Pada 7 November 1983, sekitar 100 orang pegawai tentera berpangkat tinggi berkumpul di ibu pejabat Pertubuhan Perjanjian AtlanĀtik Utara (NATO) di Brussels untuk 'bertempur' dalam Perang Dunia Ketiga. Simulasi tahunan yang diberi nama kod "Able Archer" itu dimulakan pada penghujung konvensyen latihan ketenteraan besar-besaran "Autumn Forge" yang melibatkan puluhan ribu tentera NATO dari seluruh Eropah.
BESARKAN TEKS A- A+
Able Archer 83 mula diwujudkan ketika Perang Dingin berada dalam keadaan yang tegang. Hubungan antara Pakatan Warsaw dan negara-negara beraliran NATO adalah sangat tidak baik ketika itu. Pada awal tahun yang sama, Presiden AS Ronald Reagan telah melabelkan Kesatuan Soviet sebagai "Empayar Jahat" manakala pada bulan September pula, beberapa juruterbang Soviet telah menjunamkan Korean Airlines 747 yang mengorbankan 269 penumpang kerana disangka jet pejuang Amerika Syarikat yang membuat serangan.
Sementara itu, kedua-dua belah pihak sedang dalam proses menyiapkan dan memasang senjata nuklear jarak sederhana, termasuklah senjata peluru berpandu krus yang berpangkalan di Greenham Common di selatan England. Senjata-senjata ini boleh menghapuskan sasaran dalam masa hanya lima minit selepas dilancarkan. Dunia ketika itu berada di ambang peperangan nuklear yang maha dahsyat.
Menurut senario fiksyen di sebalik latihan perang Able Archer 83, rusuhan dan kegawatan di Timur Tengah menyebabkan berlakunya tekanan kepada bekalan minyak pihak Soviet manakala Yugoslavia yang tidak menyebelahi mana-mana pihak memilih untuk memberikan sokongan kepada pihak Barat. Pemimpin-pemimpin Soviet berasa khuatir keadaan ini akan menyebabkan Eropah Timur juga akan turut berubah arah meninggalkan Pakatan Warsaw dan menyebelahi NATO yang akan mengakibatkan keseluruhan sistem komunis terjejas.
'Peperangan' yang dibayangkan itu bermula apabila kereta kebal Soviet memasuki sempadan Yugoslavia. Kemudian mereka mula mencerobohi Scandinavia sebelum tentera mereka membanjiri Eropah Barat. NATO terpaksa menyerah kalah kerana bilangan tentera mereka yang terlalu ramai. Beberapa bulan selepas konflik 'lakonan' ini dimulakan, kerajaan dari Barat mula memberikan kebenaran untuk menggunakan senjata nuklear.
Tentera NATO memainkan peranan dengan melancarkan peluru berpandu jarak sederhana yang mampu melenyapkan Kiev, Ukraine dari peta dunia. Ia dijadikan sebagai amaran olok-olok bahawa NATO juga bersedia untuk mencetuskan peperangan yang lebih besar. Pihak Barat beranggapan bahawa 'isyarat amaran' ini akan membuatkan keadaan menjadi reda, namun ia tidak berjaya.
Pada 11 November 1983, meriam-meriam nuklear mula dikeluarkan. Hampir kebanyakan negara dalam dunia musnah. Berbilion orang tidak berdosa terkorban dan berakhirlah tamadun manusia.
Latihan yang hampir mencetuskan "Perang Dunia Ketiga"
Selesai 'peperangan' itu, komander-komander NATO pulang ke rumah dan mengucapkan tahniah sesama sendiri kerana menyelesaikan simulasi yang dianggap berjaya dan agak membuka mata. Namun begitu, pihak kerajaan dari Barat hanya sedar setelah beberapa ketika bahawa latihan Able Archer 83 itu telah begitu hampir mencetuskan perang nuklear yang sebenar.
Menurut Nate Jones, Ketua Pengarah Projek Akta Kebebasan Maklumat dari Arkib Keselamatan Negara Washington, terdapat banyak bukti di peringkat atasan ketenteraan Soviet yang menunjukkan mereka mengalami kesukaran mengenal pasti sama ada peperangan itu hanyalah sebuah latihan ataupun serangan sebenar. Pasukan projek yang diketuai Jones telah mengumpulkan dokumen yang mengesahkan pihak Soviet benar-benar cemas dengan isyarat serangan nuklear dari Barat.
Pejabat Arkib Keselamatan Negara yang berpangkalan di George Washington University mempunyai ribuan fail dan berkotak-kotak dokumen. Setiap rak penuh dengan maklumat sulit yang sebolehnya mahu dirahsiakan banyak kerajaan. Jones telah mengambil masa bertahun-tahun mengumpulkan maklumat berkaitan Able Archer 83 sebelum didedahkan.
Pada permulaan kerjayanya, Jones sering diketawakan dan diejek bahawa dia tidak akan berjaya menjumpai apa-apa maklumat kerana kesemuanya dirahsiakan. Selepas 12 tahun memfailkan permohonan kebebasan maklumat, membuat aduan, mengejar dan mengumpulkan pelbagai sumber, usahanya membuahkan hasil.
Penemuan dokumen "The Soviet War Scare"
Jones berjaya memperolehi dokumen setebal 109 muka surat yang dikeluarkan pada tahun 1990 oleh Badan Penasihat Risikan Asing Presiden AS bertajuk "The Soviet War Scare" yang mempunyai beberapa seksyen pendek yang telah disulitkan. Namun dokumen itu mempunyai rekod terperinci tentang kesan dan akibat yang tidak disengajakan daripada Able Archer 83. Anda boleh baca sendiri laporan tersebut di sini.
Tidak seperti latihan-latihan sebelumnya, Able Archer 83 menggunakan komunikasi sulit dan tempoh senyap radio. Kerahan tentera juga dilakukan di bahagian darat manakala beberapa pangkalan tentera udara AS juga melakukan latihan senjata dengan bergerak keluar dari tempat simpanan kapal terbang menggunakan kepala ledak palsu yang realistik.
Hasil risikan yang dijalankan beberapa bulan selepas latihan perang tersebut, laporan tahun 1990 itu menyiasat respon pihak Soviet. Ini termasuklah menghentikan semua operasi penerbangan, memindahkan senjata nuklear untuk persediaan sebelum digunakan serta menetapkan sasaran utama. Penekanan langkah-langkah pertahanan awam juga turut dilakukan. Kesemua ini belum pernah dibuat dan ia menunjukkan persiapan penuh menghadapi peperangan sebenar dan bukan sekadar raptai.
Kepimpinan kerajaan Soviet betul-betul mempercayai yang Able Archer bukanlah sebuah latihan namun penyamaran pihak Barat yang ingin membuat serangan nuklear pertama yang sebenar. Jadi, mereka bersiap sedia untuk membuat serangan balas. Menurut Jones, reaksi ketenteraan yang tidak dijangka dan tidak pernah terjadi itu adalah sangat menakutkan kerana pihak Barat tidak berniat untuk benar-benar membuat serangan.
Nate Jones dan pasukannya menyiasat ke akar umbi bagaimana pihak Soviet boleh menyalahtafsir latihan ketenteraan NATO yang dijalankan setiap tahun itu. Mereka mencari jawapan dengan merujuk kepada pelbagai sumber di Rusia termasuklah arkib KGB di Ukraine.
Mereka akhirnya berjaya menjumpai sebuah jurnal sulit ketenteraan Soviet dari tahun 1984 yang mengandungi analisis terperinci latihan Able Archer. Jelas, pihak Soviet berasa cemas dan panik dengan latihan itu.
Tentera Soviet yang dilaporkan paranoid
Pada tahun 1983, pemimpin tertinggi Soviet adalah Yuri Andropov iaitu bekas ketua KGB yang diangkat melalui kenaikan pangkat parti komunis. Walau bagaimanapun, tatkala menaiki takhta kepimpinan, dia jatuh sakit dan dikatakan menjadi sangat paranoid.
Menurut Martin Chalmers iaitu Timbalan Ketua Pengarah kumpulan pemikir keselamatan Royal United Services Institute (RUSI) yang berpangkalan di London, kepimpinan Soviet masih menghadapi trauma serangan mengejut Hitler pada tahun 1941 yang hampir melumpuhkan Kesatuan Soviet. Jadi, mereka beranggapan polisi ketenteraan Amerika Syarikat juga mengamalkan prinsip yang sama.
Pentadbiran tentera AS di bawah pimpinan Presiden Reagan juga tidak meyakinkan Soviet, malah keadaan menjadi lebih tegang apabila kapal laut AS sering berlabuh terlalu hampir dengan perairan Soviet dan jet pejuang yang menuju ke arah kawasan udara Soviet berpatah kembali hanya di saat-saat akhir. Dalam satu dokumen oleh Agensi Keselamatan Negara AS menjelaskan yang tindakan ini sengaja dibuat untuk mencetuskan paranoia dan menakut-nakutkan Soviet.
Sebuah dokumen turut merekodkan arahan Andropov kepada pegawai KGB : "Keutamaan nombor satu adalah mengelakkan serangan nuklear."
Pasukan operasi KGB ditugaskan untuk mengesan perkara ini dan memberikan laporan setiap dua minggu. Namun, disebabkan ketua mereka yang berada di Moscow terlalu taksub ingin mendengar berita mengenai potensi serangan pertama, jadi perisik-perisik ini akhirnya menyampaikan 'berita' tersebut untuk memuaskan hatinya.
Perisik-perisik KGB ini berada lebih hampir dengan Barat. Malah, kebanyakan daripada mereka tinggal di negara Barat dan tahu bahawa kerajaan di sana tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menyerang namun mereka tetap melaporkan apa yang 'diberitahu untuk dilaporkan.' Pejabat kerajaan di Moscow kemudian menerima laporan-laporan ini dan terus membuat kesimpulan sendiri. Sementara proses mengumpulkan hasil risikan berlangsung, latihan Able Archer 83 pula dilancarkan pada masa yang sama.
Pihak risikan Soviet bertindak secara tidak rasional dan menyebabkan sebuah kitaran yang sangat berbahaya sekali gus menunjukkan kelemahan sistem ketenteraan Soviet.
Pemimpin Barat juga dikecam kerana seolah-olah tidak memahami atau menyedari betapa bahayanya membuat simulasi peperangan dan serangan senjata nuklear sebegini. Menurut Jones, mereka kurang empati dan telah menyebabkan tekanan untuk berlumba-lumba membangunkan senjata nuklear yang terhebat. Latihan konvensional Autumn Forge itu sendiri dibuat di kawasan sempadan Soviet, ditambah pula dengan tekanan pelancaran senjata pemusnah. Maka, sudah pastilah ia berjaya membuatkan pihak Soviet tidak senang duduk.
Perjanjian 'aman' antara Amerika Syarikat dan Soviet
Walaupun laporan rahsia presiden AS berkaitan Able Archer 83 tidak pernah diterbitkan sehingga tahun 1990, hakikatnya beberapa bulan sahaja selepas latihan dijalankan, masalah-masalah yang timbul telah disampaikan kepada pasukan risikan British.
Kedua-dua Perdana Menteri Margaret Thatcher serta Presiden Reagan amat terkejut apabila mengetahui yang pihak Soviet benar-benar percaya bahawa mereka berdua telah 'meluluskan' serangan ke atas Soviet buat julung-julung kalinya.
Mujurlah keadaan tegang semakin reda beberapa bulan dan tahun kemudian. Malah, Presiden Reagan dan pemimpin Soviet baru iaitu Mikhail Gorbachev telah memulakan satu siri perjanjian gencatan senjata.
Able Archer 83 masih relevan sehingga ke hari ini dan bukan sekadar menjadi nota kaki yang kecil dalam rekod sejarah Perang Dingin. Retorik sekali lagi dihalakan antara Rusia dan Amerika Syarikat dengan kebimbangan penamatan perjanjian nuklear dunia.
Rusia, Amerika Syarikat dan China kini sedang memperbaharui senjata-senjata nuklear masing-masing. Kerajaan AS juga mendakwa bahawa Rusia telah melanggar perjanjian Intermediate-Range Nuclear Forces (INF) dengan membangunkan senjata peluru berpandu jarak sederhana. Akhirnya, Presiden Trump telah menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada perjanjian tersebut.
Adakah perang nuklear sebenar bakal muncul?
Menurut Chalmers, pemansuhan kawalan persenjataan akan mencetuskan kebimbangan di kedua-dua belah pihak kerana setiap satunya akan bersangka buruk terhadap pihak yang lain. Dikhuatiri juga akan wujud pihak-pihak ketiga yang sengaja membangkitkan kemarahan salah satu pentadbiran kerajaan.
Kebimbangan ini juga akan menyebabkan kedua-dua pihak bersiap sedia untuk melakukan sesuatu yang lebih dahsyat apabila krisis benar-benar berlaku.
Jika sesuatu krisis berlaku, risiko untuk berlaku salah faham adalah lebih tinggi. Kemungkinan peperangan yang lebih dahsyat daripada latihan Able Archer 83 juga boleh terjadi selagi senjata nuklear masih wujud.
Rujukan:
2. Guardian UK
3. Slate
4. BBC