Pada tahun 1963 di kawasan Nevsehir, Turki, seorang pemilik yang rumah ingin mengubahsuai rumahnya. Selepas salah satu dindingnya diketuk, beliau mendapati ada ruang di belakang dinding itu yang sepatutnya dipenuhi tanah. Ini membuatkan perasaan pelik mula menerjah minda beliau. Selepas dinding itu diruntuhkan, dia mendapati ada satu bilik di belakang dinding itu. Bilik itu pula bersambung dengan beberapa puluh ruangan lain, yang tidak diketahui berapa jauh keluasannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pemilik rumah itu tidak menyangka sama sekali, dia telah menemui bandar bawah tanah Derinkuyu, yang telah lama hilang lebih satu ribu tahun dahulu.

Struktur bandar Derinkuyu

peta derinkuyu

Menurut pengkaji arkeologi, Derinkuyu telah dibina beribu tahun lamanya oleh penduduk asal kawasan tersebut. Dibina menggunakan teknik unik, bahan binaan struktur Derinkuyu semuanya dibuat menggunakan tanah berbatu yang lembut yang digelarkan 'tufa'.

Tufa yang terbentuk daripada gabungan pasir, batu kecil dan abu gunung berapi bersifat lembut yang mudah dibentuk dan cukup kuat untuk menampung sesuatu struktur apabila keras. Penduduk asal tempat tersebut bukan sahaja membina penempatan di bahagian bawah tanah, mereka juga mula membina rumah-rumah menggunakan tufa di atas permukaan tanah dan lereng-lereng bukit.

Dengan kedalaman lebih 60 meter bawah tanah, Derinkuyu adalah bandar bawah tanah paling dalam di Tukri setakat ini serta mampu menempatkan anggaran 20 ribu individu di dalamnya dengan selesa, dibahagikan kepada 11 tingkat. Keluasannya pula dianggarkan 10.4 km persegi.Apa yang mengagumkan, sistem pengudaraan bandar ini cukup hebat. Derinkuyu mempunyai lebih 15 ribu ruang udara untuk memudahkan udara masuk yang mampu mengekalkan suhu bandar tersebut pada kadar 12°C setiap masa.

Bagi mendapatkan bekalan air, telaga-telaga telah pun dibina yang mampu diak ses dengan mudah pada setiap tingkat. Wujud satu terowong sepanjang 5 km yang menghubungkan Derinkuyu dengan sebuah bandar bawah tanah lain di kawasan bernama Kaymakli, yang membuktikan terdapat kerjasama yang terjalin di antara kedua-dua bandar ini pada zaman dahulu.

Sejarah Awal Derinkuyu

kawasan common area

Setakat ini, tidak ada lagi fakta tepat siapakah pembina asal bandar tersebut pada mulanya. Pelbagai teori dikeluarkan bagi menjawab persoalan-persoalan yang ada, berikutan ketiadaan cara untuk mengukur usia sebenar bandar misteri ini.

Rekod paling awal yang wujud berkenaan kawasan Cappadocia di mana Derinkuyu terletak, menunjukkan yang Cappadocia sudah wujud pada abad ke 6BC dengan nama Cappadocians ada dicatatkan dalam Bible. Bagaimanapun, ada teori lain menyatakan kemungkinan orang-orang yang digelarkan Hitties membina bandar tersebut kerana ancaman orang-orang Phyrgian pada tahun 14BC.

Bagaimanapun, teori paling popular menyatakan kemungkinan Derinkuyu benar-benar siap dibina pada abad ke 7 atau ke 8 semasa zaman Byzantine sebagai kawasan perlindungan akibat peperangan di antara orang Arab dan Byzantine pada tahun 780CE, dengan penemuan artifak-artifak yang dianggarkan wujud sekitar 500CE ke 1000CE.

Kebangkitan kerajaan Ottoman di Turki pada abad ke 13 menjadikan bandar bawah tanah seperti Derinkuyu terus menjadi tempat persembunyian penduduk yang melarikan diri daripada pemerintah kerajaan Islam pada waktu itu.

Bandar bawah tanah terus digunakan sehinggalah abad ke 20 apabila kerajaan Turki dan kerajaan Greece melakukan pertukaran penduduk beragama Islam dan Kristian, menyebabkan bandar bawah tanah yang kerap digunakan sebagai tempat persembunyian ditinggalkan begitu saja apabila penduduk bandar yang rata-ratanya beragama Kristian, berpindah ke Greece.

Pengkaji masih belum dapat memastikan secara tepat pada abad ke berapakah Derinkuyu kali terakhir berpenghuni.

Sistem keselamatan Derinkuyu yang moden

pintu roda gergasi halang penceroboh

Oleh kerana bandar ini kerap dijadikan tempat persembunyian akibat perang atau ancaman pemerintah mengikut zaman, struktur bandar Derinkuyu dibina untuk mementingkan faktor keselamatan penduduk di dalamnya.

Pintunya diperbuat daripada batu berbentuk bulatan bersaiz besar yang hanya boleh dibuka dan ditutup dari bahagian dalam. Pada setiap pintunya pula diadakan satu lubang yang membolehkan mereka yang di dalam mengenalpasti keadaan di luar ataupun dipercayai juga digunakan untuk memanah penceroboh yang ingin masuk ke kawasan itu.

Setiap tingkat hanya boleh diakses menggunakan tangga yang agak sempit. Laluan yang menghubungkan tingkat ke tingkat pula dibina dengan saiz yang hanya mampu memuatkan seorang individu dewasa jadi musuh terpaksa bergilir-gilir untuk menceroboh, yang memudahkan pertahanan dilakukan.

Derinkuyu ketika ini

pintu masuk ke derinkuyu sekarang

Bandar bawah tanah Derinkuyu dibuka kepada pengunjung untuk melawatnya, menerusi pintu masuk yang telah pun dibina semula agar memudahkan orang memasukinya. Menurut rekod, walaupun ada 18 tingkat bandar ini hanya 8 tingkat sahaja dibuka atas faktor keselamatan pengunjung.

Sekiranya anda berminat untuk melawat bandar bawah tanah ini, pastikan anda melantik pemandu yang boleh membantu anda dalam navigasi bandar ini kerana tidak wujud sebarang papan tanda diletakkan.

Dalam 8 tingkat yang dibuka, anda akan turun pada kedalaman 100 meter dari permukaan, untuk melihat sendiri bagaimana penduduk Derinkuyu satu masa dulu mampu hidup. Bilik storan, telaga, dapur, gereja, bilik mesyuarat, tempat pesalah ditahan dan beberapa jenis bilik lain lagi dibuka, dihubungkan dengan terowong serta tangga yang mampu membuatkan sesiapa yang mengalami fobia tempat sempit, takut.

Adakah ada di antara pembaca Iluminasi pernah sampai ke sana? Sekiranya anda pernah ke sana, kongsikan pengalaman anda kepada kami ya?

Rujukan

Captivating Cappadocia




Hakcipta iluminasi.com (2017)