Oleh pada 11 Mar 2022 kategori

Seperti yang diketahui umum, seluruh dunia kini sedang tertumpu kepada krisis yang berlaku di antara Rusia dan Ukraine. Ketegangan di antara kedua-dua negara yang bermula sejak Februari 2014 itu mencapai kemuncaknya apabila Rusia melancarkan serangan berskala penuh ke atas Ukraine pada 24 Februari 2022.

Tidak dinafikan bahawa perang yang meletus ini akan memberi kesan terutamanya kepada penduduk Ukraine. Namun, tahukah anda bahawa seluruh dunia juga mengalami kesan akibat krisis kedua-dua negara ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kesan yang dimaksudkan ialah dari segi hubungan diplomatik dan ekonomi. Serangan ke atas Ukraine dan sekatan yang dikenakan Barat ke atas Rusia sedikit sebanyak akan mempengaruhi beberapa bahan penting dalam pasaran. Berikut adalah beberapa barang yang mengalami kenaikan harga mendadak akibat krisis ini.

1. Bahan makanan

gandum

Sejak awal tahun 2022, harga gandum yang didagangkan di Amerika Syarikat telah melonjak kira-kira 12% manakala jagung pula meningkat sebanyak 14%. Inflasi makanan  akan menjadi lebih teruk jika meletusnya konflik bersenjata seperti krisis Rusia-Ukraine.

Tambahan pula, Rusia dan Ukraine merupakan antara pengeluar besar gandum dan jagung dalam pasaran dunia. Kedua-dua negara itu dianggarkan menyumbang sebanyak kira-kira 30% daripada pasaran eksport gandum global. Ini bermakna, hampir satu pertiga daripada eksport gandum mungkin terjejas akibat krisis ini.

Kenaikan harga gandum dan jagung ini akan lebih memberi kesan kepada negara-negara yang menjadikannya sebagai bahan utama dalam makanan ruji mereka. 

Akibat gangguan bekalan gandum dari rantau Laut Hitam berikutan krisis Rusia-Ukraine, eksport gandum dari Perancis diharap dapat memenuhi permintaan tinggi gandum dari negara-negara Kesatuan Eropah yang lain. 

2. Gas asli

gas asli 568

Gas asli merupakan salah satu sumber tenaga utama di negara Barat dan Eropah. Untuk pengetahuan anda, Rusia adalah pembekal gas asli terbesar kepada negara-negara Kesatuan Eropah iaitu sebanyak 40% dan merupakan pembekal kedua terbesar dunia.

Amerika Syarikat telah mencadangan kepada sekutunya untuk mengadakan sekatan ke atas minyak daripada Rusia sebagai hukuman kerana pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Namun, Jerman dan Netherlands telah menolak cadangan itu. Ini berikutan ugutan Rusia untuk menghentikan bekalan gas asli ke Eropah jika Amerika dan sekutunya meneruskan sekatan ke atas minyak Rusia.

Jika Rusia menyekat bekalan gas asli mereka, negara-negara Kesatuan Eropah akan mengalami kenaikan mendadak harga bekalan gas berikutan permintaan tinggi bekalan dari luar.

3. Minyak

minyak

Rusia merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar dunia selepas Amerika Syarikat dan Arab Saudi. Bekalan minyak dari Rusia menyumbang kepada 10% eksport global. Namun, negara-negara Kesatuan Eropah menerima sehingga 30% bekalan minyak daripada Rusia.

Jika Amerika Syarikat dan United Kingdom meneruskan niat mereka untuk menyekat minyak daripada Rusia, harga pasaran minyak dunia boleh meningkat dua kali ganda.

Selain petroleum, harga minyak masak juga akan mengalami peningkatan ketara. Ukraine ialah pengeluar dan pengeksport minyak bunga matahari terbesar dunia dengan bahagian pasaran global sebanyak 47% manakala Rusia pula sebanyak 29.9%.

Minyak matahari merupakan minyak sayuran ketiga paling banyak didagangkan selepas minyak sawit dan kacang soya. Gangguan bekalan daripada Rusia dan Ukraine akan menyebabkan harga minyak sayuran lain meningkat.

Malaysia merupakan pengeksport minyak sawit kedua terbesar global selepas Indonesia. Baru-baru ini, harga Minyak Sawit Mentah (MSM) negara buat pertama kalinya mencecah harga RM8,000/tan berikutan gangguan bekalan minyak masak akibat krisis Rusia-Ukraine. 

4. Logam

logam

Salah satu lagi barangan yang dijangka akan mengalami peningkatan harga mendadak dalam pasaran dunia adalah logam. Ukraine dan Rusia merupakan penyumbang besar dalam pasaran logam global.

Kejatuhan mata wang Ukraine dan sekatan ekonomi terhadap Rusia akan menyebabkan harga logam seperti tembaga, nikel, platinum, aluminium dan paladium meningkat dengan mendadak.

Bahan-bahan logam ini merupakan bahan penting dalam penghasilan barangan elektronik, alat ganti kenderaan dan penghasilkan besi keluli. Rusia memiliki 10% daripada rizab nikel dan platinum dunia yang diperlukan dalam penghasilan bateri kereta elektronik yang semakin mendapat permintaan.

Industri cip Amerika Syarikat sangat bergantung kepada neon yang dieksport Ukraine. Sementara itu, Rusia juga mengeksport beberepa elemen penting lain dalam industri pembuatan semikonduktor, enjin jet, kereta dan perubatan.

Peningkatan bahan utama dalam penghasilan mikrocip ini akan menyumbang kepada kenaikan harga barangan elektronik seperti telefon pintar, televisyen, komputer dan banyak lagi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)