attun palalin askar jepun terakhir 665

Pada tahun 1943 Attun Palalin salah seorang penduduk peribumi Pulau Taiwan dari suku Amis berusia 25 tahun, dikerah untuk menyertai Pasukan Sukarelawan Takasago tentera Jepun.

Ketika era tersebut, Taiwan telah dikuasai oleh kerajaan Jepun mengakibatkan Jepun mampu bertindak sewenang-wenangnya mengerah tenaga rakyat Taiwan, bagi tujuan perkembangan kuasa mereka di Asia Tenggara.

Disebabkan kesukaran untuk berkomunikasi, ketua Attun dalam tentera Jepun mendaftarkan dirinya dibawah nama panggilan 'Teruo Nakamura', serta memanggilnya dengan gelaran 'Suunio.'

'Suunio' diterbangkan bersama angkatan perang Jepun dari Taiwan ke Pulau Morotai, salah sebuah pulau dalam Kepulauan Maluku di India Timur Belanda (kini Indonesia) pada tahun 1944 - bagi mempertahankan kedudukan Jepun di pulau tersebut.

Hanya menguasai dan memahami asas bahasa Cina dan Jepun sebagai perantaraan komunikasi, Suunio dibawa merantau jauh tanpa mampu benar-benar mempersiapkan dirinya.

Digempur, diserang dan melarikan diri

takasago volunteer corps

Pada bulan Ogos tahun 1944 hampir dua bulan selepas Suunio mendarat ke Morotai - pasukan angkatan tentera Bersekutu disertai askar Amerika Syarikat dan Australia tiba di pulau tersebut bagi memulakan pertempuran.

Bilangan mereka yang besar seramai lebih 50,000 orang dibantu kelengkapan lebih baik memudahkan pasukan tentera Bersekutu merampas kedudukan Jepun di Morotai, yang hanya dipertahankan 500 orang tentera termasuklah Suunio.

Suunio dan skuadnya melarikan diri selepas pertempuran selama lebih 2 minggu, berselindung di kawasan-kawasan hutan terpecah antara satu sama lain dalam kumpulan-kumpulan kecil.

Suunio yang kelam-kabut menyelamatkan diri hanya sempat membawa bekalan asas disediakan tentera Jepun; sepucuk senapang dengan 20 peluru, topi keledar, pisau, sebuah periuk kecil dan cermin.

Setelah beberapa hari menyembunyikan diri, Suunio serta beberapa orang lagi ahli skuadnya menemui satu lokasi yang dirasakan sesuai untuk berlindung.

Mereka membina sebuah pondok kecil, mula memburu serta bercucuk tanam bagi mendapatkan makanan dengan harapan situasi akan reda dan mereka tidak ditemui pihak musuh.

Diisytiharkan mati oleh kerajaan Jepun

japan setuju menyerah kalah

Pada 2 September tahun 1944, tentera Jepun menyerah kalah menamatkan perang dunia kedua.

Rekod-rekod petugas yang terlibat dalam peperangan disemak semula. Suunio serta skuadnya yang gagal dikesan diisytiharkan telah terbunuh dalam pertempuran di Morotai, direkodkan secara rasmi pada 13 November 1944.

Berita sedih itu disampaikan kepada isteri dan ahli keluarganya di Taiwan, diterima dengan sebak tanpa mereka tahu suami dan ayah mereka masih hidup dalam hutan cuba bertahan.

Suunio serta beberapa orang ahli skuadnya selamatk meneruskan hidup sehinggalah dekad 1950-an, sebelum ada yang cuba membawa diri keluar dari hutan. Mereka yang memilih untuk kekal, mula meninggal dunia seorang demi seorang.

Sehinggalah tinggal Suunio berseorangan di pondok kecil yang telah mereka dirikan, terus menantikan petunjuk atau khabar berita tentang apa yang telah berlaku agar dia boleh kembali ke Taiwan.

Hidup di luar sejarah dunia

wajah suunio filem warna

Republik Indonesia selamat ditubuhkan pada bulan Ogos 1945, membolehkan Indonesia membentuk kerajaan sendiri.

Negara itu melalui perubahan besar dari era pemerintahan Presiden Sukarno sehinggalah kejatuhannya lalu digantikan dengan kebangkitan Orde Baru Indonesia di bawah pemerintahan Presiden Suharto.

Semua itu berlaku di luar pengetahuan Suunio.

Dia meneruskan hidup di lokasi yang sama, kekal dengan corak hidup berburu serta bertani sambil sekali-sekala mencuri barangan milik penduduk kampung terdekat demi kelangsungan hidup.

Tindakan nekad itu akhirnya berjaya dikesan sekitar bulan November 1974, apabila ada penduduk kampung nampak kelibat seorang lelaki separa bogel berkeliaran berdekatan kampung.

Laporan terus dibuat kepada badan kerajaan yang memulakan misi pencarian besar-besaran kerajaan Indonesia terhadap 'lelaki aneh' tersebut.

Masih terus beranggapan perang belum berakhir

perang morotai indonesia

Misi pencarian 30 jam berakhir selepas petugas Indonesia yang terbang di udara, menemui lokasi Suunio.

Semasa pasukan pencari hadir ke pondoknya, Suunio sedang memotong kayu di luar pondoknya. Terkejut besar mereka menemui seorang tentera Jepun yang masih lagi beranggapan perang belum berakhir, hidup sekian lama bersendirian lebih 30 tahun.

Semua itu berlaku hanya kerana satu kebetulan. Lokasi pondok Suunio terletak tidak jauh dari radius sebuah pengkalan udara yang dibina selepas itu, membuatkan Suunio tersalah anggap perang Jepun dengan tentera bersekutu masih berlanjutan.

Kapal terbang yang melintas di atas kepalanya hari demi hari membuatkan dirinya yakin perang sedang mencapai kemuncak, serta dibebani rasa takut bakal menjadi mangsa serangan ekoran statusnya sebagai tentera Jepun.

Wakil kedutaan Jepun terus hadir ke lokasi secepat mungkin bagi menyelamatkan beliau, lalu dia dibawa ke Jakarta untuk diperiksa tahap kesihatannya.

Melalui perbincangan di antara wakil kerajaan Indonesia, Jepun dan Taiwan, Suunio ditawarkan pampasan yang akan dibayar Jepun serta bakal diterbangkan pulang di bawah perlindungan suaka ke Jepun.

Namun Suunio menolak permintaan tersebut. Dia memohon agar dia dibenarkan pulang ke tanah asalnya Taiwan; yang pada ketika itu juga telah melalui perubahan pesat apatah lagi apabila melibatkan keluarganya yang telah lama ditinggalkan.

Kembali ke Taiwan

pertemuan dengan anak dan bekas isteti

Pada bulan Januari tahun 1975 Suunio atau Attun Palalin selamat mendarat di Taiwan, disambut bekas isterinya yang telahpun bernikah dengan lelaki lain serta anak sulungnya (gambar atas).

Kedua ibu bapanya telah meninggal dunia. anak-anak Suunio pula hanya tinggal dua orang masih hidup.

Pada zaman tersebut, kesemua ahli keluarganya sudah mula mengadaptasi nama mereka kepada nama Cina ekoran perubahan sistem pemerintahan yang berlaku, jadi media Taiwan mula merujuk Suunio sebagai Lee Guang-Hui.

Bekas isteri serta suami barunya bersetuju untuk berpisah bagi membolehkan Suunio kembali menyambung rumahtangga mereka yang terputus, namun Suunio enggan mengganggu gugat kebahagiaan yang telah dikecapi mereka berdua.

Jadi dia memilih untuk meneruskan hidup bersendirian dibantu wang pampasan yang diterima, membeli sebuah pangsapuri kecil agar boleh menetap berdekatan ahli keluarga yang telah lama terputus hubungan.

Perubahan yang berlaku pada hidupnya selepas lebih 30 tahun hidup keseorangan, memang cukup sukar untuk diterima Suunio/Attun.

Attun Palalin/Lee Guang-hui/Teruo Nakamura atau Suunio meninggal dunia 4 tahun kemudian pada 15 Jun 1979 akibat penyakit kanser paru-paru, terus dikenanga dalam lipatan sejarah menjadi askar Jepun terakhir menyerah diri selepas 30 tahun tamatnya perang yang disertai tanpa kerelaannya.



Hakcipta iluminasi.com (2017)