Secara rasminya, hampir kesemua negara-negara Arab yang menyertai Liga Arab di Asia Barat tidak mengiktiraf kedudukan dan kewujudan Israel, kecuali dua iaitu Jordan dan Mesir serta besar kemungkinan Emiriyah Arab Bersatu.

Atas kertas, begitulah yang tercatat namun politik dunia memerlukan pelbagai jenis perjanjian dilakukan sama ada secara terbuka mahupun sulit. Tarik tali antara kerajaan-kerajaan dunia dalam menjaga, melindungi dan memperluaskan pengaruh senantiasa berlaku sama ada kita sedar atau tidak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam isu Israel ini, kita di Malaysia, Indonesia dan Brunei syukurlah masih berpegang teguh bahawa Israel tidak perlu diiktiraf tetapi adakah negara dalam Liga Arab sependapat dengan kita? Bagaimana dengan negara Arab pula?

1. Oman

pemimpin arab dan pemimpin israel bersama

Kematian Sultan Qaboos bin Said pada bulan Januari tahun 2020 dilihat sebagai satu berita sedih untuk kerajaan Israel.

Ini kerana Sultan Qaboos yang telah memerintah Oman sejak tahun 1970 telahpun memulakan usaha untuk memperbaiki hubungan antara negara Arab khasnya negara beliau, dengan Israel.

Sultan Qaboos dipuji oleh pemimpin-pemimpin pro-Israel sebagai individu yang luar biasa kerana kesungguhannya menjalin hubungan dengan Israel secara tidak rasmi serta menjauhkan diri daripada membincangkan isu Palestin.

Pada bulan Oktober 2018, Allahyarham Sultan Qaboos bertindak berani menjemput Benjamin Netanyahu dan isterinya ke negara beliau untuk kunjungan kali pertama, bagi membincangkan isu-isu berkaitan keamanan serantau serta kestabilan di Asia Barat.

Sultan Haitham yang naik menduduki takhta Oman baru saja mengumumkan pertukaran Menteri Luar negara itu, Yusuf bin Alawi - selepas perbualan antara Yusuf dan rakan sejawat beliau dari Israel, Gabi Ashkenazi berlaku pada 18 Ogos 2020.

2. Maghribi

persidangan negara arab israel

Daripada perspektif Maghribi, mereka sebenarnya sedang menghadapi dilema yang dicetuskan oleh permainan politik licik Israel.

Israel menerusi Benjamin Netanyahu beberapa tahun kebelakangan ini cuba melobi kerajaan Amerika Syarikat untuk menyokong kedudukan Maghribi di beberapa kawasan barat Gurun Sahara yang bergolak - asalkan Maghribi bersetuju untuk mengiktiraf Israel!

Bahagian barat Sahara sehingga kini masih menjadi rebutan di antara kerajaan Maghribi dengan kumpulan Polisario Front, selepas kumpulan tersebut memperjuangkan kemerdekaan mereka dari Sepanyol di lokasi tersebut sejak tahun 1975.

Konflik itu berlanjutan sehingga kini tanpa penyudah disebabkan oleh usaha pemberontakan bagi menubuhkan negara baru yang dinamakan Republik Sahrawi.

Pada bulan Februari tahun 2020, media Israel melaporkan pertemuan sulit yang diadakan antara Menteri Luar Maghribi, Nasser Bourita dengan Benjamin Netanyahu yang didakwa (oleh Israel) membincangkan tentang langkah-langkah normalisasi awal bagi pembentukan hubungan diplomasi awal antara kedua buah negara.

3. Bahrain

israel yahudi zionis arab hubungan

Salah sebuah negara 'mesra' Israel secara tidak rasmi. Bahrain dan Israel berkongsi seteru serupa iaitu Iran. Apatah lagi selepas Bahrain mula secara terbuka menyatakan sokongan ke atas beberapa siri tindakan diambil Israel terhadap seterunya.

Dalam laporan awal tahun 2019, Bahrain dan Israel dikatakan sudah bersetuju untuk mewujudkan hubungan diplomatik pada tahun 2017, dikepalai oleh Menteri Luar Bahrain Khalid bin Ahmed.

Sokongan kuat beliau kepada Israel dikritik beberapa pihak dalam kerajaan Bahrain sendiri selepas Khalid direkodkan mengadakan pertemuan di Washington, Amerika Syarikat bersama rakan sejawatnya (ketika itu) Israel Katz.

Tidak diketahui apa sebabnya Khalid bin Ahmed digantikan pada bulan Januari 2020. Banyak pihak mendakwa pertukaran beliau yang sudah menjawat jawatan itu selama 15 tahun ada kaitannya dengan sentimen pro-Israel beliau.

Khalid bin Ahmed adalah satu-satunya pemimpin Bahrain yang terbuka mempertahankan hak kedaulatan Israel serta hak untuk Israel mempertahankan kedudukan mereka, dalam peperangan.

Selepas UAE mengumumkan persetujuan mengiktiraf Israel, negara zionis itu mengumumkan kemungkinan bahawa Bahrain akan menuruti langkah serupa. Apakah langkah Bahrain seterusnya selepas ini?

4. Sudan

adakah arab berbaik baik dengan israel

Pada bulan Februari tahun 2020, dalam ertemuan antara Benjamin Netanyahu dan Pengerusi Badan Kedutaan Sudan, Abdel Fattah Burhan yang diadakan di Uganda, kedua-dua buah kerajaan dikatakan mencapai persetujuan untuk menjalinkan hubungan awal secara formal.

Pertemuan itu merupakan pertemuan pertama antara mana-mana pemimpin kedua-dua negara, sejak Sudan merdeka pada tahun 1956.

Dalam perkembangan terbaru bertarikh 19 Ogos 2020, kerajaan Sudan baru saja memecat jurucakap bagi Kementerian Luar Negeri mereka, Haidar Badawi selepas Haidar secara terbuka menyatakan persetujuan untuk Sudan dan Israel mencapai keamanan.

Kenyataan itu bagaimanapun dikatakan dibuat tanpa persetujuan kerajaan Sudan, dianggap tidak selari dengan dasar Sudan yang dipersetujui bersama. Walaupun begitu, Israel tetap meletakkan harapan tinggi agar kerjasama antara mereka dan Sudan masih dapat diteruskan.

5. Arab Saudi

raja salman baik tolak netanyahu israel zionis

Bagaimana pula hubungan Arab Saudi sebagai 'abang besar Liga Arab' dengan Israel? Kisah kerjasama antara kedua negara mempunyai beberapa desas-desus berbeza serta agak sukar untuk disahkan kesahihannya.

Dalam satu pembongkaran tahun 2017, Putera (ketika itu) Muhammad bin Salman dikatakan telah hadir ke Tel Aviv bagi mengaturkan siri-siri pertemuan beragenda membawa keamanan di Asia Barat.

Antara individu yang ditemui Muhammad ketika itu adalah Benjamin Netanyahu sendiri.

Kebanyakan penganalisis meramalkan isu terbesar yang dibincangkan dalam pertemuan sulit itu adalah isu Iran serta ancaman negara itu, kepada negara-negara Asia Barat dan Israel.

Beberapa ulasan juga menyifatkan sentimen anti Iran di kalangan negara Arab sebenarnya jauh lebih memuncak berbanding anti Israel, ekoran pertemuan dua negara tersebut.

Pada tahun 2019, Arab Saudi dilaporkan membeli teknologi perisian risikan dari Israel, pada harga $300 juta yang dilakukan secara terus diuruskan di London - walaupun kedua-duanya tidak mempunyai hubungan diplomatik.

Perkembangan terbaru berkait dengan apa yang telah berlaku antara UAE dan Israel disifatkan permulaan kepada perubahan besar, yang bakal mengubah lanskap politik Arab dan Israel.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dengan gembira menyatakan pandangan bahawa Arab Saudi berkemungkinan besar akan turut serta mengiktiraf Israel dalam melindungi kepentingan mereka.

Bagaimanapun Arab Saudi dilaporkan menyatakan keengganan untuk bersetuju dengan apa didakwa Trump.


Sekiranya anda rajin menelaah politik-politik dunia semasa, pasti anda akan nampak perubahan-perubahan kecil yang semakin lama semakin merenggangkan sentimen anti Israel di kalangan negara Arab.

Ada penganalisis politik berpendapat sesuatu yang besar sudah pasti akan berlaku, seandainya negara-negara Arab sanggup bersatu bersama Israel. Apa yang menarik perhatian, semuanya akan kembali menuju kepada satu negara sahaja iaitu Iran.

Apa pandangan anda terhadap perubahan tersebut?




Hakcipta iluminasi.com (2017)