemal mewujudkan satu matlamat jelas; mahu membangkitkan semangat nasionalis di kalangan orang-orang Turk bagi menyatukan mereka.

Berbeza dengan sistem kerajaan Uthmaniyah sebelum itu yang lebih bersifat majmuk, ideologi Mustafa Kemal mahu menyatukan kesemua orang Turki dalam satu identiti baru - 'identiti Turki.'

Menggunakan propaganda-propaganda yang direka agar membantu mencipta persepsi buruk terhadap kerajaan Turki ketika itu, Mustafa Kemal berjaya menyatukan pegawai-pegawai tentera di bawahnya.

Angkatan ini akhirnya berjaya mengusir keluar tentera Greece, Britain dan Perancis yang menduduki wilayah mereka selepas perang.

Pada tahun 1922, Mustafa Kemal membebaskan wilayah-wilayah asal Turki sepenuhnya dan menubuhkan negara Republik Turki,  diketuai badan pemerintah dinamakan Grand National Assembly atau GNA yang berpusat di Ankara.

GNA perlu diketuai oleh seorang Presiden dan atas jasanya mengembalikan maruah Turki, Mustafa Kemal dipilih untuk memerintah negara moden Turki sebagai Presiden pertama mereka.

Kenaikan beliau membolehkan Mustafa Kemal mula memegang nama sebagai 'Ataturk' - 'Ayah kepada orang Turki' zaman moden.

Penghapusan sistem monarki Uthmaniyah

sultan terakhir empayar uthmaniyah

Pada mulanya, GNA dilihat masih meletakkan Islam sebagai dasar kerajaan dengan perlembagaan Turki dimasukkan Islam sebagai agama rasmi.

Kesemua undang-undang di Turki pula perlu diluluskan oleh panel undang-undang syariah bagi memastikan keadilan di Turki selaras dengan prinsip Islam.

Walaupun begitu, pertelagahan di antara kerajaan lama Uthmaniyah dan kerajaan GNA mula timbul. Kedua-dua buah kerajaan yang berpusat di Ankara dan Istanbul mula mengalami konflik, bertelagah menuntut hak pemerintahan Turki.

Sedar akan ancaman yang masih berbaki, Ataturk mengambil langkah drastik menghapuskan terus sistem kerajaan Uthmaniyah yang wujud sejak 1299 bagi menyelesaikan konflik. Hasilnya, berlaku perpindahan uasa yang ada pada kerajaan Uthmaniyah pada GNA.

Warisan kesultanan Uthmaniyah pula masih dibiarkan wujud dalam sistem pemerintahan, namun hanya bertindak sebagai satu simbol kepada masyarakat tanpa ada sebarang kuasa memerintah.

Berdepan dengan tentangan orang ramai yang merasakan tindakan itu kurang wajar, GNA mengeluarkan kenyataan merancang mahu kembali kepada sistem yang diguna pakai semasa pemerintahan Abbasiyah, di mana Sultan atau Khalifah hanya bertindak sebagai ketua dan pemerintahan pula dijalankan oleh pegawai-pegawai di bawahnya bagi mengekalkan kestabilan kerajaan.

Tindakan itu mendapat tentangan bukan saja dari sebahagian rakyat Turki malahan dari seluruh masyarakat Islam dunia.

Di India sebagai contoh, orang Islam menyuarakan bantahan besar-besaran dan mewujudkan gerakan Khilafat yang mahu mempertahankan pemerintahan Khalifah yang diamalkan Turki sekian lama. Bantahan-bantahan ini dilihat GNA dan Ataturk sebagai satu usaha campur tangan ke atas negara mereka.

Jadi Ataturk mengambil keputusan nekad.

Pada 3 Mac 1924, Ataturk dan GNA mengumumkan yang keseluruhan warisan Empayar Uthmaniyah akan dihapuskan dan semua keluarga pemerintah Uthmaniyah dibuang negeri - agar pengaruh mereka terus tamat di situ.

Ciri-ciri Islam mula dihapuskan

turki negara sekular

Ekoran tiada lagi penentangan dari empayar lama, GNA memperkenalkan polisi-polisi baru dengan alasan mahu membersihkan imej Islam daripada campur tangan politik, yang telah berlaku sekian lama.

Antara perkara paling awal yang diubah adalah sistem pendidikan, di mana pengajian bercirikan Islami dilarang; digantikan dengan sistem pendidikan sekular sepenuhnya.

Infrastruktur dan binaan yang membawa ciri Islam diruntuhkan, digantikan dengan rekaan moden. Panel syariah yang menyelia undang-undang semasa penubuhan GNA dimansuhkan dan hakim syariah dipecat mengakibatkan mahkamah syariah perlu ditutup.

Sistem sosial masyarakat Turki juga diubah.

Pemakaian serban dan hijab mula dilarang, dengan hijab diharamkan dipakai di kawasan awam. Kalendar Hijrah yang selama ini digunakan, digantikan dengan kalendar Gregorian.

Azan yang menandakan tibanya waktu solat digantikan dengan azan versi baru dalam bahasa Turki dan penggunaannya diwajibkan di semua masjid. Hari cuti di Turki yang sebelum itu adalah hari Jumaat dan Sabtu, ditukar kepada Sabtu dan Ahad supaya lebih seiring dengan dunia luar.

Beberapa perubahan drastik ini mendorong banyak perubahan besar pada sistem masyarakat Turki dan akhirnya, pada tahun 1928, secara rasminya Turki mengumumkan yang Islam bukan lagi agama rasmi Turki.

Memadamkan sejarah dengan bahasa

bahasa turkish menggantikan bahasa arab

Ancaman terbesar kepada semua perubahan yang dilakukan Ataturk adalah pemberontakan orang ramai yang masih dibimbangi boleh berlaku. Sejarah empayar Islam yang telah terpahat sekian lama sejak abad ke 10 diramal boleh menjadi masalah kepada GNA kemudian hari.

Bagi menyelesaikan masalah ini, GNA memperkenalkan pertukaran sistem tulisan jawi Arab yang digunakan ketika itu kepada penggunaan bahasa Latin.

Orang Turki yang sebelum itu menggunakan tulisan Arab mirip sistem tulisan Jawi perlu mula belajar dalam bahasa baru, menjauhkan mereka daripada identiti Islam yang telah lama bertapak dalam sistem sosial mereka.

Penggunaan perkataan-perkataan pinjaman daripada bahasa Arab juga mula digantikan dengan perkataan-perkataan kuno Turki yang telah digunakan sebelum kedatangan Empayar Uthmaniyah.

Bahasa pertuturan mereka juga mula diubah, merenggangkan pemahaman dan kefasihan generasi lebih tua di Turki berbanding generasi muda, yang belajar dalam sistem bahasa dan tulisan baru yang dilaksanakan GNA.

Semua itu dibuat GNA dengan alasan mahu meningkatkan kadar celik huruf di kalangan warga Turki. 

Namun agenda sebenarnya adalah mahu membuang unsur-unsur Islamik dalam bahasa dan tulisan masyarakat muda Turki supaya sejarah yang wujud sebelum itu, dapat dibutakan daripada pengetahuan generasi muda Turki khasnya sejarah kegemilangan empayar Islam - memberikan kerajaan Republik Turki kanvas kosong untuk mencorak sejarah moden baru.

Lahirnya negara sekular Turki

penyokong sekular di turki

Semua reformasi yang dilakukan Ataturk dan GNA berkesan mengubah sistem sosial dan pemerintahan Turki.

Walaupun begitu, usaha untuk mengekalkan elemen Islam masih lagi dilakukan oleh individu-individu seperti Said Nursi, namun kuasa kerajaan GNA serta pengenalan sistem-sistem berorientasikan barat dalam masyarakat Turki sukar untuk ditentang.

Pada 1950, Said Nursi menyatakan sokongan secara terbuka kepada Adnan Menderes yang dilihat mampu mengembalikan pengaruh Islam dalam sistem masyarakat Turki.

Adnan berkempen menggunakan agenda mahu mengembalikan azan sebenar di Turki yang akhirnya membawa kemenangan pilihanraya, namun dia digulingkan oleh tentera Turki selepas berkhidmat selama 10 tahun.

Didakwa atas bermacam tuduhan yang direka-reka serta dituduh berniat menganggu gugat perlembagaan Turki, Adnan bersama sekutunya dibunuh pada tahun 1961. Hanya pada 1990, allahyarham Adnan dibebaskan daripada semua tuduhan yang dikenakan kepadanya semasa hidup.

Selama 80 tahun perubahan-perubahan yang dibawa Ataturk bertahan dan sehingga kini, Turki masih lagi tidak menamakan sebarang agama sebagai agama rasmi negara mereka.

Untunglah, sinar Islam boleh kembali menapak di bumi Turki - selepas pemerintahan di Turki bertukar tangan pada tahun 2002 menerusi kemenangan parti AKP yang diketuai Recep Tayyip Erdogan.

Menerusi agenda yang mahu mengembalikan semula sistem pemerintahan Uthmaniyah kini digelarkan 'Neo-Ottoman', Erdogan dilihat berusaha memperkenalkan semula elemen Islami yang telah dipadamkan semasa zaman Ataturk.

Namun kerosakan yang telah dilakukan Ataturk mendapat tentangan masyarakat Turki yang sudah terpecah dua pandangannya.

Satu pihak bersetuju untuk kembali kepada sistem masyarakat Islam sebelum naiknya Ataturk.

Di pihak satu lagi, mereka  berpegang kepada apa yang Ataturk perkenalkan serta percaya Islam tidak perlu wujud dalam sistem sosial masyarakat mereka - agar Turki terus kekal sekular sebagai sebuah negara yang moden dan terkenal di mata dunia.


Artikel ini adalah terjemahan artikel asal How Atatürk Made Turkey Secular




Hakcipta iluminasi.com (2017)