falsafah perang daulat cina china art of war

China sudah diketahui ramai cuba meluaskan pengaruh mereka khasnya di kawasan-kawasan sekitar Laut China Selatan; melibatkan negara-negara Asia termasuklah negara kita.

Gerakan China yang tersusun ada kalanya bersifat lembut, tetapi ada juga ketikanya tampak seakan-akan agresif dalam menunjukkan kuasa. Mempunyai kekuatan ekonomi sebagai tunjang utama kuasa mereka, China sedar kelebihan yang mereka ada.

Namun disebalik kelebihan besar itu, China tidak boleh secara terbuka melakukan tindakan sesuka hati dalam menundukkan musuh yang perlu ditundukkan. Apakah taktik yang mereka guna pakai ketika ini?

Kita semua pasti pernah mendengar tentang Kitab falsafah peperangan The Art of War karya Sun Tzu yang berusia ribuan tahun, tetapi terus menjadi rujukan utama taktik peperangan sehingga kini.

Dalam zaman moden, kerajaan China menggunakan 'China Three Warfares' atau 'tiga falsafah perang China' yang menjadi tulang belakang gerakan China dalam zaman moden.

Memahami konsep kedaulatan China

china three warfares

Untuk faham tentang tiga falsafah perang China, kita perlu melihat terlebih dahulu bagaimana China memandang konsep kedaulatan sesebuah kuasa.

Falsafah yang dipegang oleh masyarakat China sejak beribu tahun lamanya mempercayai bahawa sesuatu kedaulatan yang berjaya dibentuk, perlulah kekal tunggal tanpa ada kuasa lain yang mampu menggugatnya.

Falsafah ini banyak terkandung dalam dalam ajaran Confucius, mendidik bahawa kedaulatan sesuatu pihak hanya sah seandainya dia tiada pesaing lain. Tidak wujud konsep perkongsian atau pembahagian kuasa secara saksama atau sama rata; kedaulatan hanya diyakini wujud dengan cara menjadi pemegang kuasa utama.

Inilah yang disimpulkan dalam buku The Mind of Empire : China History and Modern Foreign Relations; menyimpulkan falsafah ini dengan satu ringkasan mudah :

"Sekiranya sesebuah kuasa itu ada kuasa lain yang setanding dengannya, dia tidak layak menganggap dirinya berdaulat."

Konsep kedaulatan China ini bagaimana dianggap tidak relevan selepas gerakan penjajahan kolonial barat membawa konsep perkongsian kuasa di negara-negara jajahana, memperkenalkan sistem demokrasi serta hak kerakyatan sama rata pada semua.

falsafah perang china

Badan-badan ciptaan barat seperti penubuhan PBB, Bank Dunia, Mahkamah Antarabangsa dan pelbagai lagi badan lain juga dianggap negatif oleh China; kerana tindakan sebegitu dianggap mencemar dan menggugat naratif kedaulatan mereka.

Bagi China untuk diiktiraf mempunyai kedaulatan, mereka perlu meletakkan diri mereka sebagai kuasa mutlak tanpa ada pihak setandingnya.

Oleh kerana itulah tiga falsafah perang China ini dibentuk khas; untuk menangani ancaman Amerika Syarikat yang dilihat China sebagai ancaman utama kepada konsep kedaulatan mutlak pegangan masyarakat mereka.

Pelancaran 'San Zhong Zhanfa'

tentera pla china

Pada tahun 2003, kerajaan China menerusi jawatankuasa ketenteraan mereka melancarkan falsafah 'san zhong zhanfa' atau 'The Three Warfares', menjadi nadi utama peluasan pengaruh China seterusnya membolehkan mereka menyingkirkan Amerika Syarikat sebagai kuasa utama dunia.

Tiga konsep utama itu dipecahkan mengikut kaedah pelaksanaan, ideologi dan taktik yang dirasakan perlu dalam menangani semua kekangan yang ada dalam mencapai impian besar mereka.

Cabang pertama faslafah itu dilabelkan sebagai 'Operasi Psikologi Strategik' di mana pihak dan badan dalam China perlu mewujudkan situasi 'pra-konflik' bagi menekan lawan, sama ada melalui kaedah diplomatik, ekonomi dan juga kebudayaan tanpa benar-benar mencipta seteru secara terbuka.

Cabang kedua falsafah ini dilabelkan sebagai 'Operasi Manipulasi Media' di mana China haruslah menguasai media, sama ada dalam format berita, siaran formal atau tidak formal, sosial media, mempunyai penguasaan ke atas selebriti, tokoh, ikon dan sebagainya; agar mereka boleh membantu perang persepsi yang akan menyumbang kepada faedah positif bagi membantu menaikkan China.

Yang terakhir adalah 'Operasi Eksploitasi Undang-Undang,' di mana China akan mencari titik kelemahan dalam undang-undang negara lawan agar boleh dijadikan penyebab atau pemboleh, bagi membenarkan China perlu atau terpaksa campur tangan dalam urusan, sama ada melibatkan peringkat antarabangsa atau domestik.

Dalam strategi ini, China dilaporkan turut berhasrat mahu memanfaatkan sepenuhnya kekeliruan yang berjaya diwujudkan khasnya apabila melibatkan undang-undang antarabangsa, bagi memberi ruang untuk China menyerang dengan diplomatik dan mampu mempertahankan diri sekiranya dicabar.

Tiga falsafah ini mempunyai pelbagai peringkat pelaksanaan, disokong oleh badan-badan yang dilantik khas untuk memenuhi semua strategi yang ada.

Semua perancangan 'The Three Warfares' diuruskan sepenuhnya oleh divisyen yang dilabelkan sebagai GPD/LD dalam tentera PLA China, dipecahkan kepada empat agensi berbeza yang memikul satu matlamat tertentu.

Satu agensi ditubuhkan bertugas khas untuk 'menyerang' Taiwan bagi memudahkan China mengambil alih semula negara itu. Satu pihak ditugas untuk menguruskan semua operasi melibatkan hubungan antarabangsa antara China dan negara lain.

Satu pihak ditugaskan untuk menguruskan semua penerbitan dan pengeluaran propaganda yang sinonim dengan formula 'The Three Warfares' dan badan yang terakhir pula bertanggungjawab menguruskan semua hal ehwal berkaitan taktik untuk meluaskan penguasaan China ke atas sempadan antarabangsa.

Mengusir Amerika Syarikat daripada Asia Tenggara

china sebagai kuasa baru dunia

Satu kawasan yang dijadikan keutamaan dalam memastikan China menjadi kuasa utama dunia, adalah kawasan Asia Tenggara di mana Amerika Syarikat masih lagi agak kuat pengaruhnya.

Atas sebab itu negara-negara Asia Tenggara yang menguasai Laut China Selatan dianggap bakal memainkan peranan utama dalam kejayaan China menghalau keluar Amerika Syarikat. Hanya dengan 'bantuan' negara-negara seperti Filipina, Indonesia, Brunei dan negara kita, barulah China dapat melemahkan pengaruh Amerika Syarikat di sini.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan ke atas negara-negara terlibat serta 3 falsafah yang dipegang China, jelas sekali gerakan mereka sudah lama dimulakan dengan teliti.

China beberapa tahun kebelakangan ini telah melakukan beberapa kali pencerobohan ke atas kawasan perairan negara-negara Laut China Selatan, dalam usaha menampakkan kekuatan mereka sebagai pelindung baru Asia Tenggara dan juga benua Asia.

Selainitu, China juga kerap menggunakan taktik halus menekan kerajaan-kerajaan negara Asia Tenggara menerusi tawaran-tawaran pembangunan serta pinjaman segera yang bakal mempercepatkan proses pembangunan negara membangun, seperti negara kita, Filipina, Myanmar, Thailand dan sebagainya.

Kita juga tidak boleh lari daripada gerakan propaganda yang direka untuk menaikkan imej positif China di mata rakyat negara ini, kerana rancangan itu giat dijalankan bagi membina persepsi baik kita terhadap China.

Kami yakin ramai sebenarnya petugas dari China menyamar dalam media sosial dan forum tempatan kita, membantu memperbaiki persepsi serta memujuk agar kita terbuka untuk tidak lagi menyimpan stigma terhadap China sebagai kuasa baru dunia.

Asia untuk orang Asia?

hubungan malaysia china

Apa yang jelas ketika ini, tiga falsafah perang moden yang diterap dalam gerakan strategik China boleh dikatakan berjaya menyusup masuk, kerana gerakan licik ini sangat sukar dikesan.

China juga bijak hanya menggunakan peluang yang ada seperti titik lompong dalam kelemahan pengurusan kerajaan atau ketidak tentuan masyarakat dalam meluaskan pengaruh; tanpa benar-benar boleh didakwa dan dituduh cuba untuk menimbulkan konflik diplomatik.

Sebagai contoh, tindakan kerajaan China membina binaan di kawasan-kawasan kepulauan yang dituntut merupakan satu tindakan tidak patut dilakukan tetapi dalam isu tersebut, realitinya tidak ada sesiapa pun boleh mengambil tindakan ke atas apa yang berlaku kerana kawasan itu tiada tuannya yang sah.

Nampak bagaimana China mempergunakan kelemahan undang-undang antarabangsa di situ? Itu adalah hasil falsafah ketiga perang moden China yang dieksploitasi sebaik mungkin.

Dalam kes-kes unik lain seperti apa yang berlaku di Filipina, China mampu bertindak lebih berani kerana kedudukan Filipina sebagai sekutu utama Amerika Syarikat perlu dipecahkan terlebih dahulu.

Tekanan diplomatik cara keras yang mereka kenakan pada Filipina itu diaharap akan membuatkan negara-negara Asia Tenggara beralih menjadikan China sekutu utama, memenuhi visi 'Asia perlu dijaga oleh orang Asia' terus dicanang sehinggalah China mencapai visi kedaulatannya sebagai kuasa tunggal dunia yang tiada lagi setaranya.

Rujukan

China and the ‘Three Warfares’

CHINA: THE THREE WARFARES (PDF)



Hakcipta iluminasi.com (2017)