Sistem sempadan antarabangsa dan juga politik dunia banyak menyebabkan pergolakan demi pergolakan berlaku, disebabkan oleh perebutan kuasa melibatkan pihak-pihak pemerintah yang cuba menamakan diri mereka sebagai tuan punya sesuatu kawasan atau wilayah, secara rasmi.

Hasil daripada konflik yang tercetus, akhirnya yang bakal menjadi mangsa pastilah di kalangan orang ramai yang terpaksa menanggung sekatan atau kekangan yang dikenakan - atau lebih teruk, terpaksa hidup dalam situasi peperangan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kami sudah menulis tentang negara Transdniestria yang wujud namun tidak diiktiraf kewujudannya atas beberapa sebab tertentu. Hari ini, mari kita belajar tentang lima lagi negara yang mempunyai kedudukan serupa - wujud tetapi tidak diiktiraf kewujudannya.

1. Republik Demokratik Arab Sahrawi

rakyat republik arab sahrawi

Republik Sahrawi merupakan sebuah negara yang tertubuh selepas pengisytiharan secara sendiri, yang terletak di bahagian barat Gurun Sahara yang kini adalah sebahagian daripada wilayah di bawah negara Maghribi. Pada ketika ini, kerajaan ini dikuasai oleh parti yang dinamakan sebagai Polisario Front, berkuasa di kawasan itu sejak tahun 1976.

Pada awal kemerdekaannya, kerajaan Sahrawi berjaya mendapatkan pengiktirafan lebih 80 buah negara namun bermulanya tahun 90-an, kebanyakan negara yang sebelum itu menyokong - mula menarik balik pengiktirafan mereka, memilih untuk menerima kerajaan Maghribi sebagai tuan punya wilayah itu yang sebenar.

Sehingga kini status tuntutan kerajaan tidak rasmi Republik Sahrawi masih belum selesai, dengan pihak Sahrawi mahu Maghribi mengiktiraf wilayah mereka sementara Maghribi pula menganggap Republik Sahrawi menceroboh dan menduduki wilayah di bawah pemerintahan mereka.

2. Republik Ossetia Selatan

south ossetia wanita

Pasti ramai tidak pernah mendengar kewujudan negara ini. Dikenali dengan nama Republic of South Ossetia atau Yuzhnaya Osetiya, Republik Ossetia merupakan sebuah negara tidak diiktiraf yang menuntut wilayah mereka daripada kerajaan Georgia. Wilayah yang mereka duduki terletak di kawasan pergunungan Banjaran Caucasus, melibatkan kaum Ossetes sebagai majoritinya.

Mempunyai penduduk seramai 53,000 orang, sejarah negara ini bermula sejak era 1980-an apabila gerakan pemberontakan Ossetia Selatan bergabung tenaga dengan gerakan Ossetia Utara-Alania, bagi menuntut kemerdekaan. Banyak disokong oleh kerajaan Russia pada awal pembentukannya, pada tahun 1993 draf perlembagaan negara tidak rasmi itu dibentuk dan perlantikan presiden dibuat pada tahun 1996.

Usaha rundingan damai berjalan perlahan, dengan Georgia terpaksa berhadapan dengan gerakan Ossetia Selatan yang diiktiraf Russia, menyebabkan perang dingin di antara Georgia dengan Ossetia serta Russia berlangsung sehingga ke saat ini.

3. Republik Turki Cyprus Utara

orang cyprus utara

Tidak diiktiraf di seluruh dunia, satu-satunya negara yang menerima kewujudan negara Republik Cyprus Utara adalah negara Turki. Mempunyai sejarah panjang selepas menjadi wilayah rebutan dua negara iaitu Turki dan Cyprus, kejayaan Cyprus Utara yang dibantu tentera Turki berjaya membebaskan wilayah itu daripada taklukan kerajaan Cyprus.

Namun kesan daripada perang yang berlaku pada tahun 1974 itu memaksa ramai penduduk khasnya mereka yang berketurunan Greek diusir keluar, membolehkan Cyprus Utara mula diduduki etnik berketurunan Turki.

Populasi Cyprus Utara datang daripada orang Cypriot Turki, beragama Islam serta menggunakan bahasa Turki sebagai bahasa rasmi mereka. Berikutan sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas mereka, kebanyakan kegiatan ekonomi Cyprus Utara banyak bergantung dengan sahabat karib mereka, Turki sebagai rakan import dan eksport paling penting.

4. Republik Abkhazia

rakyat abkhazia sekarang

Mengisytiharkan kemerdekaan negara mereka pada tahun 1999, Republik Abkhazia atau Abkhaziya juga merupakan sebahagian daripada wilayah bergolak yang terletak di dalam negara Georgia. Sama seperti Ossetia Selatan, Abkhazia turut sama mendapat sokongan kuat negara Russia sebagai sekutu utama mereka, menawarkan bantuan ketenteraan dan pertahanan kepada negara tidak rasmi itu.

Dengan populasi hanya sekitar 240,000 orang penduduk, perang di antara kerajaan Georgia dengan puak pemisah Abkhazia berlaku pada tahun 1992 hingga tahun 1993, mengakibatkan Georgia hilang kawalan ke atas wilayah tersebut - walaupun secara rasminya masih terletak di bawah pemerintahan mereka.

Apa yang menyedihkan, Republik tidak rasmi ini dibangunkan dengan pertumpahan darah secara besar-besaran, melibatkan pembersihan etnik orang-orang Georgia yang enggan meninggalkan rumah mereka selepas Abkhazia merampas wilayah itu. Dianggarkan seramai 8 ke 10,000 orang Georgia dibunuh dengan lebih 250,000 lagi dipaksa berpindah.

5. Republik Somaliland

orang somaliland

Sekiranya empat negara tidak rasmi di atas sekurang-kurangnya ada negara lain mengiktiraf kewujudan negara tersebut, lain pula kisahnya bagi kerajaan Republik Somaliland yang menjadi satu-satunya kerajaan serta negara di dunia yang tidak diiktiraf mana-mana pihak.

Sejarah wilayah ini sangat panjang, bermula sejak abad ke 14 dengan penubuhan banyak kerajaan Islam melibatkan komuniti Somali, namun kedatangan penjajah British seterusnya Itali mengubah sistem negara mereka. Pada tahun 1960, British memberikan persetujuan untuk mengiktiraf penubuhan sebuah kerajaan Somali dengan penggabungan bersama wilayah Somali di bawah jajahan Itali.

Pada 1 Julai 1960, kedua-dua koloni itu berjaya digabungkan menjadi Republik Somali sebelum perbezaan pandangan memaksa perlembagaan negara itu dirangka semula kerana dikatakan terlalu mengutamakan permintaan penduduk Somali utara. Ini mengakibatkan pihak tentera yang cenderung kepada kepentingan Somali selatan merampas kuasa pada tahun 1969 - mengambil alih tampuk pemerintahan sehingga ke tahun 1990.

Sehingga kini di Somalia, wujud dua negara berbeza dengan negara yang diiktiraf di seluruh dunia adalah Somalia sementara sebuah lagi negara adalah Somaliland, kerajaan tidak rasmi di utara yang percaya tuntutan kemerdekaan yang dijanjikan British sebelum itu sah untuk mereka menubuhkan negara sendiri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)