Seluruh dunia kini tertumpu pada krisis yang berlaku di Ukraine. Seperti yang sedia maklum, Rusia menempatkan ratusan ribu tenteranya di sempadan Ukraine dan telah mula menyerang negara yang mempunyai populasi seramai 43 juta itu.

Tindakan Rusia itu mendapat bantahan daripada Amerika Syarikat dan sekutunya di Eropah yang merupakan ahli NATO. North Atlantic Treaty Organization (NATO) adalah pakatan ketenteraan antara 28 negara Eropah dan dua negara Amerika Utara yang ditubuhkan selepas Perang Dunia II pada 4 April 1949.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991, Ukraine telah menjalinkan hubungan rasmi dengan NATO setahun kemudian. Namun, negara itu tidak diterima menjadi ahli NATO walaupun masih merayu sehingga ke hari ini.

Jika Ukraine adalah ahli NATO, perikatan itu bertanggungjawab untuk mempertahankannya daripada Rusia dan musuh lain. Berikut adalah beberapa sebab mengapa NATO masih tidak menerima Ukraine sebagai ahli mereka.

1. Amerika semakin ragu-ragu untuk memperluaskan komitmen ketenteraannya

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat berjaya menggesa NATO untuk menerima Poland, Hungary dan Republik Czech sebagai ahli pada lewat 1990-an.

nato

Namun, selepas dua dekad berperang di Iraq dan Afghanistan, pakar berkata bahawa semangat Amerika untuk mengembangkan perikatan NATO menjadi semakin perlahan. Pada tahun 2004, 7 negara Eropah Timur menyertai NATO.

Pada tahun 2008 pula, Presiden George W. Bush telah menggesa NATO untuk menerima Ukraine dan Georgia sebagai ahli tetapi pakatan itu tidak pernah menawarkan pelan tindakan rasmi atau langkah-langkah yang perlu dilakukan kedua-dua negara itu untuk menjadi ahli. 

Pada tahun 2014, Presiden Amerika Joe Biden yang ketika itu merupakan naib presiden telah menimbulkan kemarahan rakyat Ukraine dalam lawatannya ke negara itu apabila memberitahu bahawa jika ada sokongan ketenteraan sekalipun, ia hanyalah bantuan kecil sahaja.

Biden turut mendakwa bahawa Amerika bukan lagi dalam era Perang Dingin dengan Rusia dan tiada apa yang Putin (Presiden Rusia) boleh lakukan secara ketenteraan untuk menggugat atau mengubah kepentingan Amerika secara asas.

2. Ukraine perlu memperbaiki sistem politik dan undang-undangnya

Untuk memenuhi salah satu daripada tiga kriteria utama menjadi ahli NATO, negara Eropah itu mestilah menunjukkan komitmen terhadap demokrasi, kebebasan individu dan sokongan terhadap kedaulatan undang-undang.

ukraine 2022

Walaupun Ukraine mengatakan bahawa mereka telah mencapai kriteria itu, beberapa pemimpin Amerika dan Eropah yang lain berpendapat sebaliknya.

Dalam analisis pada tahun 2020 oleh Transparency International iaitu sebuah badan pemerhati antirasuah, Ukraine berada pada kedudukan ke-117 daripada 180 negara pada indeks rasuah dan paling rendah daripada mana-mana negara NATO.

Ukraine digesa supaya membuat peralihan yang lebih baik kepada sistem demokrasi, menangani masalah rasuah, pembaharuan ekonomi dan kestabilan demokrasi sebelum diterima menjadi ahli NATO.

3. Bekas Presiden Ukraine pernah menolak NATO

Tidak semua pemimpin Ukraine berusaha keras untuk menyertai NATO dan ia telah menyebabkan pendekatan Amerika terhadap mereka berubah-ubah.

viktor yanukovych dan vladimir putin

Bekas Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych (kiri) dan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Bekas Presiden Viktor Yushchenko (2005-2010) dari parti pembangkang yang pro-demokrasi pernah memohon agar Ukraine menjadi ahli perikatan NATO. Namun, rakyat Ukraine menjadi keberatan selepas Rusia menyerang Georgia pada tahun 2008.

Pada tahun 2010, Yushchenko digantikan dengan Presiden Viktor Yanukovych yang pro Rusia dan mempunyai hubungan baik dengan Presiden Vladimir Putin. Yanukovych menggugurkan sebarang usaha untuk menjadi ahli NATO malah membenarkan Rusia untuk terus menggunakan pelabuhan Laut Hitam di sempadan negara itu di Crimea.

Amerika juga pernah menggalakkan Ukraine untuk menandatangani perjanjian rasmi dengan Kesatuan Eropah daripada cuba menyertai NATO. Namun, Presiden Yanukovych menolak tawaran itu sehingga dia digulingkan dan melarikan diri ke Rusia pada tahun 2014.

4. Tidak mendapat sokongan penuh ahli NATO

Walaupun NATO berusaha memperkembangkan sayapnya dengan mengamalkan polisi "open door" untuk mana-mana negara menyertainya, ia bukanlah semudah yang disangka.

setiausaha agung nato

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg

Selain mempunyai kelayakan dan kriteria yang telah ditetapkan, penyertaan sesebuah negara ke dalam pakatan NATO perlulah mendapat persetujuan sebulat suara daripada semua ahlinya terutamanya dari negara berkuasa besar.

Pada masa yang lalu, negara berkuasa besar yang merupakan ahli NATO seperti Perancis dan Jerman pernah menentang kemasukan Ukraine ke dalam perikatan itu. Ia merupakan kriteria ketiga untuk Ukraine menjadi ahli NATO iaitu mendapat persetujuan daripada kesemua 30 negara ahlinya.

5. Takut dengan tindak balas Rusia

Walaupun perikatan NATO bertanggungjawab dan berjanji akan mempertahankan ahlinya daripada serangan musuh, mereka tetap berhati-hati terhadap implikasi dalam setiap langkah yang dilakukan. Tambahan pula, kali ini mereka berhadapan dengan kuasa besar seperti Rusia.

putin naik kuda

Setelah menjajah sempadan Crimea di antara Ukraine dan Rusia, Rusia telah memberi bantuan ketenteraan kepada pihak pemberontak di sana. Ia adalah perkara yang sama mereka lakukan di Georgia pada tahun 2008.

Ia merupakan mesej yang jelas bahawa jika kedua-dua negara ini (Ukraine dan Georgia) menyertai NATO, Amerika Syarikat dan sekutu Eropahnya terpaksa bergelut dengan pihak pemberontak yang secara langsung mendapat sokongan Rusia.

Walaupun mempunyai 30 ahli, NATO tahu bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya berperang dengan Rusia. Rusia bukan sahaja memiliki ketenteraan yang besar dan sokongan kuat dari sekutunya tetapi juga mempunyai kepentingan besar yang lain seperti gas asli.

Tidak lama selepas Ukraine memohon untuk menyertai NATO, berlakunya krisis apabila Rusia yang merupakan pembekal utama gas asli berhenti mengepam gas ke Ukraine. Ia turut menyebabkan beberapa lagi negara Eropah yang bergantung kepada paip gas Ukraine terputus bekalan.

Selain itu, Rusia turut disokong kuat oleh beberapa negara seperti China, Korea Utara, Cuba dan Venezuela yang telah lama bermusuhan dengan Amerika Syarikat. Ia adalah keputusan yang buruk untuk berperang dengan Rusia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)