Kita semua sudah tahu apa yang berlaku di antara hubungan dua negara Islam paling kaya di dunia iaitu Qatar dan Arab Saudi. Tetapi adakah kita faham apa sebenarnya punca sehinggakan hubungan Qatar dan negara-negara sekutunya menjadi sebegini rupa? Berikut adalah kronologi peristiwa hubungan di antara Qatar dan jiran mereka yang diharapkan dapat membantu anda memahami hubungan antarabangsa mereka yang amat menarik untuk dibaca.
BESARKAN TEKS A- A+
1971
Qatar mendapat kemerdekaan daripada United Kingdom dan mula menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara Arab. Qatar menjadi antara negara terawal menyertai kesatuan OPEC dan antara negara pengasas kepada penubuhan Gulf Corporation Council atau GCC
1991
Qatar dan Bahrain menyelesaikan persengketaan mereka terhadap tuntutan Pulau Hawar, bandar Zubara, Pulau Janan dan beberapa terumbu karang di International Court of Justice. Qatar berjaya menuntut bandar Zubara dan Pulau Janan sementara Bahrain mendapat Pulau Hawar.
1992
Berlaku kematian 3 orang selepas Qatar mendakwa Arab Saudi menyerang sempadan mereka di Khafus. Bagaimanapun, Arab Saudi mendakwa kejadian itu berlaku di sempadan negara mereka.
1995
Sheikh Hamad bin Khalifa menggulingkan ayahnya untuk menjadi Emir Qatar yang baru, tanpa berlaku pertumpahan darah ketika ayahnya, Sheikh Khalifa bin Hamad al-Thani sedang bercuti di Switzerland. Ayahnya tidak kembali ke tanah air dan tinggal di Eropah sehingga tahun 2004.
1996
Kerajaan Qatar menubuhkan siaran televisyen berpengaruh Al-Jazeera sebagai satu badan penyiaran bebas. Pada tahun yang sama, Qatar dan Arab Saudi menandatangani perjanjian sempadan yang dilakukan bagi mengekalkan keamanan ketika perbincangan diteruskan.
2000
Putera Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz memboikot persidangan OIC yang diadakan di Doha atas hubungan perdagangan yang wujud di antara Qatar dan Israel. Saudi mendakwa dengan mengekalkan hubungan Israel, Qatar hilang kelayakan untuk menjadi tuan rumah kepada OIC kerana membenarkan Israel membuka pejabat di Qatar.
2002
Arab Saudi memanggil semula duta mereka dari Doha selepas kontroversi yang muncul di siaran Al-Jazeera yang memaparkan pihak yang mengkritik pimpinan keluarga di-raja Saudi secara terbuka.
2006
Saudi menarik balik kebenaran kepada kerajaan Qatar yang diberikan pada 2003 untuk membina saluran minyak yang akan merentasi Arab Saudi hingga ke Kuwait, berdasarkan perjanjian di antara Qatar dan Kuwait, Qatar sebagai negara pengeksport.
2008
Selepas 6 tahun duta Saudi di Qatar dipanggil balik, Qatar dan Arab Saudi mencapai kata sepakat dalam masalah isu sempadan di antara kedua-dua mereka. Hubungan diplomatik kedua-dua negara dipulihkan pada Mac 2008 dan kedua-dua negara bersetuju untuk mempertingkatkan hubungan di antara mereka.
2010
Sheikh Hamad bin Khalifa Al-Thani mengampunkan beberapa orang rakyat Saudi yang terlibat dalam usaha menggulingkan kerajaan Qatar, selepas permintaan itu dilakukan oleh Raja Abdullah.
2011
Arab Spring yang mengubah lanskap politik negara-negara Arab menjadi permulaan kepada perbezaan pendapat di antara Qatar dan Arab Saudi. Kedua-dua negara dilihat menyokong pihak yang bertentangan dan Qatar secara amnya, menyokong usaha Arab Springs.
2013
Emir Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa Al-Thani menyerahkan kuasa kepada anaknya Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani. Pada November 2013, beberapa negara Arab termasuk Qatar mencapai perjanjian untuk tidak mengamalkan campur tangan dalam urusan politik dalam negara jiran mereka.
2014
Saudi, UAE dan Bahrain menggantung hubungan mereka dengan Qatar selepas Qatar secara terbuka menyokong gerakan Muslim Brotherhood yang dilabelkan sebagai pengganas oleh Saudi dan UAE, yang membuatkan perjanjian mereka pada 2013 terbatal. Stesyen televisyen Al-Jazeera juga menjadi kontroversi kerana didakwa gemar menyampaikan agenda yang melanggar perjanjian sesama mereka.
Selepas 8 bulan, duta Saudi, UAE serta Bahrain kembali diletakkan di Qatar walaupun hubungan di antara negara-negara tersebut tetap bermasalah.
2015
Qatar serta 4 negara lain diketuai oleh Saudi mengambil langkah untuk memulihkan semula kerajaan Yemen yang ditumbangkan oleh pemberontak Al-Houthi yang didakwa oleh pihak mereka, didanai oleh kerajaan Iran.
Satu laporan media pula membongkar kerjasama kerajaan UAE menggunakan khidmat penasihat dari United Kingdom sejak 2010 untuk menyerang kerajaan Qatar sebagai negara yang menyokong keganasan teroris melalui media.
2017
Pada 24 Mei, satu laporan tersiar dalam agensi berita Qatar berkenaan sokongan pemerintah Qatar terhadap Hamad dan Hezbollah tersebar serta sokongan mereka terhadap kerajaan Iran. Qatar menafikan dakwaan tersebut dan memberitahu penggodam telah melakukan serangan ke atas agensi berita mereka. Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammad bin Abdul Rahman Al-Thani berkata yang mereka menjadi mangsa serangan media yang kebanyakannya berpunca dari Amerika Syarikat.
26 Mei, Menteri Luar Kuwait bertemu dengan pemerintah Qatar untuk menjadi orang tengah dalam rundingan untuk memulihkan hubungan di antara Qatar dan negara-negara GCC serta meminta penjelasan Qatar berkenaan hubungan Qatar dengan Iran dan kumpulan-kumpulan Islamis.
UAE mengeluarkan pendapat tanpa menamakan Qatar secara terbuka, supaya Qatar mengubah pendirian dalam memastikan kerjasama di antara mereka kembali berada dalam keadaan baik.
3 Jun, Menteri Luar Bahrain, Khalid bin Ahmad Al-Khalifa mendapati akaun Twitter beliau digodam oleh penggodam Qatar.
4 Jun, akaun email Duta UAE ke Amerika Syarikat, Yousef al-Otaiba digodam memaparkan wujudnya hubungan di antara Otaiba dan beberapa pihak pro-Israel di Washington yang ditugaskan untuk memburukkan imej Qatar dan Kuwait pada peringkat antarabangsa. Pendedahan tentang permintaan kerajaan UAE untuk memindahkan pengkalan tentera Amerika Syarikat dari Qatar ke UAE juga berlaku.
5 Jun, Arab Saudi, UAE, Bahrain, Yemen dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik dengan negara Qatar. Kerajaan Arab Saudi berjanji akan membenarkan jemaah haji dari Qatar masuk sementara semua warganegara Qatar diberi masa 2 minggu bermula pada tarikh tersebut untuk pulang ke Qatar. Qatar juga dikeluarkan dari pakatan ketenteraan yang sedang memulihkan kuasa di Yemen.
Menteri Luar Qatar menyatakan tindakan yang dilakukan tidak bersebab sehingga sampai memutuskan semua hubungan Qatar. Empat lagi negara kemudiannya mengambil langkah yang sama dalam memutuskan hubungan dengan Qatar - Mauritius, Mauritania, Maldvives dan Libya.
7 Jun - Menteri Luar UAE, Anwar Gargash menyifatkan tindakan kerajaan Qatar sebagai percubaan menunggang harimau yang ganas akibat daripada sokongan mereka terhadap gerakan-gerakan yang dilabelkan pengganas. Kerajaan UAE merasakan tidak ada apa lagi yang boleh dibincangkan selagi Qatar tidak menurut permintaan bekas sekutu mereka dalam GCC.
Berdasarkan kronologi yang dipersembahkan ini, marilah kita sama-sama berdoa yang air yang dicincang, tidak akan putus.