Oleh pada 13 Feb 2022 kategori

Keadaan di Ukraine ketika ini semakin tegang apabila 100,000 tentera negara jiran mereka iaitu Rusia berada di sempadan negara itu. Pemimpin dunia pula dilihat terbang masuk dan keluar dari ibu negeri Kyiv, berharap dapat mencapai penyelesaian kepada krisis pencerobohan Rusia.

Situasi ini adalah yang paling getir dalam sejarah 30 tahun Ukraine yang terperangkap dalam persengketaan antara Rusia dan Amerika Syarikat serta sekutu Eropahnya. Ukraine yang dilihat membelakangi Rusia dan menyokong perikatan Barat seperti NATO dan Kesatuan Eropah kini berhadapan dengan ujian terbesar mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah garis masa bagaimana Ukraine berada dalam keadaan getir pada hari ini.

1990-an: Kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet

Protes anti-komunis melanda Eropah Tengah dan Timur yang bermula di Poland sehingga ke seluruh negara Kesatuan Soviet. Pada Januari 1990, lebih daripada 400,000 rakyat Ukraine berganding bahu berpegangan tangan membentuk human chain sepanjang 400 batu sambil mengibarkan bendera kuning biru yang telah diharamkan pemerintah Soviet.

ukraine human chain

Malah, pihak berkuasa Ukraine yang baru juga memanggil semula tentera mereka yang menyertai Kesatuan Soviet dan mengundi untuk menutup loji nuklear di Chernobyl yang terletak di utara negara itu.

Pada 24 Ogos 1991, parlimen Ukraine mengisytiharkan kemerdekaan mereka buat kali kedua dan meraikan tarikh itu sebagai Hari Kemerdekaan mereka. Kesatuan Soviet dibubarkan pada 26 Disember tahun yang sama dan pada tahun 1992, Ukraine mula menjalinkan hubungan rasmi dengan NATO walaupun belum menyertai perikatan itu. 

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, Ukraine ditinggalkan dengan simpanan nuklear ketiga terbesar di dunia. Melalui perjanjian yang dipanggil Memorandum Budapest, Ukraine bersetuju untuk menukar semua senjata nuklear sebagai jaminan perdamaian antara tiga penandatangan bersama iaitu A.S, UK dan Rusia.

Dari tahun 1994 hingga 2004, Presiden Leonid Kuchma berjaya membantu peralihan Ukraine daripada sebuah republik Soviet kepada negara kapitalis dengan menswastakan perniagaan dan menambah baik peluang ekonomi antarabangsa. 

2000-an : Hubungan goyah antara Barat dan Rusia

Pilihan raya presiden untuk menggantikan Kuchma diadakan di antara Viktor Yanukovych (dipilih oleh Leonid Kuchma sendiri) dan disokong oleh Presiden Rusia Vladimir Putin, menentang pemimpin pembangkang yang popular dan pro-demokrasi iaitu Viktor Yushchenko.

viktor yushchenko

Viktor Yushcenko sebelum dan selepas didakwa diracun

Ketika penghujung kempen pilihan raya, Yushchenko tiba-tiba jatuh sakit dan disahkan oleh doktor bahawa dia telah diracun. Vkctor Yanukovych memenangi pilihan raya itu walaupun dituduh melakukan penipuan. Rakyat Ukraine mengadakan bantahan secara besar-besaran yang dikenali sebagai Orange Revolution.

Setelah melakukan pengundian buat kali ketiga, Viktor Yushchenko memperolehi kemenangan dan menjadi Presiden Ukraine ketiga setelah negara itu bebas daripada Kesatuan Soviet.

Pada tahun 2008, Presiden Yushchenko dan Perdana Menteri Tymoshenko telah memohon agar Ukraine menjadi anggota pertubuhan NATO. Presiden Amerika Syarikat ketika itu, George W. Bush, menyokong pernyertaan Ukraine tetapi Perancis dan Jerman menolak setelah Rusia menyatakan ketidakpuasan hati dengan tindakan itu.

Pada 1 Januari 2009, syarikat gas asli milik kerajaan Rusia iaitu Gazprom tiba-tiba berhenti mengepam gas ke Ukraine setelah rundingan mengenai harga bahan mentah itu gagal. Bahkan, beberapa negara Eropah lain yang bergantung pada saluran paip melalui Ukraine turut terjejas berikutan krisis itu.

Krisis itu selesai setelah Perdana Menteri Tymoshenko membuat rundingan baru dengan Vladimir Putin dan gas kembali disalurkan pada 20 Januari tahun yang sama.

2014 : Revolusi Maidan 

Viktor Yanukovych yang kalah pada 2004 telah memenangi pilihan raya presiden pada tahun 2010 dan dilantik menjadi presiden Ukraine yang baru. Dia menyatakan bahawa Ukraine perlu menjadi 'negara berkecuali' dan bekerjasama dengan kedua-dua pihak iaitu Rusia dan Barat.

  perdana menteri ukraine tymoshenko

Perdana Menteri Tymoshenko ketika dibicarakan di mahkamah

Pada tahun 2011, Yanukovych telah menyiasat bekas Perdana Menteri Tymoshenko atas tuduhan salah guna kuasa dalam rundingan krisis gas dengan Rusia. Tymosheko didapati bersalah dan dihukum penjara selama tujuh tahun dan keputusan itu dilihat Barat sebagai penyalahgunaan kuasa oleh Yanukovych.

Pada tahun 2014, Yanukovych tidak mahu menandatangani perjanjian dengan Kesatuan Eropah dengan alasan mendapat tekanan daripada Rusia. Keputusan itu mencetuskan bantahan besar-besaran sejak Orange Revolution.

Atas arahan Yanukovych, pihak berkuasa mula menyerang penunjuk perasaan yang berhimpun di Maidan Square dan bangunan kerajaan sehingga menyebabkan lebih 100 orang terkorban. Sementara itu, Yanukovych melarikan diri ke Rusia.

Keadaan itu menyebabkan parlimen Ukraine menyingkirkan Yanukovych sebagai presiden dan menubuhkan kerajaan interim. Mereka memaklumkan akan menandatangani perjanjian Kesatuan Eropah dan membebaskan bekas Perdana Menteri Tymoshenko dari penjara.

2014 : Pengilhakan Crimea dan Konflik Donbas

Rusia menganggap perubahan itu sebagai rampasan kuasa haram. Hampir serta-merta, pasukan bersenjata muncul di semenanjung Crimea yang merupakan salah satu sempadan Ukraine-Rusia. Putin pada mulanya menafikan mereka adalah tentera Rusia tetapi kemudian mengakuinya.

konflik donbas

Setelah ditawan tentera Rusia, perlimen Crimea mengundi untuk berpisah dari Ukraine dan menyertai Rusia. Putin memuktamadkan pengilhakan Crimea dalam pengumuman pada 18 Mac 2014 kepada parlimen Rusia.

Sebagai tindak balas, A.S dan sekutu di Eropah mengenakan sekatan ke atas Rusia dan tidak mengiktiraf pengilhakan Crimea. Ia adalah satu-satunya perubahan sempadan negara Eropah sejak Perang Dunia II.

Sejak itu, ketegangan antara Ukraine-Rusia semakin meningkat. Pertempuran antara tentera Rusia dan Ukraine berlaku sehingga ke hari ini terutamanya di wilayah Donbas. Walaupun beberapa perjanjian damai telah dibuat, ia tidak dapat menghentikan keganasan yang berlaku.

Rusia juga berterusan menyerang Ukraine dalam beberapa siri serangan siber termasuklah ke atas grid kuasa pada 2016 dan 2017 sehingga menyebabkan blackout besar-besaran. Serangan siber dari Rusia masih berterusan sehingga hari ini.

2021 : Krisis semakin meruncing

Rusia menghantar kira-kira 100,000 tentera ke sempadan Ukraine kononnya untuk latihan tentera. Presiden Volodymyr Zelensky yang dilantik pada 2019 menggesa NATO untuk menerima keahlian Ukraine sebagai ahli persatuan itu. 

volodymyr zelensky 938

Presiden Ukraine yang terkini, Volodymyr Zelensky, adalah seorang bekas pelakon dan pelawak

Walaupun Presiden A.S iaitu Joe Biden komited menyokong Ukraine dan mengutuk serangan Rusia tetapi dia berulang kali mendakwa bahawa negara itu belum mempunyai kelayakan yang cukup untuk menyertai NATO.

Pada Disember 2021, Presiden Biden melalui panggilan telefon bersama Putin menggesa agar Rusia tidak menyerang Ukraine dan memberi amakan akan ada 'kesan' jika ia diteruskan. Sementara itu, Putin pula meminta agar NATO mengharamkan Ukraine daripada menjadi ahli mereka jika mahu tentera Rusia berundur.

2022 : Di ambang peperangan

Januari 2022: Pemimpin dan diplomat dari A.S, Rusia dan negara Eropah bertemu berulang kali untuk mengelakkan krisis. Pada awal Januari, Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergei Ryabkov, memberitahu bahawa Rusia tidak mempunyai rancangan untuk menyerang Ukraine.

Namun, ketegangan yang masih tinggi menyebabkan pihak kerajaan mengarahkan kakitangan semua kedutaan meninggalkan Ukraine pada 23 Januari. Pada keesokan harinya, NATO telah menempatkan pasukannya termasuk tentera A.S seramai 8,500 orang.

macron dan putin

Presiden Rusia, Vladimir Putin (kiri) dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron

Februari 2022: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dan Chanselor Jerman, Olaf Scholz, telah mengembara ke Moscow dan Kyiv untuk berunding. Sementara itu Presiden Joe Biden menambah lagi 1,000 tentera di Romania dan 2,000 tentera di Poland.

Pada 10 Februari, Rusia dan Belarus menempatkan kira-kira 30,000 lagi tentera di sepanjang sempadan utara Ukraine bagi tujuan latihan. 

Pada keesokan harinya pada 11 Februari, A.S dan U.K menggesa rakyatnya di Ukraine untuk meninggalkan negara itu dan tidak akan menghantar sebarang bantuan menyelamat sekiranya tercetusnya peperangan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)