Oleh pada 17 Nov 2019 kategori

Semasa meletusnya Perang Dunia Kedua, terdapat beberapa negara berkecuali atau neutral di mana mereka memilih untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak sama ada kuasa Paksi (Axis) seperti Jerman, Itali dan Jepun atau Sekutu (Allied) seperti Britain, Kesatuan Soviet dan Perancis.

Mereka memilih untuk menjadi neutral dengan harapan mengelak daripada diserang negara-negara yang sedang berperang. Namun, terdapat juga negara-negara yang tidak menyertai perang tetapi membekalkan bantuan tentera "sukarela" kepada kuasa paksi dan bersekutu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun cuba untuk kekal neutral, mereka juga tidak terkecuali daripada tempias perang yang berlaku. Berikut adalah beberapa negara berkecuali yang tidak menyokong mana-mana kuasa kerana pelbagai sebab.

Ireland

ireland 316

Semasa Perang Dunia II, kerajaan Ireland mengamalkan dasar berkecuali apabila permusuhan di Eropah bermula. Dasar ini kekal sepanjang tempoh peperangan walaupun kuasa Paksi dan Sekutu membuat beberapa serangan udara ke atas Ireland dan armada tentera lautnya.

Switzerland

switzerland 683

Switzerland memilih untuk menjadi berkecuali kerana ia bergantung kepada Jerman untuk arang batu dan bagi melindungi kepentingan perbankannya daripada dirampas kuasa paksi. Namun, ada kalanya tentera Swiss akan melepaskan tembakan ke atas pesawat kuasa paksi dan bersekutu yang cuba menyerang ruang udara mereka.

Walaupun berkecuali tetapi sesetengah bandar di Switzerland secara "tidak sengaja" telah dibom oleh kuasa Paksi dan Sekutu sepanjang Perang Dunia II. Selain itu, Switzerland telah mengukuhkan pertahanan mereka bagi mengusir sebarang pencerobohan. Keadaan pergunungan yang ekstrem juga membantu melindungi negara itu.

Turki

turki

Turki merupakan negara neutral semasa Perang Dunia II sehinggalah beberapa bulan sebelum perang berakhir apabila ia bergabung dengan kuasa Sekutu. Ini kerana Turki pernah menandatangani Perjanjian Bantuan Bersama dengan Britain dan Perancis pada 1939.

Ketika Perancis diserang Jerman, Turki kekal bersikap neutral kerana klausa yang menyatakan mereka tidak perlu campur tangan sekiranya boleh menjurus kepada permusuhan dengan USSR. Pada Jun 1941, Bulgaria memberi laluan kepada Jerman untuk menyerang Greece dan Yugoslavia apabila menyertai Axis.

Khuatir dengan nasib mereka, Turki menandatangani perjanjian tanpa agresif dengan Jerman. Turki juga menjual kromit (sejenis mineral) kepada Jerman dan kuasa Sekutu yang lain.

Pada April 1944, Turki menghentikan penjualannya kepada Jerman dan sekaligus memutuskan hubungan kedua-dua negara itu. Walaupun mengisytiharkan perang terhadap kuasa Paksi, tiada tentera Turki yang dihantar menyertai Perang Dunia II.

Vatican City

vatican city 38

Di bawah pimpinan Paus Pius XII, Vatican City mengekalkan dasar neutral sepanjang perang. Walaupun kota Rom diduduki oleh tentera Jerman dari 1943 dan Sekutu dari 1944, Vatican City tidak pernah dijajah sama sekali.

Vatican City juga telah menganjurkan pelbagai bantuan kemanusiaan sepanjang tempoh konflik berlaku.

Afghanistan

afghanistan 506

Afghanistan merupakan antara negara yang neutral semasa Perang Dunia II. Mereka menjadi neutral bukan kerana pilihan tetapi terpaksa. Mereka tidak boleh memilih mana-mana pihak kerana Afghanistan mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan Jerman.

Pada masa yang sama juga, negara itu dikelilingi oleh wilayah yang dijajah oleh negara-negara Sekutu. Sehingga perang tamat, mereka berjaya mengelak diserang kuasa Sekutu dan mengekalkan hubungan baik dengan Jerman.

Arab Saudi

arab saudi 266

Walaupun secara rasminya Arab Saudi memilih menjadi berkecuali tetapi mereka membekalkan kuasa Sekutu dengan bekalan minyak yang banyak. Arab Saudi telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat pada 1943.

Beberapa bulan sebelum berakhirnya Perang Dunia Kedua, Arab Saudi akhirnya mengisytiharkan perang ke atas Jerman (28 Februari 1945) dan Jepun (1 April 1945) tetapi tiada tindakan ketenteraan yang dilakukan.

Andorra

andorra country portal shutterstock 1446148013 127 selection

Semasa Perang Dunia II, Andorra kekal sebagai negara neutral walaupun merupakan laluan penyeludupan penting dari Sepanyol ke Perancis. Pasukan Penentang Perancis menggunakan Andorra sebagai laluan mereka untuk membawa keluar tentera yang cedera.

Neutral dengan syarat

Terdapat beberapa negara yang menggunakan konsep berkecuali dari segi senjata tetapi menegaskan untuk mempertahankan negara masing-masing jika diserang pihak lain semasa perang.

Empat negara memperolehi hak untuk bertindak agresif jika diserang ketika bersikap neutral ialah Sweden, Sepanyol, Switzerland dan Portugal. Walaupun mempunyai kekuatan tentera tetapi mereka lebih mementingkan keamanan dan mengelak daripada diserang mana-mana pihak.

Selain itu, terdapat beberapa lagi yang memilih untuk menjadi negara berkecuali seperti Liechtenstein, Latvia, Estonia, Monaco, Iran, Nepal, San Marino dan Yaman.

Rujukan:

1. Negara berkecuali semasa WW2

2. Negara Neutral semasa Perang Dunia Kedua

3. Negara yang tidak mahu terlibat dalam Perang Dunia II




Hakcipta iluminasi.com (2017)